(Taqarrub) bererti menghampirkan diri kepada Allah S.W.T. Satu usaha yang dilakukan oleh seorang hamba untuk mendapatkan kasih (hubb) illahi. Taqarrub merupakan satu martabat pengabdian yang tinggi, melebihi amalan-amalan biasa yang sewajarnya dilaksanakan.
"Bertaqarrub" bererti melakukan amalan-amalan sunat (nawafil) secara terus-menerus. Allah S.W.T berjanji bahawa Ia akan mengasihi orang yang berkenaan. Apabila Allah S.W.T mengasihi seseorang, Allah S.W.T akan memberi kekuatan fizikal, iaitu telinga,mata, tangan dan kaki, juga kekuatan mental. Apabila orang yang berkenaan memohon, Allah S.W.T akan memperkenankan dan akan melindunginya andai ia memohon perlindungan.
Martabat taqarrub tidak akan diperolehi oleh seseorang sehingga Allah S.W.T mengasihi orang yang berkenaan. Ini bermaksud bahawa pembentukkan sifat taqarrub itu adalah semata-mata kerana belas ehsan serta kemurahan Allah S.W.T jua.
Diantara kaedah atau cara untuk bertaqarrub kepada Allah S.W.T ialah dengan melakukan amal ibadat pada hari-hari Jumaat, berpuasa sunat pada masa-masa tertentu,beribadah pada malam hari dengan melakukan Sembahyang Tahajud, Tasbih, Wirid dan lain-lain termasuk membaca Al-Quran.
Bertaqarrub bererti berilmu. Hamba yang kuat beribadah (abid) tetapi tidak berilmu itu sebenarnya tidak ubahnya seperti orang yang berjaya melakukan sesuatu tetapi hanya berupaya melepaskan tanggungjawab diri yang perlu dipikul. Untuk mempertahankan keyakinan yang dimiliki itu seseorang itu kadang-kadang menemui kegagalan. Seumpama orang yang bertaklid yang melakukan sesuatu secara ikut-ikutan, bukan daripada keyakinan diri.
Bertaqarrub juga bererti berusaha dengan akal dan kekuatan yang dikurniakan kemudian bertawakal, menyerah diri kepada Allah S.W.T. Ini bererti Allah S.W.T itu merupakan tempat berlindung yang sebenar. Orang yang bersandarkan atau hidup mengharapkan kepada orang lain akhirnya akan kecewa kerana manusia itu akan pupus.
Begitulah halnya dengan orang yang bersandarkan kepada kekuatan meterial dan sebagainya. Hal yang demikian tidak berlaku padaNya. Allah S.W.T itu tetap kekal (Qadim). Berdasarkan keterangan tersebut tidak peliklah kalau jiwa orang yang bertaqarrub kepada Allah S.W.T itu sentiasa tenang dan damai kerana tempat ia besandar dan berlindung itu tetap kekal (Qadim), Maha Agung lagi Perkasa.
Taqarrub dapat juga bererti ikhlas iaitu melakukan sesuatu kerana Alllah S.W.T. Oleh sebab orang yang bertaqarrub itu menyandarkan diri kepada Allah S.W.T, maka segala tindak tanduknya adalah kerana Allah S.W.T. Dengan menggunakan akal untuk memilih, orang yang bertaqarrub tidak akan menyeleweng, juga tidak takut melaksanakan sesuatu yang hak. Itulah sebabnya orang yang bertaqarrub itu orang yang berjaya hidupnya di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya bertaqarrub adalah jalan yang perlu dilalui oleh setiap orang yang inginkan kejayaan, ketenangan jiwa dan keamanan di dunia dan di akhirat.
Diambil dari petikan :
"TAQARRUB AMALAN MENGHAMPIRKAN DIRI PADA ILLAHI"
oleh Dr.Amran Kasimin (1991)
No comments:
Post a Comment