Pages

Sunday, 13 September 2015

Zikir tanda Syukur

"Dalam kehidupan kita sehari-hari, adakalanya kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah سبحانه وتعالى. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan. dan mujurlah Allah سبحانه وتعالى selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat."

"Hendaknya kita sekurang-kurangnya selalu menjaga Tujuh Sunnah Nabi Muhammad ﷺ, setiap hari. Ketujuh-tujuh sunnah Rasulullah ﷺ itu adalah; "Yang Pertama adalah Tahajjud. Kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah سبحانه وتعالى."

"Yang Kedua, Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Tadabur dengan Al-Quran. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat tiga Qul, atau ayat qursi."

"Ulama mengatakan Surah Yasin banyak fadhilatnya. Sedikit cerita asal usul bacaan Yasin pada malam jumaat di Malaysia. Pada masa dahulu, Tanah Melayu pernah dijajah oleh komunis, pada waktu tu seluruh rakyat dalam keadaan terkepung. Rakyat risau dan takut dengan keadaan sekeliling. Ulama pada masa itu, melihat balik pada satu peristiwa di mana Rasulullah ﷺ dikepung. Rasulullah berasa risau dan takut yakni pada peristiwa hijrah."

"Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah pernah dikepung oleh musuh, waktu itu Nabi mengambil segenggam pasir lalu membacakan sepotong ayat dari surah Yasin. Ulama pon meniru juga ketika dikepung oleh kominis. Ulama ketika itu membaca ayat; "....Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat jalan yang benar. Surah yasin ayat sembilan."

"Dengan asbab itu, terlepas Nabi Muhamad ﷺ dari kepungan dan ketakutan. Ulama terdahulu berpendapat bahawa Nabi membacakan sepotong surah Yaasin kerana Baginda seorang nabi, sebab itu kita baca semua surah Yaasin sebab kita bukannya Nabi."

"Tiba-tiba ada yang menyatakan hal ini bukan daripada Nabi, kecil hati para ulama terdahulu kalau dengar kata yang macam ni. Antara percakapan yang sia-sia adalah memandang rendah, mencaci ataupon menghina pada para ulama terdahulu."

"Yang Ketiga adalah, Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah سبحانه وتعالى yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah سبحانه وتعالى."

"Yang Keempat adalah,
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki. Dan Yang Kelima adalah, Jaga sedekah setiap hari. Allah سبحانه وتعالى menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah سبحانه وتعالى berlipat kali ganda."

"Yang Keenam adalah, Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi oleh Allah سبحانه وتعالى. Dan yang Ketujuh adalah, Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah سبحانه وتعالى."

"Zikir itu adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada liberalisme, materialisme dan juga hedonisme."

Daripada Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

No comments:

Post a Comment