Pages

Tuesday, 3 July 2012

BUJANG SEBELAK TEWAS.


             ORANG ramai memikul bangkai Bujang Sebelak untuk dibawa ke pekan Roban selepas ia ditangkap dan dibunuh semalam

SARATOK - Buaya ganas yang dalam buruan sejak 14 hari lalu, Bujang Sebelak akhirnya ditangkap dan dibunuh selepas ia kembali menggemparkan pekan Roban di sini dengan membaham isteri ketua Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, pada 19 Jun lalu.
Buaya jantan seberat 200 kilogram dan panjang 3.65 meter itu ditangkap oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong, 49.
Bangkai itu disahkan sebagai Bujang Sebelak berdasarkan mata kirinya yang buta selain dua kesan tembakan pada bahagian bawah rahang kirinya. Tembakan senapang itu dilepaskan oleh penduduk pada hari buaya itu membaham Siah.
Indet memberitahu, Bujang Sebelak telah memakan umpan daging anjing putih yang dipasang di Sungai Nyiar, kira-kira tiga kilometer dari Rumah Panjang Nanga Sungai Anak petang kelmarin.
Dia kemudian menaiki perahu bersama adiknya, Tinggi Sanabong, 45, serta dua lagi pembantu untuk melihat umpan sebelum menyedari buaya yang dipasang telah beralih tempat, iaitu satu petanda umpannya telah mengena.
Mereka mengambil masa sejam untuk bertarung menaikkan Bujang Sebelak.
Menurut Indet yang berasal dari Ulu Paku, Spaoh, mereka turun memasang umpan di beberapa tempat di sungai yang sebelum itu dijampi terlebih dulu, bermula jam 6.30 petang kelmarin.
“Umpan dijampi untuk ‘pesalah’ yang pernah membunuh manusia dan apabila air pasang, buaya dimaksudkan akan datang untuk memakan umpan itu.
“Hanya buaya ‘bersalah’ akan datang memakan umpan anjing putih itu. Perkara ini disedari seawal jam 8 pagi tadi (semalam) dan beberapa penduduk bergegas ke Lubok Nanga yang terletak tiga kilometer dari rumah panjang Sungai Anak,” katanya. – Kosmo

No comments:

Post a Comment