Pages

Sunday, 13 September 2015

Mati dalam Islam

"Kematian ialah fakta, perkara yang nyata yang tak seorang pun akan terlepas daripadanya. Tak seorang pun daripada kita yang tak pernah melihat kematian baik pada haiwan atau manusia. Semua yakin bahawa kematian itu wujud. Namun sebahagian orang mengatakan kematian itu sebagai penghujung kehidupan khalas, tetapi bagi orang yang beriman, kematian merupakan satu permulaan kehidupan yang sebenar."

"Jadi, di dalam hidup ini ada pra-kematian iaitu di dunia, saat ketika kematian dan keadaan setelah kematian. Semua yang bernyawa akan mati, tetapi yang perlu kita ambil berat ialah keadaan bagaimana kita mati, dan apakah keadaan kehidupan kita setelah mati, dan ini semua bergantung kepada bagaimana kita telah hidup."

"Kehidupan jadi penentu kepada saat kematian, dan kehidupan selepas kematian. Sama ada kita hidup enam puluh tahun, atau tujuh puluh tahun, umur purata umat Nabi Muhammad ﷺ  ialah antara enam puluh atau tujuh puluh tahun. Masa yang pendek ini ialah modal yang Allah beri untuk kita petik buahnya dalam kehidupan yang tidak punya pengakhiran atau sempadan."

"Oleh kerana yang demikian, Nabi Muhammad ﷺ  menyuruh kita bijak berfikir dengan akal yang waras agar menghittung umurnya, dan beramal untuk hari akhirat. Ini barulah professional, pintar! Tetapi orang yang jahil ialah orang yang ikut hawa nafsunya, dan berharap dapat ganjaran besar dari Allah سبحانه و تعالى. Orang ini bermimpi di siang bolong hari! Tidak mahu beramal tapi mengharapkan pemberian dari Allah سبحانه و تعالى. Kehidupun ini realiti dan bukan khayalan."

"Pada Suatu hari Sayyidina Ali bin Abi Talib lalu bersama sahabatnya di kawasan kubur, dan berkata; "Wahai ahli kubur, sesungguhnya pasangan kamu telah berkahwin dengan orang lain. rumah kamu orang lain sudah duduk, harta kamu sudah diberi kepada orang lain. Ini berita kami dari dunia, tetapi apakah berita kamu dari alam sana?” Sayyidina Ali ketika bercakap begitu bukanlah untuk mendengarkan jawapan tetapi adalah untuk menyampaikan mesej."

"Sayyidina Ali ingin beri pelajaran kepada orang yang bersamanya agar mereka melihat kubur itu sebagai tempat mereka akan masuk ke dalamnya juga nanti. Maka, diingatkan tentang pasangan, harta sudah di ambil orang lain. Apa yang Sayyidina Ali ingin tahu? Apa yang diinginkan ahli kubur setelah umur harta tidak lagi pada mereka."

"Kalau diizinkan untuk ahli kubur menjawab, maka mereka akan mengatakan; “Sebaik-baik bekal ialah taqwa.” Yakni, wahai sahabatku, temanku, sebelum nasib untuk kita masuk dalam kubur itu datang, ketika harta dan keluarga kita pergi kepada orang lain, dan kita masuk kubur seorang diri, apakah yang akan menemani kita di barzakh nanti? Hanya taqwa dan amal yang soleh yang akan ikut. Tiga perkara akan ikut mayat - hartanya, keluarganya, amalnya, tetapi semuanya akan balik kecuali amalnya."

"Kematian ialah satu kenyataan, jadi yang perlu kita ingatkan diri kita ialah keadaan ketika meninggal dunia. Para Anbiya meminta mati dalam keadaan Islam musleh, dan minta dikumpulkan bersama orang soleh. Pesan Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub عليه السلام; "Jangan kamu mati kecuali dalam keadaan islam.” Bagaimana dipesan sebegini sedangkan mati bukan dalam tangan kita?"

"Makanya, ambillah asbab, yang dengan asbab itu seseroang boleh mati dalam keadaan Islam. Tiada asbab lain yang boleh membawa kepada mati dalam Islam kecuali amal ibadat kepada Allah سبحانه و تعالى, dan menghindari perkara yang dilarang Allah agar terhindar dari mati dalam suul khotimah, Wal iya zu billah."

"Apa hukum orang meminta mati? Kadang-kadang berlaku fenomena orang menghadapi masalah dalam hidup sehingga tidak mampu menghadapinya, dan mengambil keputusan yang tidak berdasarkan akal yang waras seperti bunuh diri, Wal iya zu billah. Dalam hal ini, Rasulullah ﷺ  bersabda; “Jangan sesekali kamu minta mati kepada Allah سبحانه و تعالى.”

"Sebab apa? Kalau dia orang baik, umur yang diberi Allah boleh menambah ganjaran untuk di sisi Allah سبحانه و تعالى. Kalau dia orang tidak baik, umur perlu digunakan untuk bertaubat kepada Allah, yang kalau dia tidak bertaubat, dia akan dihukum oleh Allah سبحانه و تعالى atas dosa-dosanya. Maka, tidak boleh meminta mati."

"Jadi, kalau perlu juga minta mati adalah dengan sebab yang munasabah seperti yang diajarkan Rasulullah ﷺ; “Ya Allah, aku mohon ilham untuk berbuat baik, meninggalkan perkara mungkar, suka kepada orang-orang yang miskin. Dan bilamana Engkau mentakdirkan fitnah (yang mencabar akidah) berlaku, cabutlah nyawa saya sebelum saya terkena fitnah itu.”

"Di sini, Rasulullah ﷺ  meminta doa mati dengan bersebab yang mencabar agamanya. Fitnah yang besar boleh menyebabkan seseorang mengorbankan agamanya dengan sehina-hina benda keduniaan. Semoga Allah lindungi kita, Insya Allah."

"Jika terpaksa juga meminta mati, berdoalah; “Ya Allah, matikan aku jika mati mendatangkan kebaikan padaku. Hidupkan aku jika hidup membawa kebaikan kepadaku.” Yakni, serahkan kepada Allah untuk menentukan apa yang terbaik. Allah سبحانه وتعالى yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment