"Manusia itu daripada tidak wujud, kepada wujud. Allah سبحانه وتعالى yang wujudkan kita. Allah yang mewujudkan kita diatas dunia ini. Kita perlu sedar hakikat,kenapa kita dihantar diatas dunia ini."
"Didalam Al-Quran, Allah سبحانه وتعالى berfirman; "Sesungguhnya kampung dan negeri akhirat itu adalah yang sebenarnya, negeri yang kekal abadi. Alangkah baik jika kamu mengetahuinya. Dunia adalah tempat ujian kita. Samaada senang atau susah. Semuanya ujian daripada Allah سبحانه وتعالى."
"Seorang mukmin itu mesti berazam agar dirinya terhindar dari dosa dan maksiat. Jika dia tersungkur dalam dosa, didalam ujian, maka hendaklah dia cepat bertaubat. Jangan sampai tersungkurnya berkali-kali, hingga menyebabkan dia berputus asa dari rahmat Allah dan bersangka buruk kepada Allah سبحانه وتعالى."
"Allah amat suka hambanya yang tersungkur daripada dosa, dia bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى. Seseorang itu perlu menyesal atas dosa yang dilakukannya. Mesti tahu hikmah, kenapa dia terbuat dosa. Supaya apa? Supaya Kita sedar, kita makhluk yang lemah, supaya kita sedar, kita makhluk Allah yang sering berdosa, supaya seseorang itu sedar dirinya penuh dengan kekurangan."
"Allah سبحانه وتعالى suka untuk mendengar rintihan hambanya yang meminta pengampunan kepada-Nya. Jika seluruh manusia tiada buat dosa kepada Allah, nescaya Allah akan hancurkan seluruh ummat ini dan mencipta ummat lain yang boleh berbuat dosa kepada Allah dan meminta pengampunan Allah سبحانه وتعالى."
"Sebelum terciptanya seluruh makhluk, sifat azali Allah سبحانه وتعالى adalah Maha Pengampun. Maka Allah ciptakan manusia. Ada satu kisah. Di yaumul hisab kelak, setelah menghadapi pengadilan dan mizan penimbangan amal di hadapan Allah سبحانه وتعالى. Ada seorang lelaki yang Allah سبحانه وتعالى perintahkan untuk berjalan ke arah neraka."
"Walaupun dia seorang muslim, tetapi timbangan kebaikannya tidak dapat mengatasi amal-amal keburukannya. Kemudian Allah سبحانه وتعالى tidak atau belum berkenan untuk memberikan keampunan kepadanya."
"Lelaki itupun berjalan ke arah neraka, tetapi pada jarak sepertiganya dia berhenti sebentar dan menoleh ke belakang, setelah itu berjalan lagi. Pada jarak setengahnya, dia berhenti lagi dan menoleh ke belakang, tetapi tidak lama berselang dia berjalan lagi beberapa langkah kearah pintu neraka."
"Pada jarak dua pertiganya, atau sepertiga lagi akan sampai di pintu neraka, dia mulai merasakan panasnya yang membara, lagi-lagi lelaki itu berhenti dan menoleh ke belakang, tetapi tidak lama dia telah berjalan lagi menuju ke arah neraka."
"Melihat perilaku aneh lelaki itu, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang sebenarnya terjadi. Allah سبحانه وتعالى memerintahkan seorang malaikat untuk membawa lelaki itu kembali ke hadapan-Nya. Setelah dibawa kembali menghadap Allah."
"Allah berfirman kepadanya; “Wahai Fulan, mengapa engkau menoleh sampai tiga kali?”
Lelaki itu berkata; “Ya Rabb, setelah hambamu ini sampai di sepertiga jarak ke pintu neraka. Hambamu ini teringat akan firman-Mu didalam Al-Quran; "Dan Tuhanmu adalah Maha Pengampun lagi penuh rahmah dan kasih sayang."
"Maka hambamu ini berhenti dan menoleh. Hambamu ini sangat berharap akan datangnya keampunan dan rahmat dari-Mu. Tetapi kerana tidak muncul juga, hambamu ini meneruskan perjalanannya.”
"Kemudian dengan beberapa langkah, pada jarak setengah perjalanan, hamba teringat akan firman-Mu didalam Al-Quran Ya Rabb; "Dan Siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosamu itu selain Allah?" Maka besarlah pengharapan hambamu ini akan keampunan-Mu."
"Ya Allah, kerana sesungguhnya hambamu ini telah berputus asa daripada siapapun kecuali Engkau. Tetapi kerana tidak juga terlihat wujudnya harapan pengampunan itu, hamba-Mu ini berjalan lagi."
"Kemudian didalam meneruskan beberapa langkah Ketika sampai pada jarak dua pertiga daripada pintu neraka. Hamba-Mu ini teringat akan Firman-Mu didalam Al-Quran; "Katakanlah wahai rasulullah ﷺ. Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas zalim kepada diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah." Maka bertambahlah harapan hamba-Mu ini diatas maghfirah dan rahmat-Mu. Ya Rabb."
"Akan tetapi kerana tidak juga ada panggilan-Mu, hamba-Mu ini berjalan lagi ke pintu neraka. Sehingga salah seorang malaikat-Mu membawaku kembali ke sini.
Setelah Allah سبحانه وتعالى mendengar penjelasannya itu, Allah سبحانه وتعالى berfirman; “Wahai Hamba-Ku. Pergilah engkau ke dalam syurga. Sesungguhnya Aku telah mengampuni dosa-dosa kamu."
“Allah سبحانه وتعالى berfirman didalam Al-Quran; "Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah mereka yang berputus asa dari rahmat Allah itu melainkan daripada kaum yang kafir.”
"Seseorang itu hendaklah dia takut kepada Allah سبحانه وتعالى tidak merasa aman dengan azab Allah سبحانه وتعالى. Di dalam masa yang sama tidak berputus asa dengan rahmat Allah سبحانه وتعالى. Kedua-duanya ibarat sepasang sayap yang membawa seseorang itu terbang tinggi didalam makrifat kepada Allah سبحانه وتعالى."
Guru mulia. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.
No comments:
Post a Comment