Pages

Monday, 5 December 2011

DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH..( siri 8 )


KAFAN DAN PERSEMADIAN JASAD MULIA BAGINDA KE PEMBARINGAN TERAKHIR

Telah timbul perselisihan pendapat di antara para sahabat sebelum urusan perkafanan mengenai persoalan khalifah. Berlakulah perbahasan dan perdebatan di antara kaum Muhajirin dan al-Ansar di halaman rumah Banu Sa'adah yang mana akhirnya mereka semua bersetuju melantik Abu Bakr sebagai khalifah Rasulullah.

Perbahasan ini memakan masa hingga ke akhir hari Isnin, malah hingga masuk ke malam berikut menyebabkan orang ramai turut sibuk. Pengkebumian jasad Baginda tertangguh hingga ke malam Selasa malah hingga menjelang subuh hari berikut, di mana jasad Rasulullah yang penuh berkat itu terletak di tempat tidurnya, tertutup dengan kain menyebabkan ahli keluarga Baginda menutup pintu rumah.

Di hari Selasa barulah diuruskan mandi jasad Rasulullah SAW tanpa membuka bajunya, mereka yang bertugas memandikan Baginda ialah al-Abbas, Ali, al-Fadhl dan Qatham (kedua-dua anak al-Abbas), Syaqran (hamba Rasulullah), Usamah bin Zaid dan Aws bin Khawli. Abbas, al-Fadhl dan Qatham membalikkan badan Rasulullah, Usamah dan Syaqran menjiruskan air, Ali menggosoknya sedang Aws pula menyandarkan Rasulullah ke dadanya.

Kemudian mereka semua mengkafankan jasad Rasulullah SAW di dalam tiga lapis kain kafan berwarna putih tenunan dari al-Yaman, tidak berbaju atau berserban. Dikafannya jasad Rasulullah SAW ke dalam ketiga-tiga lapisan kain kafan tadi dengan cermat dan penuh hemat.

Di saat pekebumian sekali lagi kaum muslimin berikhtilaf tempat persemadiannya, namun kesudahannya Abu Bakr bangun dan berkata: "Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW pernah berkata: Tidak dimatikan mana-mana nabi kecuali di tempat itulah ia disemadikan".

Justeru itu maka Abu Talhah pun mengangkat tempat tidur Rasulullah SAW dan digalinya lubang sebagai kubur berliang lahad.

Sebelum itu kaum muslimin masuk membanjiri bilik Rasulullah SAW dengan bertali arus sepuluh selepas sepuluh, menunaikan solat jenazah, masing-masing tanpa imam. Mula-mula sekali Baginda disembahyangi oleh keluarga Baginda, kemudian Muhajirin diikuti oleh al-Ansar. Kaum wanita bersembahyang selepas kaum lelaki diakhiri oleh lapisan kanak-kanak.

Kesemuanya ini diselenggarakan pada hari selasa sehari suntuk, malah hingga ke malam Rabu. Kata Aisyah: "Kami bagaikan tidak menyedari pengkebumian kecuali setelah kami terdengar suara cangkul menggali tanah di tengah malam yakni malam Rabu.

TAMAT

No comments:

Post a Comment