Kisah seorang abid yang hidupnya sentiasa berpindah randah dari satu masjid ke satu masjid untuk beribadah kepada Allah.
Satu hari, si abid telah datang ke sebuah masjid yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Tinggallah si abid di masjid tersebut dan seperti biasa beliau menjalani rutinnya.
Setelah hampir sebulan di situ, kehadirannya mula menarik perhatian dan menjadi pertikaian oleh penduduk-penduduk kampung.
Penduduk kampung mula merasa gelisah kerana si abid itu tidak bekerja untuk menampung perbelanjaan keperluan hidupnya.
Penduduk kampung menyoal si abid siapakah yang menampung perbelanjaan sehariannya. Si abid pun menjawab bahawa segala keperluan dan makanannya telah dikurniakan oleh Allah.
Maka kecohlah kampung tersebut kerana tidak percaya dan menyangkakan bahawa si abid tersebut telah menjadi gila.
Setelah beberapa kali si abid disoal soalan yang sama, maka barulah si abid tersebut menjawab bahawa sebenarnya segala perbelanjaannya telah dibiayai oleh orang-orang yahudi.
Jawapannya ini telah menimbulkan kemarahan penduduk kampung tersebut dan mereka bertindak menghalau si abid tersebut.
Maka si abid tersebut bersetuju untuk keluar dari Kampung tersebut sambil berkata : Apabila aku mengatakan bahawa Allah yang mengurniakan rezeki kepada diriku, tidak ada siapa yang mahu percaya tetapi apabila aku mengatakan bahawa manusia yang memberikan rezeki, kamu mempercayainya kerana hati-hati kamu hanya bergantung kepada sesama manusia dan bukan lagi kepada Sang Pencipta.
=======
Inilah iktibar yang boleh kita ambil agar kita kembali bertawakal kepada Allah. Dan tawakal ini bukanlah untuk menunjukkan kesombongan, kebesaran diri dan kemegahan tetapi bagi menzahirkan sifat Allah yang Maha Besar.
Apatah lagi untuk bertujuan memutuskan silatur rahim dengan menjauhkan diri dari manusia serta melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah.
Sebagai contoh, konsep tawakal tidak pernah menghalang seorang yang bertawakal itu mengambil lesen kenderaan tetapi sebaliknya bahawa kerana beramal dengan konsep tawakal itulah seseorang itu sentiasa berusaha mentaati peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa.
Dalam disiplin ilmu tarekat sebagaimana yang terdapat di dalam Kitab Lawaqih Anwarul Qudsiah Fi Ma'rifati Qawa'id Sufiyyah karangan Imam Abdul Wahab al-Sya'rani r.a bahawa sekiranya seorang guru mengeluarkan murid dari madrasahnya adalah setelah murid tersebut melakukan kesalahan yang berkali-kali (kebiasaannya guru telah memberi peluang sebanyak tiga kali).
Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan juga sang guru tidak mengeluarkan murid itu tadi tetapi dibiarkan sahaja kerana kasih dan bimbangnya sang guru itu terhadap muridnya agar tidak menjadi lebih buruk lagi sekiranya dikeluarkan. Tetapi tetap menjadi kebiasaan murid itu tadi mengeluarkan dirinya sendiri dari madrasah dan kasih gurunya itu kerana sifat sombong serta kejahilannya. Maka fahamilah...
No comments:
Post a Comment