Pages

Friday, 16 December 2011

SUARAJAGAT – Isu Silat Cekak – Menjawab Kekeliruan

Salam ukhuwah buat para pembaca.
Saya sebenarnya tidak tahu pun tentang satu artikel yang ditulis pada Mac 2009 oleh Laman EMJAY (klik di sini). Hanya pada beberapa hari lalu saya mengetahui kewujudan artikel berkenaan kerana link blog SJ disebut oleh salah seorang komentator di web berkenaan.
Saya telah cuba memberi komen/ pandangan di EMJAY, bagaimanapun komen yang ditulis tidak boleh disiarkan kerana saya tidak berdaftar dengan Multiply. Justeru itu, saya berpendapat adalah wajar untuk membuat satu artikel bagi meredakan kebingungan pembaca-pembaca artikel tersebut. Bukan niat untuk bertegang urat atau berdebat, tetapi sekadar berkongsi pengetahuan yang ada.
Sebagai seorang pemerhati ajaran-ajaran sesat khususnya yang terdapat di Malaysia, adalah penting untuk saya nyatakan secara jelas bahawa Seni Silat Cekak TIDAK MENYALAHI ajaran Islam. Ini kerana tidak terdapat sebarang bentuk pelanggaran dari sudut akidah dan syariat di dalam seni silat cekak. Beberapa isu yang dibangkitkan oleh EMJAY dan pembaca blognya akan cuba saya jelaskan melalui tulisan ini.
1. Kain Putih
Di dalam Seni Silat Cekak, kain putih yang digunakan oleh penuntut bukanlah suatu tangkal.
Di dalam amalan pembomohan, apabila sesuatu benda itu dijadikan tangkal ia dipercayai dapat memberi azimat kepada penggunanya.
Bagaimanapun kain putih yang digunakan oleh penuntut silat cekak hanyalah sehelai kain yang tidak boleh memberi apa-apa azimat kepada penuntut silat cekak. Ia sekadar satu simbolik bagi mengingatkan para penuntutnya agar mempunyai niat yang bersih dalam mempelajari senibeladiri tersebut. Mempelajari silat cekak bukan untuk bergaduh atau menjadi kuat. Bukan juga untuk memukul orang sesuka hati. Malah tidak juga untuk menjadi kebal. Dari pengamatan saya ke atas kegiatan silat ini sejak tahun 1999 hinggalah sekarang, didapati tiada ilmu kebal diajarkan dalam silat cekak kerana ilmu kebal adalah suatu amalan syirik yang bertentangan dengan lunas-lunas Islam.
Mungkin sudah menjadi satu perkara yang agak fobia bagi masyarakat awam bila melihat kain putih. Pada kebiasaannya bila melihat lembaran kain putih akan terus teringat pada kain kapan. Kerana itu agaknya penggunaan kain putih dalam majlis silat cekak dirasai kurang selesa oleh sesetengah individu. Cuba kalau kita letak kain putih di atas pokok pada waktu malam gelap. Pasti ramai yang mula berfikir hal tahyul, kurafat, mistik dan sebagainya.
Sebagaimana yang telah saya jelaskan di atas, kain putih dalam silat cekak hanya suatu simbolik berkaitan kebersihan niat. Janganlah ini dipertikaikan, kerana dalam kehidupan seharian, kain putih sememangnya digunakan sebagai simbolik kepada niat yang suci bersih. Contohnya, seakan-akan sudah menjadi adat/ tradisi dalam masyarakat kita apabila pasangan pengantin memakai pakaian berwarna putih dalam majlis akad nikah. Walhal pakaian putih itu bukanlah rukun nikah yang menentukan sah atau tidaknya. Ia adalah satu simbolik yang melambangkan niat yang baik, bersih serta ikhlas utk bersatu dalam satu ikatan yang suci murni. Suatu ikatan yang menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita.
Yang menghairankan saya, kenapa agaknya orang kita (Melayu-Islam) apabila membawa anak ke asrama, atau mereka sendiri pergi ke tempat-tempat kursus, bilik hotel dan sebagainya, dan melihat katil di alas dengan kain putih, tidak pernah pula mereka pertikaikan dengan berkata “eh? kenapa kain putih ni? Tangkal ke? satu bangunan, semua bilik kain putih”… Tidak juga dijadikan isu dalam blog dan media massa.
2. Doa Dan Tawassul
Tawassul berasal dari bahasa Arab yakni dari perkataan wasilah yang bermaksud kedudukan (al-manzilah) di sisi raja. Wasilah juga bermaksud darajah (pangkat) dan al-qurbah (hampir). Seseorang yang melakukan tawassul kepada ALLAH dengan wasilah bermaksud melakukan amalan yang menghampirkan dirinya kepada ALLAH. Maka al-wasil (pelaku tawassul) ialah orang yang minat (al-raghib) kepada ALLAH.
Menurut hukum syara’, hukum bertawassul adalah diharuskan dengan para Nabi-Nabi terutamanya Nabi Ulul Azmi, dan yang paling utama ialah Nabi Muhammad s.a.w. Tawassul yang dilakukan dengan para wali-wali yang baik-baik (al-abrar) adalah boleh diterima (maqbul), harus (jaiz) dan tidak dihukum haram atau makruh dari segi naqal mahupun akal kerana ianya bersumberkan Kalam ALLAH, Rasul-NYA s.a.w  dan juga Athar. Tidak ada sebarang khilaf sama sekali tentang keharusan ini ( yaqta’ dabir al-khilaf ). [rujuk : Abdus Salam al-'Umrani al-Khalidi, Ar-Risalah al-Muhammadiyah al-Shamilah Khilal Arba' at Ahraya Qarnan Kamilah (Taqdim al-'Allamah Saiyidi 'Abdullah Ghanun al-Husaini dan 'Allamah Saiyidi Muhammad bin Ajibah) Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut. hal.168]
Mungkin sekalipun dengan para al-anbiya boleh diterima tetapi persoalannya ialah dengan para wali-wali yang personaliti mereka mungkin agak sukar ditentukan terutamanya di zaman moden ini jika ada dakwaan. Bahkan adakah tokoh-tokoh sufi terdahulu boleh dianggap sebagai wali-wali Allah yang mempunyai pelbagai kelebihan mereka hasil dari ketakwaan, peribadatan, kezuhudan dan kewarakan mereka. Syeikh Abu al-Fadl Sayyidi Abdullah bin Muhammad al-Siddiq al-Hasani dalam kitabnya “Ithaf al-Azkiya’ bi Jawaz al-Tawassul bi al-Anbiya’ wa al-Awliya” menegaskan keharusan perkara ini.
Antara firman ALLAH yang dijadikan sandaran oleh para ulama ialah(maksudnya): “Mereka semua yang berdoa dan gemarkan TUHAN mereka dengan wasilah, merekalah orang-orang yang paling hampir yang mengharap rahmat-NYA dan mereka takutkan azab-NYA sesungguhnya azab TUHAN-mu adalah diawasi” (al-Isra’: 57)
Mengikut pandangan Syeikh Dr Ali Jum’ah, Mufti al-Diyar al-Misriyyah bahawa “Semua empat mazhab bersetuju atas keharusan (jawaz) bertawassul dengan Nabi SAW bahkan digalakkan (istihbab), serta ianya tidak membezakan di antara semasa hidup Baginda SAW atau selepas kewafatannya SAW. Ibn Taimiyyah sahaja yang pelik (syazz) justeru beliau cuba memisahkan tawassul dengan Nabi selepas kewafatannya. Tidak perlu diambilkira (‘ibrah) kepelikan ini.Kami menyeru umat Islam berpeganglah dengan yang telah dipersetujui oleh para ulama’ yang terkenal (al-a’immah al-a’lam).”
Malahan terdapat juga hadis-hadis sahih berkenaan dengan tawassul. Demikian juga dengan kisah Saidina Umar al-Khattab berdoa kepada ALLAH secara bertawassul dengan Ibn. Abbas r.a. Perkara ini berlaku semasa musim kemarau di zaman kekhalifahan beliau.
Penjelasan di atas saya fikir sudah mencukupi untuk kita memahami bahawa para ulama bersetuju bahawa berdoa secara tawassul adalah diharuskan di dalam Islam selagimana berada dalam konteks disiplinnya.
3. Limau Purut
Limau Purut adalah salah satu bahan utama yang digunakan oleh masyarakat melayu dahulu kala sebagai pewangi badan serta bertujuan untuk mengeluarkan daki-daki pada badan ketika mandi (sebelum adanya Lux, Zaytun, May, Dettol dan pelbagai jenama sabun yang lain). Di dalam amalan silat cekak, limau tersebut hanyalah satu asbab sahaja yang lebih kepada kaedah asal orang melayu zaman dahulu. Doa dan permohonan tetap juga dipanjatkan kepada ALLAH s.w.t.
Dalam kehidupan seharian, seandainya anda batuk, adalah elok juga untuk mengamalkan makan madu dan dicampur dengan perahan limau purut atau limau nipis. Berselawat dan mohonlah kepada ALLAH agar disembuhkan dari sakit tersebut. Limau dan madu itu hanya sebagai asbab, tetapi atas kehendak ALLAH jualah yang menyembuhkan segala penyakit.
4. Isu Salahlaku Guru serta Ketaksuban kepada Pemimpin.
Masalah yang berlaku dalam Cekak Malaysia (CM) tentang kesalahan lafaz syahadah Guru Utama sebagaimana yang pernah SJ tulis di sini, adalah satu kesalahan individu. Demikian juga apabila saya mengetahui tentang beberapa kes salahlaku Guru Utama Silat Cekak Pusaka Hanafi (CP).
Kes-kes ini adalah kesalahan individu, maka janganlah pula seluruh persilatan tersebut dipandang serong. Silat cekak sebagai beladiri tidak salah, yang bersalah adalah individu terbabit serta sebahagian PENGIKUT YANG TAKSUB kepada guru mereka sehingga tidak dapat membezakan antara perkara yang betul dengan yang salah. Yang wajar disiasat dan dihukum atas kesalahan, adalah individu-individu itu.
Isu taksub pada pimpinan bukan sekadar berlaku dalam pergerakan silat dan seni beladiri sahaja, tetapi ia turut wujud dalam pelbagai organisasi lain seperti tarekat-tarekat songsang serta parti-parti politik di seluruh dunia. Hal sedemikian mesti diperbetulkan. Sebagai insan yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA, ingatlah bahawa kita boleh menghormati para pemimpin organisasi, tetapi janganlah setiap perkara yang dibuat olehnya di anggap betul sehinggakan perlakuan seperti menipu, rasuah dan pecah amanah dikira sebagai tidak salah. Sikap sedemikian rupa jika terus dibiarkan akan menjadi barah dalam masyarakat.
Nasihat SJ
Akhir sekali, SJ ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak terus membuat tuduhan ‘sesat’ ke atas apa juga perkara tanpa usul periksa, kajian dan siasatan. Dalam isu Silat Cekak yang disebutkan ini,  spekulasi, dan provokasi yang timbul dari artikel EMJAY dan komentator di blog beliau mungkin adalah kerana kurang memahami hal-hal yang telah saya jelaskan di atas.
Pada pandangan saya, jika kita ingin bercakap tentang kesalahan yang terdapat dalam seni beladiri, sewajarnya kita meneliti secara serius penglibatan umat Islam dalam beladiri seperti taekwando, karate-do dan jujitsu, yang mana dalam pemahaman beladiri berkenaan terkait dengan kefahaman Yin Yang. Masyarakat seharusnya menjauhi seni silat yang telah difatwa sesat seperti Nasrul Haq, Budi Suci Sejati dan seumpamanya, termasuk juga beladiri yang menyeru roh-roh tertentu. Semoga penulisan ini memberi sedikit sebanyak kefahaman kepada sidang pembaca. Wassalam.

No comments:

Post a Comment