Wednesday, 21 December 2011
Masih mengharapkan sentuhan Misbun
TANPA berselindung, jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih mengharapkan sentuhan bekas ‘sifunya’, Datuk Misbun Sidek dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
Bagaimanapun, pemain No. 1 dunia itu menjelaskan bahawa sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Jika saya mahukan Misbun kembali membimbing saya semula sekalipun, saya masih tidak boleh berbuat apa-apa kerana sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh BAM.
“Saya terikat dengan BAM. BAM ada pengurus yang buat keputusan dan saya hanya ikut saja,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelantikannya sebagai duta jenama Cafe 99 Ipoh White Coffee di Shah Alam semalam.
Misbun yang telah berkhidmat dengan BAM selama lapan tahun telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan pada 31 Disember tahun lalu selepas dilaporkan berselisihan faham dengan badan induk sukan badminton negara itu.
Ketiadaan Misbun sekali gus menyaksikan Chong Wei kini berada di bawah kendalian Tey Seu Bock dan Rashid Sidek.
Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan Chong Wei selaku pemain No. 1 dunia sejak 2008.
Tambah Chong Wei, tatkala hanya tinggal lapan bulan sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik membuka tirainya, dia menganggap tempoh tersebut adalah sangat penting buat dirinya untuk melakukan persiapan.
Malah, pemain berusia 29 tahun itu turut mengalu-alukan sebarang bantuan dari sesiapa saja dalam memastikan sandaran yang diletakkan di atas bahu untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik berjaya direalisasikan.
“Namun, saya tahu, yang penting adalah diri saya sendiri. Saya sendiri kena fokus dan melakukan persiapan,” tambah Chong Wei yang mengakui sedikit tertekan dengan harapan tinggi semua pihak.
Jelasnya, berbanding seteru utamanya, Lin Dan dari China yang mempunyai sokongan daripada pemain-pemain muda seperti Chen Long dan Chen Jin, beliau terpaksa menanggung beban meraih pingat emas Sukan Olimpik seorang diri.
“Begitupun, itu semua tidak apa. Sukan Olimpik kali ini merupakan penampilan terakhir saya.
“Saya sudah tidak kisah dengan tekanan. Saya anggap ini satu cabaran dan saya harap media dan semua yang lain memberi sokongan,” jelas Chong Wei.
sumber : KOSMO
Labels:
BADMINTON
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment