Pages

Monday, 12 December 2011

TAQWA 2: Janji-Janji Allah untuk orang bertaqwa


Inilah janji Allah SWT kepada orang bertaqwa:


A. Keistimewaan di dunia:

1. Allah SWT bebaskan dari kesusahan dan memperolehi rezeki.
 Firman Allah SWT:
 "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka." (At-Talaq: 2-3)

2. Allah SWT mempermudahkan segala urusan.
Firman Allah SWT:
 "Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya." (At-Talaq: 4)

3. Allah SWT mempermudahkan memperolehi ilmu.
Firman Allah SWT:
"Dan bertaqwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Al Baqarah: 282)

4. Allah SWT mengasihinya.
Firman Allah SWT:
"Sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa." (Ali Imran: 76)

5. Allah SWT membela dan membantunya.
Firman Allah SWT:
 "Allah adalah pelindung orang-orang bertaqwa." (Al-Jaatsiyah: 19)

6. Allah SWT buka pintu keberkatan.
Firman Allah SWT:
 "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi." (Al-A'raaf: 96)

7. Allah SWT terima amalan.
Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa." (Al-Maidah: 27)

8.  Dipelihara Allah SWT dari tipu daya musuh lahir dan batin.
Firman Allah SWT:
 "Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu-daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan." (Ali Imran: 120)

Firman Allah SWT:
 "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." (Al A'raaf: 201)

9.  Allah SWT beri khabar gembira (mubasyirah).
Firman Allah SWT:
 "Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) oranq-oranq yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar." (Yunus: 62-64)

10. Allah SWT pelihara zuriat.
Firman Allah SWT:
"Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar." (An Nisa': 9)

Firman Allah SWT:
 "Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak muda yang yatim di kota itu, (dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Tuhanmu mengkehendaki agar mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya." (Al-Kahfi: 82)

11.  Allah SWT selamatkan dari bencana.
"Dan adapun kaum Tsamud maka mereka telahpun Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) dari petunjuk itu. Maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan, Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa." (Fusshilat: 17-18)

12. Allah SWT pelihara dari kebatilan.
Firman Allah SWT:
"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Al-Anfaal: 29)

B. Keistimewaan taqwa di akhirat:

1. Allah SWT padamkan dosa.
Firman Allah SWT:
 "Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan akan melipatgandakan pahala baginya." (At-Talaq: 5)

Firman-Nya lagi:
 "Dan sekiranya ahli kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan." (Al-Maidah: 65)

Firman Allah SWT:
 "Dan tidak ada seorangpun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu.  Hal itu bagi Tuhanmu  adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut." (Maryam: 71-72)

2. Allah SWT tinggikan darjat.
Firman Allah SWT:
"Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertaqwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari kiamat."

3. Allah SWT wariskan syurga.
Firman Allah SWT:
 "Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa." (Maryam: 63)

Firman Allah SWT:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk oranq-orang yang bertaqwa." (Ali Imran: 133)

Firman Allah SWT:
 "Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhan-Nya." (Al-Qalam: 34)

4. Allah SWT dekatkan syurga.
Firman Allah SWT:
 "Dan dekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertaqwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka)." (Al-Qaf: 31)

Firman Allah SWT:
 "(Ingatlah) hari (ketika) Kami mengumpulkan orangorang yang bertaqwa kepada Tuhan yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat." (Maryam: 85)

5.  Allah SWT sediakan syurga bertaraf tinggi.
Firman Allah SWT:
 "Ini adalah kehormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik." (Shaad: 49)

Firman Allah SWT:
 "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan." (An-Naba': 31)

6. Allah SWT tambat hati sesama mereka.
Firman Allah SWT:
 "Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." (Az-Zukhruf: 67)

Firman Allah SWT:
 "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga (taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air (yang mengalir). (Dikatakan kepada mereka): Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman. Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan." (Al-Hijr: 45-47)

7. Allah SWT kumpulkan mereka bersama-sama.
Firman Allah SWT:
 "Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya." (Az Zumar: 73)

bersambung...


محمد فضلي بن يوسف
10 Disember 2010

SUMBER: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150103145926719)

No comments:

Post a Comment