Pages

Tuesday, 20 December 2011

Pengganti Chong Wei ?


JAGUH China, Lin Dan belum sampai ke penghujung kariernya tetapi dia kini sudah mempunyai pelapis yang tidak kurang hebatnya.

Chen Long baru berusia 22 tahun dan masa depannya dalam sukan badminton sangat cerah.

Lin Dan pula sudah tidak perlu bimbang kerana kecemerlangan China dalam sukan tersebut pasti berterusan dengan kehadiran beberapa pemain pelapis sehebat Chen Long.


Tetapi senario di Malaysia berbeza.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak senang duduk berbanding China.

Setiap hari BAM dalam kegelisahan memikirkan siapa yang bakal menggantikan pemain perseorangan No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sehingga kini masih belum ada tanda siapa yang layak bergelar pelapis berwibawa, yang sehebat Chen Long.

Kalau ada pun, mereka masih belum layak bergelar pengganti kerana kurang memperlihatkan konsistensi di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, ada beberapa nama yang difikirkan layak menjadi pelapis kepada Chong Wei seperti Mohd. Arif Latif, Zulfadhli Zulkifli tetapi 'disiplin' mereka di pentas antarabangsa masih belum meyakinkan.

Pencapaian juga kurang meyakinkan berbanding pemain pelapis China yang sudah mampu menawan dunia pada usia awal 20-an.

Menyedari kelemahan itu, BAM tiada pilihan lain kecuali terus 'melanyak' Chong Wei dalam semua kejohanan sehingga kadangkala menyaksikan pemain No. 1 dunia itu sudah tidak berdaya untuk mencipta kemenangan. Sepanjang tahun 'didera' untuk menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Bila sudah terlalu kerap beraksi, maka gaya permainannya mudah dibaca pemain lawan, khususnya musuh utama, China.

Mungkin atas alasan tersebut, Chong Wei mudah dijinakkan pemain muda China, Chen Long pada Kejohanan Siri Super Dunia Akhir baru-baru ini.

Bukan Chong Wei tidak hebat tetapi dia sudah terlalu letih 'didera' sepanjang tahun.

Sudah tiba masanya bagi BAM untuk lebih berani memberi kepercayaan kepada barisan pemain muda negara beraksi di pentas antarabangsa. Jika tidak, kumpulan pelapis ini tidak akan mencapai tahap permainan matang sehingga mereka bersara.

Banyak yang boleh dijadikan contoh seperti Muhd. Hafiz Hashim yang terus gagal mempamerkan aksi konsisten di pentas antarabangsa.

BAM juga harus sedar bahawa Chong Wei sudah semakin berada di penghujung karier.

Dia tidak boleh lagi dikerah sepanjang tahun. Chong Wei perlukan rehat dan kalau boleh, beri kelonggaran kepadanya untuk hanya beraksi pada kejohanan tertentu sahaja.

Pemain muda seharusnya diberi lebih banyak peluang beraksi. Tak perlu fikirkan kemenangan terlebih dahulu, yang penting mereka ini perlu kerap diberi pendedahan di pentas antarabangsa.

Begitu juga dengan barisan pemain wanita.

Selepas Wong Mew Choo, Malaysia nampaknya terus ketandusan pemain yang hebat.

Setakat ini, saya belum nampak lagi pengganti yang mampu menggegar dunia selepas persaraan Mew Choo.

Kalau di China, pemain perseorangan wanita boleh diibaratkan sebagai 'tumbuh macam cendawan'. Selepas persaraan Zhang Ning, lahir pemain seperti Wang Shixian, Wang Yihan mahupun Wang Xin dan mereka ini bila-bila masa sahaja mampu menawan dunia.

Tetapi pemain wanita kita tetap kekal sebagai 'jaguh kampung'. Hanya satu sahaja cara yang dilihat mungkin boleh membantu mematangkan mereka iaitu mendedahkan pemain di pentas antarabangsa seawal usia 17 tahun. Jika Chong Wei gugur, maka berakhirlah penguasaan Malaysia.

SUMBER : http://www.kosmo.com.my/kosmo/

No comments:

Post a Comment