Pages

Wednesday 13 August 2014

DUNIA TANPA SEMPADAN.

Keadaan dunia tanpa sempadan ini ada kala menyebabkan masyarakat leka dan menolak ajaran agama yang menekankan akhlak mulia dalam perhubungan sesama manusia. Ledakan laman sosial menyumbang banyak peristiwa positif mahupun negatif.

Setiap perkara baik tidak menjadi masalah, perkara negatif ditimbulkan mewujudkan pelbagai permasalahan akhirnya merosakkan diri sendiri. Justeru, pengawalan akhlak yang sempurna tidak kira di mana saja berada perlu diambil kira.
Sedar atau tidak, penyalahgunaan laman sosial contohnya di facebook dan twitter boleh mengundang perkara negatif seperti pertelingkahan dan pergaduhan kerana sesetengah pengguna tidak berakhlak tanpa rasa bersalah sanggup menjatuhkan air muka orang lain, memfitnah, memuatkan pernyataan berbentuk hasutan atau provokasi.

Memang tidak dinafikan ada sesetengah pengguna tidak memandang serius perkara ini. Walaupun ia nampak ringan dan dianggap ‘gurauan’, tetapi ia mampu memberi impak lebih besar selain mengundang kemurkaan Allah SWT.

Beretika dan tidak melebihkan emosi ketika melayari laman sosial mampu mengelak perkara tidak baik. Teknologi canggih ini sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk tujuan murni seperti berdakwah, menyebarkan maklumat serta mengeratkan silaturahim.

Nafsu tidak dapat dikawal ketika perasaan marah dan tertekan. Bertenang dan berfikir secara mendalam sebelum melakukan sesuatu perkara dapat mengawal keadaan. Perasaan menyesal biasanya akan hadir selepas perasaan marah reda.
Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’ Oleh itu, hormati hak dan peribadi orang lain. Rahsia yang diamanahkan jangan dijadikan isu untuk menarik perhatian kerana ia boleh mencetuskan kekecewaan serta memu-tuskan ikatan silaturahim.

Laman sosial boleh menjadi medium dakwah yang luas apabila digunakan secara tertib dan betul. Untuk berdakwah, peribadi dan akhlak ditunjukkan pemilik akaun akan dihitung terlebih dulu. Justeru, pemilik akaun perlu mengindahkan penulisan untuk menarik minat rakan maya ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment