Pages

Friday, 18 September 2015

Mengingati Allah dan Rasul

"Kita bersyukur kepada Allah سبحانه و تعالى akan nikmat yang dicurahkan kepada kita untuk jadi tetamu kepada Allah, bersama orang yang datang untuk meraih ridho Allah سبحانه و تعالى. Alangkah bertuah dan gembiranya kita pada malam ini untuk duduk bersama orang-orang yang harapkan pemberian dari Allah سبحانه و تعالى, bersama orang yang punya hajat kepada Allah سبحانه و تعالى."

"Apa yang kita lakukan dalam majlis ini ialah zikrullah, selawat kepada Rasulullah ﷺ, berdoa kepada Allah, bertaaruf dan bersilaturrahim, duduk dengan para asatizah dan ulama, dari pelbagai tempat dan negeri dan negara."

"Tiada seorang pun yang datang ke majlis ini untuk kepentingan diri sendirii melainkan mengharapkan Allah سبحانه و تعالى. Bukankah datangnya kita dari pelbagai tempat hanya untuk menghadiri majlis menyanjung orang yang dimuliakan Allah سبحانه و تعالى?"

"Itu adalah matlamat utama menghadiri majlis seumpama ini - mengingati junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ melalui penyampaian yang mengingatkan kita pada Nabi teragung Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimana Nabi ﷺ ini tidak diingati sedangkan Allah سبحانه و تعالى di dalam Al-Quran menceritakan agar bekas tapak kaki Nabi Ibrahim عليه السلام dijadikan tempat solat."

"Allah سبحانه و تعالى juga menyuruh mengingati perbuatan seorang yang bukan Nabi atau Rasul iaitu perbuatan Siti Hajar mencari air untuk anaknya di antara Safa dan Marwah. Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa, “Jadikan aku dan namaku buah bibir orang-orang setelah aku.” Yakni beliau ingin diingati dan kita pun mengingatinya."

"Bukankah Nabi Muhammad ﷺ lebih utama untuk diingati tanpa mengurangkan kemualiaan nabi-nabi yang lain, dan Allah سبحانه و تعالى juga memuliakan baginda Nabi ﷺ lebih daripada nabi-nabi yang lain. Allah سبحانه و تعالى berfirman; “Dan kami angkat namamu, wahai Rasulullah Nabi Muhammad ﷺ.”

"Jibril bertanya; “Adakah kamu tahu maknanya?” Rasulullah ﷺ menjawab; “Allah dan malaikatnya lebih tahu.” Jibril pun menerangkan; “Tidak disebut nama Allah melainkan disebut juga namamu. Mengingati Rasulullah ﷺ dalm majlis selawat atau majlis apa pun adalah bahagian daripada mengangkat nama yang sudah diangkat oleh Rasulullah ﷺ."

"Ianya tidak terhad kepada sebulan sekali di tempat ini, atau seminggu sekali, atau sehari sekali, akan tetapi semampu kita mengingati Nabi Muhammad ﷺ. Perkara itu adalah bahagian daripada perkara yang diutamakan dan digalakkan kerana mengingati Rasulullah ﷺ akan menyejukkan jiwa, menenangkan perasaan dengan mengenang sejarah Rasulullah ﷺ."

"Apa budi pekerti luhur Nabi Muhammad ﷺ adalah sebagai contoh dan teladan sejauh mana kita mengingati Rasulullah ﷺ dalam bentuk kita menteladani akan akhlak Nabi Muhammad ﷺ. Maka mengingati Rasulullah ﷺ adalah mengingati Allah سبحانه و تعالى."

"Orang yang ingat Allah سبحانه و تعالى akan diingati Allah سبحانه و تعالى. “Ingatilah Aku sentiasa, Aku ingat kepada kamu.” Oleh kerana yang demikian, Allah سبحانه و تعالى mengancam mengingatkan kepada golongan yang lupa pada Allah untuk dilupakan Allah, bukan hanya kepada Allah, tapi dilupakan kepada ke atas dirinya sendiri."

"Orang yang mengabaikan dirinya untuk mengingati Allah, orang yang cuai akan dirinya untuk mengingati Allah dengan ketaatan, dengan mengikuti ajaran yang dibawa Rasulullah ﷺ akan dilupakan oleh Allah سبحانه و تعالى terhadap dirinya sendiri. Demikian ancaman yang diberikan Allah سبحانه و تعالى didalam Al-Quran; “Dan janganlah kamu menjadi golongan yang lupa kepada Allah سبحانه و تعالى, maka akan dilupakan Allah, terhadap diri kamu sendiri.”

"Bila manusia dilupakan terhadap dirinya? Lupa dirinya bukan tidak ingat namanya, bukan tidak ingat kecenderungannya, bukan tidak tahu apa yang dilakukannya. Tapi dilupakan dirinya adalah dilupakan daripada melakukan perbuatan yang mendatangkan manfaat untuk dirinya sendiri, dilupakan dari melakukan ketaatan yang menyebabkan dirinya rugi dengan meninggalkan ketaatan itu. Demikian ancaman yang diberikan kepada orang yang melupakan Allah سبحانه و تعالى."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment