Pages

Tuesday, 20 December 2011

Solat Sunat Taubat

Selagi masih bernafas, segeralah bertaubat kepada Allah SWT. Masih belum terlambat lagi melakukan sekarang. Jangan tunggu esok, minggu depan,bulan depan atau sudah bersedia baru nak bertaubat. Takut tak sempat nanti, bila-bila masa sahaja ajal kita boleh diambil oleh sakaratul maut. Pada masa itu tertutupnya pintu taubat maka mati anak adam itu sia-sia sahaja.

Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkong (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya”.
ALLAH SWT sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah SWT telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya:
“Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Syarat-syarat taubat:
Ikhlas ingin bertaubat.
Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi.
Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan.
Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya.
Dikerjakan sebelum ajal tiba.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati ber-erti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya.

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.


Solat ini dilakukan sebagai tanda kita bertaubat kepada Allah. Tiada waktu yang tertentu ditetapkan, boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja apabila seseoarng itu rasa menyesal dan ingin bertaubat kepada Allah. Seelok-eloknya setelah kita melakukan istighfar, munajat, muhasabah diri...dan bertaubat kepada Allah di tengah malam yang sunyi.. kemudian disusuli dgn solat tahajjud dsb...

Digalakkan utk dilakukan dalam bulan-bulan haram iaitu Muharram, Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat @ lebih.

Lafaz Niat
أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja Aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah SWT

Setelah membaca surah al-Fatihah, bacalah surah al-Kafirun di rakaat pertama dan di rakaat kedua pula Surah al-Ikhlas sebanyak 3 kali.


Doa Sujud terakhir rakaat kedua.

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ. فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya aku telah menzalami diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak.
Maka tiada siapa yang dapat mengampuni dosaku melainkan Engkau.

Istighfar-Istighfar

1. 100 kali
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Aku memohon keampunan Allah yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.

2. Tiada had
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَظِيمِ

Tiada keupayaan (untuk mentaati perintahMu) dan tiada kekuatan (untuk menjauhi laranganMu) melainkan dengan keizinan Allah yang Maha Besar.

3. Ataupun dengan istighfar dan taubat yang ringkas ini
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ

Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku.

Doa Taubat
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

“Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

No comments:

Post a Comment