Pages

Monday, 5 December 2011

DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH..( siri 4 )

EMPAT HARI SEBELUM KEWAFATAN

Bendera Rasulullah SAWDi hari Khamis iaitu empat hari sebelum kewafatan, sakit Baginda semakin berat, Baginda telah meminta dengan katanya: "Tolong bawa ke mari untuk ku tulis buat kamu semua bingkisan, di mana kamu tidak akan sesat lepas itu".

Di dalam rumah di masa itu terdapat beberapa orang di antara mereka ialah Umar Ibn al-Khattab, dan beliau berkata: "Kini Rasulullah mengalami kesakitan yang teruk, kan kami sudah ada al-Quran, sudah cukup untuk kamu kitab Allah itu".

Ahli keluarga Rasulullah berselisih pendapat dan berbalah, di antara mereka mengatakan: "Ayuh berikan sesuatu untuk Baginda tulis". Dan di antara mereka juga mengatakan seperti pendapat Umar tadi.

Hingga dengan itu berlaku kesibukan dan percanggahan, menyebabkan Rasulullah berkata: "Ayuh! Kamu semua beredar dari sini".

Di hari itu Baginda membuat tiga wasiat iaitu Baginda berpesan supaya
1. Di halau keluar kaum Yahudi, Nasrani dan Musyrikin dari Semenanjung Tanah Arab,
2. Seterusnya Baginda berpesan supaya membenarkan kedatangan para perwakilan sebagaimana yang pernah Baginda lakukan.
3. Adapun wasiat yang ketiga perawi hadith terlupa, boleh jadi pesanan supaya berpegang dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah atau meneruskan penghantaran tentera Islam pimpinan Usamah,'atau ianya perintah untuk bersembahyang dan membuat hubungan baik dengan hamba-hamba yang dimiliki.

Cop surat Rasulullah SAW

Walau pun nabi dalam keadaan sakit namun Baginda terus bersembahyang mengimami sidang jemaah sekalian, hingga ke hari Khamis empat hari sebelum Baginda wafat. Di hari itu Baginda bersembahyang maghrib dengan membaca surah "al-Mursalat ".

Semasa sembahyang Isya' sakit Baginda bertambah berat, menyebabkan Baginda tidak terdaya untuk keluar ke masjid, kata Aisyah: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apakah orang ramai sudah sembahyang?".

Kata kami: "Tidak wahai Rasulullah, mereka semua sedang menunggu Rasulullah". Kata Baginda lagi: Sediakan air di dalam talam itu". Kami pun berbuat mengikut seperti suruhan Baginda, dengan itu Baginda pun bersuci, dan bangun namun Baginda telah pitam di situ kemudian sedai bertanya pula: "Apakah orang ramai sudah bersembahyang.

Kejadian pitam ini berulang kali berlaku seperti yang pertama iaitu selepas Baginda bersuci, akhirnya Baginda suruh Abu Bakr bersembahyang mengimami orang ramai. Abu Bakr pun melaksanakan perintah Baginda mengimami orang ramai untuk hari-hari itu sebanyak tujuh belas (17) waktu semasa hayat Rasulullah SAW.

Dalam hal ini Aisyah telah meminta Rasulullah mengubah arahannya itu, bertujuan memberi orang lain menjadi imam, supaya orang ramai tidak beranggapan tak elok, namun Rasulullah tetap menolak dan berkata: "Kamu semua adalah wanita-wanita pencinta Yusof, banyak berdalih, ayuh suruh Abu Bakr bersembahyang mengimami orang."

Bersambung...

No comments:

Post a Comment