Pages

Wednesday, 23 August 2017

JOM KITA IKATKAN HATI INI DENGAN RUMAH ALLAH

Di dalam hadis Rasulullah ﷺ bersabda "Tempat yang paling dicintai di sisi Allah adalah masjid-masjid-Nya dan tempat yang paling dibenci di sisi Allah adalah pasar-pasar." Masjid adalah tempat yang paling dicintai dan dimuliakan oleh Allah سبحانه  وتعالى kerana masjid adalah tempat turunnya rahmat Allah سبحانه  وتعالى.

Oleh kerana itu, barangsiapa yang ingin mencari rahmat Allah سبحانه  وتعالى maka selalulah pergi ke masjid. Apabila kita solat berjemaah, menghadiri majlis talim, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah,  duduk muhasabah diri, tafakkur mengingati hari akhirat maka hati kita akan rasa tenang rasa seronok.

Para Ulama mengatakan "Perbezaan di antara orang-orang yang benar-benar beriman dengan orang-orang munafik adalah umpama ikan-ikan di lautan dan burung di dalam sangkar. Orang-orang yang imannya kuat apabila dia masuk duduk di dalam masjid maka dia akan rasa seronok, suka, gembira dan tenang apabila duduk di dalam masjid umpama ikan-ikan yang berenang di lautan.

Akan tetapi, orang-orang munafik bilamana dia masuk duduk dalam masjid dia akan rasa cepat bosan tak sabar-sabar nak keluar umpama burung yang di dalam sangkar dia rasa terkurung bila duduk dalam masjid."

Hadis ini Nabi ﷺ menggalakkan kita untuk selalu mendekatkan diri kepada masjid, suka pergi ke masjid, duduk iktikaf di dalam masjid. Orang-orang yang hatinya suka kepada masjid, terikat kepada masjid yang walaupun ketika dia dekat rumah hatinya teringat pada masjid tak sabar nak pergi ke masjid maka dia akan mendapatkan nikmat yang begitu besar di hari akhirat nanti.

Nabi ﷺ mengatakan "Nanti ada 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." Yang mana salah satu daripada 7 golongan itu adalah orang yang hatinya selalu terpaut dengan masjid.

Dan tempat yang paling dibenci oleh Allah سبحانه  وتعالى adalah pasar-pasar. Kenapa? Kerana Rumah Allah yakni masjid adalah tempat turunnya Para Malaikat tak putus-putus sedangkan pasar adalah merupakan tempat yang disukai oleh syaitan. Nabi ﷺ mengatakan "Syaitan akan beranak-pinak di pasar."

Oleh kerana itu, orang yang selalu berada di pasar yang tidak mempunyai hajat apa-apa keperluan di pasar maka dia akan menjadi orang yang lalai, tak khusyuk, susah untuk mengingati kepada Allah tetapi orang yang dipilih oleh Allah سبحانه  وتعالى untuk berada duduk di dalam masjid maka dia adalah orang yang paling beruntung.

Tidaklah kita dapat hadir ke masjid duduk menunaikan solat di dalam masjid, beriktikaf di dalam masjid, membaca Al-Quran, berzikir mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى, menghadiri majlis ilmu melainkan kita adalah menjadi pilihan Allah سبحانه  وتعالى. Kita mendapatka jemputan khusus daripada Allah.

Yang walaupun mungkin kita berniat untuk hadir pergi ke masjid tetapi tanpa taufik dan hidayah daripada Allah سبحانه  وتعالى tanpa pilihan daripada Allah سبحانه  وتعالى maka sudah pasti kita tidak hadir ke masjid.

Tidak kiralah kita ini orang yang paling kaya sekalipun memiliki kenderaan yang mahal dan laju sekalipun hatta rumah kita dekat dengan masjid sekalipun tanpa pilihan daripada Allah, jemputan daripada Allah maka kita tidak akan sesekali dapat menggerakkan kaki kita untuk menuju ke masjid.

Jadi bersyukurlah kita apabila kita dipilih oleh Allah mendapatkan taufik dan hidayah daripada Allah سبحانه  وتعالى untuk melangkahkan kaki kita menuju ke masjid kerana itu merupakan suatu nikmat yang begitu besar yang patut kita selalu syukuri apabila kita diizinkan dipilih oleh Allah Ta'ala.

[HABIB MAHDI BIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment