Pages

Wednesday, 11 July 2012

APA ITU KEHIDUPAN DUNIA ?

Bukan buta mata di kepala tetapi buta mata pada hati. Jika ketika hidup di dalam dunia tidak menemui jalan kembali kepada Tuhan, sesudah matinya pun tidak menemui jalan. Kesesatan jalan di akhirat lebih menggerunkan daripada buta mata di dunia.


Apa juga yang manusia mahu usahakan maka dunia inilah kebunnya. Kehidupan dalam dunia inilah yang menentukan nasib manusia ketika sakratul maut, dalam alam kubur, di Padang Mahsyar, di Hisab, di atas jambatan menyeberangi neraka dan pada kehidupan yang abadi. Perbezaan di antara dunia dan akhirat hanya satu sahaja, iaitu di akhirat ada peluang untuk melihat Tuhan secara terang-terangan, sementara di dunia melihat Tuhan melalui hijab-hijab. Urusan Islam, iman, tauhid dan makrifat selesai di dalam dunia ini juga. Apa yang diperolehi di dunia ini itulah yang akan dibawa ke akhirat.



 Tugas menjadikan dunia sebagai kebun akhirat bukanlah mudah. Suasana semulajadi dunia menjadi cabaran kepada petani-petani akhirat.Roh Insan yang sangat suci hanya menyata apabila ia dibaluti oleh jasad dan bakatnya hanya menonjol apabila ia ditempatkan di dalam dunia. Ketika Adam a.s mendiami syurga bakat kekhalifahannya tidak menyata. Setelah dimasukkan ke dalam dunia baharulah nyata Adam a.s sebagai khalifah Tuhan. Keturunan Adam a.s juga menanggung kewajipan kekhalifahan itu di dalam dunia ini juga. Di dalam dunia yang sangat luas ini Adam a.s dan keturunannya ditempatkan pada satu tempat yang bernama bumi. Kehidupan di dunia dengan kehidupan di bumi adalah perkara yang sama bagi Adam a.s dan keturunannya. Kehidupan dunia ini adalah satu-satunya peluang untuk manusia. Manusia tidak diberi peluang yang kedua kali.
Dan barangsiapa yang buta di sini, maka di akhirat pun dia buta dan lebih sesatlah jalannya.
( Ayat 72 : Surah al-Isra’ )


Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi”, mereka berkata: “Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau”. Dia berfirman: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Para malaikat sudah dapat membayangkan kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat kehidupan dunia yang ada dalam pengetahuan malaikat adalah huruhara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu, sementara huruhara dan pertumpahan darah adalah anak-anaknya. Kelahiran huruhara dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana dunia itu sendiri secara semulajadi. Manusia sebagai khalifah bertugas membersihkan dunia daripada huruhara dan pertumpahan darah itu. Khalifah tidak seharusnya membiarkan dunia terus melahirkan anak-anak jahat dan nakal.
 Tuhan memperjelaskan lagi keadaan huruhara penghidupan dunia:
Tuhan berfirman: “Pergilah kamu (Adam dan Hawa). Sebahagian daripada kamu (manusia) jadi musuh kepada sebahagiannya. Dan adalah bagi kamu di bumi itu tempat ketetapan dan bekalan hingga satu masa (mati dan kiamat)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )



 Alam dihukumkan dengan kiamat dan setiap yang hidup dihukumkan dengan mati. Manusia hidup dalam dunia, mati dalam dunia dan dibangkitkan daripada dunia. Dunia yang dikenali sebagai medan asbab akan melahirkan berbagai-bagai usaha dan tindakan. Sifat dunia tidak mengizinkan usaha dan tindakan melahirkan hasil yang sempurna. Banyak daripada pokok yang ditanam tidak sempat berbuah atau buahnya tidak semanis yang dijangkakan. Tuhan memperingatkan bahawa apa juga yang manusia tanam di dunia buah yang sempurna muncul di akhirat. Buah yang manis, masam atau beracun akan dirasai dengan sempurna setelah berlaku kiamat. Apa yang diperolehi di dalam dunia lebih banyak bersifat bayangan yang menipu-daya.



 Manusia terdiri daripada dua jenis anasir iaitu tubuh zahir dan hati seni. Gabungan anasir zahir yang kasar dengan anasir rohani yang seni membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar umpama muka cermin yang gelap di sebelah belakang dan rohani pula umpama muka cermin yang terang di hadapan. Susunan manusia yang demikian menyebabkan manusia boleh menerima suluhan  cahaya Ilahi. Kebolehan ini dinamakan mengenal Tuhan melalui mata hati. Makhluk yang mempunyai satu jenis badan sahaja tidak memiliki kebolehan yang demikian. Malaikat yang hanya memiliki badan yang terang dan haiwan yang hanya memiliki badan yang kasar tidak boleh berfungsi sebagaimana manusia. Malaikat hanya mengenal Tuhan dalam satu aspek sahaja iaitu aspek tanzih. Haiwan pula tidak mengenal Tuhan. Hanya manusia yang boleh mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih, iaitu Tuhan yang tidak serupa dengan sesuatu dan Dia yang memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya.

Kehidupan dalam dunia membawa manusia bermusuhan sesama sendiri. Dalam dunia yang huruhara, penuh dengan permusuhan dan pertumpahan darah itulah manusia menetap sehingga sampai ajal mereka dan sehingga berlaku kiamat. Tuhan mengajar manusia supaya mengambil bekalan semasa hidup di dunia. Tuhan mengajar manusia supaya menghargai tempuh singkat yang Tuhan berikan kepada mereka di dunia ini.

Dia berfirman: “Padanya (bumi) kamu hidup dan di situlah kamu akan mati dan daripadanya kamu akan dikeluarkan. ( Ayat 25 : Surah al-A’raaf )

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan tidak akan disempurnakan balasan kamu melainkan pada hari kiamat. Lantaran itu barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka selamatlah dia, kerana penghidupan dunia ini tidak lain melainkan menipu-daya. ( Ayat 185 : Surah a-Li ‘Imran )

Sifat semulajadi manusia yang mampu menerima suluhan cahaya Ilahi itu tertutup kerana manusia hidup di dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan gabungan badan yang gelap dengan rohani yang cerah. Dalam dunia ini wujud satu jenis makhluk yang diciptakan daripada cahaya api, dinamakan syaitan berbangsa jin. Cahaya api syaitan ini boleh menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan menjadikannya lutsinar, menyebabkan suluhan yang datang dari alam ghaib tidak melekat pada cermin hati. Peringatan yang di sampaikan oleh nabi-nabi tidak berbekas pada hati. Sekalipun nabi-nabi memperlihatkan mukjizat namun hati tetap tidak dapat melihat kebenarannya. Beginilah yang terjadi kepada manusia yang hidup di dalam dunia dan diganggu oleh cahaya api syaitan. Badan cahaya api syaitan menjadi tembok menghalang cahaya kebenaran daripada masuk ke dalam hati. Apabila cahaya kebenaran tidak melekat pada hati maka hati tidak mengenal apakah yang benar. Hati yang sudah jahil itu menjadi kain putih yang menerima apa sahaja yang ditayangkan oleh syaitan.


Syaitan mengadakan berbagai-bagai gambaran dan dihantarkannya kepada hati. Hati menyangkakan bentuk yang dihantar oleh syaitan itulah kebenaran. Hasilnya muncullah penjelmaan mengambil alih tempat kebenaran. Penjelmaan gubahan syaitan itulah yang diterima oleh manusia sebagai yang benar. Manusia yang di dalam keadaan sedemikian beramal menurut gubahan syaitan tetapi menyangkakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Lahirlah keyakinan yang dibina di atas asas yang sesat. Ada manusia menyembah batu dengan menyangkakan itulah jalan yang benar. Ada manusia membunuh diri dengan keyakinan mereka mati syahid. Amalan sesat telah menjadi kepercayaan yang suci lantaran mereka diperdayakan oleh syaitan.

Dunia yang dihuni oleh syaitan melahirkan berbagai-bagai tipu daya. Semua bidang kehidupan manusia diresapi oleh tipu daya syaitan. Syaitan membina jalan yang selari dan hampir dengan jalan yang lurus dan diperhiaskan jalan itu sehingga apa sahaja yang ada padanya kelihatan bersesuaian dengan jalan yang lurus. Akibat perhiasan yang dipamerkan oleh syaitan, fitrah manusia hilang kekuatan untuk melonjak kepada fitrah Muslim. Mereka berpuas hati dengan berpegang kepada fitrah kemanusiaan sahaja dan dalam keadaan yang demikian fitrah kemanusiaan tidak berkekuatan menyekat tarikan syaitan. Akibatnya nilai-nilai murni kemanusiaan dicampur adukkan dengan nilai-nilai palsu yang datang dari syaitan. Ramai daripada penganut agama Islam sendiri mencampur adukkan nilai Islam dengan nilai syaitan.


Di sana sini banyak terjadi orang yang bersembahyang tetapi masih melakukan perbuatan zina dan meminum arak. Orang yang menunaikan fardu haji masih melakukan rasuah. Orang yang berpuasa tetapi masih mencuri dan menipu. Orang yang mengucapkan dua Kalimah Syahadah masih juga pergi ke kubur-kubur kerana meminta nombor toto. Perilaku orang yang mengaku beragama Islam tidak berbeza dengan orang yang ternyata kafir. Semua itu terjadi kerana warna syaitan melindungi warna kebenaran. Orang yang telah menerima dan mengguna-pakai warna syaitan itu dinamakan ahli dunia.

 Dalang yang mengarahkan perjalanan ahli dunia adalah raja syaitan iaitu iblis. Iblis adalah sumber kejahatan dan syaitan adalah penyebar kejahatan iblis itu. Iblis sentiasa mengheret manusia supaya menyalahi ubudiah kepada Tuhan. Iblis memasukkan sifat-sifatnya kepada manusia bagi menyekat atau melengah-lengahkan mereka menunaikan perintah Tuhan. Sifat iblis adalah kufur atau engkar kepada kebenaran.



Apabila sifat iblis membaluti hati manusia ia akan bertindak sebagai tenaga yang menghalang apa juga kebenaran yang mahu masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh menerima sesuatu kebenaran itu namun tenaga yang muncul daripada sifat iblis menghalang hujah akal daripada diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengenal dan mengakui kebenaran masih juga menolak kebenaran itu dan berbuat yang tidak benar. Orang yang mengakui berzina adalah berdosa tetapi masih juga melakukannya. Orang yang mengakui rasuah itu berdosa masih juga berbuat rasuah. Bahkan orang-orang yang menggubal undang-undang berdasarkan kebenaran yang diperolehi melalui akalnya masih juga melanggar undang-undang tersebut. Akal mengakui kewajipan bersembahyang dan anggota melakukan perbuatan sembahyang tetapi hati yang dikuasai oleh sifat iblis tidak mampu lari daripada kemaksiatan.


Syaitan menjadi ejen yang menghantar sifat-sifat iblis kepada manusia. Syaitan masuk ke dalam tubuh manusia melalui perjalanan darah. Darah yang dimasuki oleh syaitan akan menerbitkan rangsangan atau dorongan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Syaitan hanya mampu memberi rangsangan tetapi tidak mampu menggerakkan anggota manusia untuk melakukan sesuatu. Nafsu manusia sendiri yang bertindak menggerakkan anggotanya supaya melakukan kejahatan sebagaimana yang dirangsang oleh syaitan. Nafsu adalah umpama tuan rumah dan syaitan umpama pendatang haram. Tuan rumah sendiri yang mengizinkan pendatang haram memasuki rumahnya dan membiarkannya memerintah di dalam rumah itu. Syaitan bertindak sebagai pengajar dan nafsu yang menerima pengajaran syaitan bertindak sebagai pelaku.
 Nafsu yang jahat, seperti tuan rumah yang jahat, melakukan kejahatan di dalam rumahnya walaupun kejahatan daripada luar tidak masuk. Nafsu yang rendah memang cenderung kepada kejahatan walaupun tidak menerima rangsangan syaitan. Rangsangan syaitan ditujukan kepada perkara yang menyalahi ubudiah, kederhakaan kepada Tuhan, berbuat syirik dan kufur terhadap kebenaran. Apabila manusia menolak satu rangsangan jahat, syaitan dengan cepat mencadangkan kejahatan yang lain. Asal sahaja kejahatan dilakukan syaitan sudah berasa senang dan puas. Jika syaitan gagal merangsang manusia supaya meninggalkan sembahyang, syaitan akan berpindah kepada merangsang agar manusia bersembahyang dengan lalai. Jika manusia berjaya meneruskan sembahyangnya sehingga selesai, syaitan beralih kepada merangsang agar manusia berasa riak dengan sembahyangnya.


Sikap nafsu berbeza dengan sikap syaitan. Nafsu gemar kepada perkara-perkara yang menyeronokkan, suka kepada kebesaran dan kemuliaan dan cenderung kepada yang melalaikan. Tabiat nafsu, jika ia inginkan sesuatu, ia akan mengejar atau menanti sesuatu itu. Ia tidak mahu menyerah kalah sebelum ia mendapatkannya. Ia boleh mendiamkan diri walaupun bagi tempuh yang lama. Bila ada kesempatan ia akan muncul semula, selagi keinginannya belum tercapai. Cita-cita merupakan bakat nafsu. Mencitai kesejahteraan hidup adalah bakat nafsu yang baik. Banyak pula bakat nafsu yang tidak baik. Nafsu yang menginginkan seorang perempuan cantik tidak berhenti mengingininya walaupun perempuan itu sudah menjadi isteri orang lain. Sebab itulah nafsu yang tidak dikawal oleh iman sanggup merosakkan rumah tangga orang lain demi mencapai keinginannya. Begitu juga keinginan nafsu kepada kereta mewah. Ketika tidak mampu ia mendiamkan diri. Sebaik sahaja ada kemampuan, kereta mewah yang diingininya itulah yang pertama sekali dibelinya. Keinginan dan cita-cita nafsu tidak mudah berubah, tetapi rangsangan syaitan mudah berubah daripada satu kejahatan kepada kejahatan yang lain. Nafsu yang rendah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan syaitan pula merosakkan kehambaan kepada Tuhan. Gabungan keduanya menjadikan manusia golongan yang engkar dan berbuat maksiat.



Sesungguhnya nafsu ammarah sangat mengheret kepada kejahatan. (Ayat 53 : Surah Yusuf )



Nafsu pada peringkat yang paling rendah dan paling buruk dinamakan nafsu ammarah. Ammarah adalah sifat nafsu yang berkongsi dengan sifat syaitan, iaitu nafsu yang warnanya diresapi oleh warna syaitan. Nafsu pada peringkat ammarah berkedudukan sama dengan syaitan. Inilah nafsu yang sesat.
Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil nafsunya sebagai tuhan dan dia disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya), lalu ditutup Allah akan pendengarannya dan penglihatannya tertutup. ( Ayat 23 : Surah al-Jaathiyah )Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )

Kesesatan nafsu boleh sampai kepada peringkat mempertuhankan jin. Syaitan adalah bangsa jin. Jin yang berbangsa syaitan inilah yang dipertuhankan oleh nafsu manusia. Bila nafsu lari dari sumbernya, iaitu roh yang suci murni dan ia bersyarikat pula dengan syaitan dari bangsa jin, berlakulah kerosakan pada akidah dan akhlak manusia. Dari segi akidah manusia boleh mempertuhankan nafsunya atau mempertuhankan jin atau mempertuhankan kedua-duanya sekali. Nafsu manusia dengan diri manusia (ego) adalah perkara yang sama. Mempertuhankan nafsu dan mempertuhankan ego diri adalah yang sama. Firaun dan Namrud mengaku menjadi tuhan. Mereka mempertuhankan nafsu. Qarun mengaku menjadi tuhan harta. Qarun juga mempertuhankan nafsu. Sebahagian manusia mempertuhankan roh. Mereka juga mempertuhankan nafsu. Ramai manusia menolak peraturan Allah s.w.t kerana mahu memuaskan nafsu mereka. Mereka juga termasuk di dalam golongan yang mempertuhankan nafsu. Pertuhanan nafsu yang paling halus adalah sifat riak, melakukan kebaikan untuk mendapat pujian orang ramai demi menaikkan ego nafsunya.


Nafsu yang mempersekutukan dirinya dengan Tuhan itulah yang mengundangkan pertuhanan jin. Nafsu yang boleh masuk ke dalam alam khayal ciptaan syaitan mengambil bentuk-bentuk tuhan yang digubah oleh syaitan. Jin suka menjelma dalam bentuk haiwan seperti ular, gajah putih, kera dan lain-lain. Penjelmaan jin dalam bentuk haiwan itu dalam keadaan luar biasa, seperti ular berkepala tujuh, gajah bergading emas, kera sakti dan lain-lain yang menguatkan sangkaan manusia jahil bahawa itulah tuhan. Mereka yang menerima tuhan-tuhan yang demikian memanggilnya sebagai dewa-dewi, ratu, puteri dan lain-lain. Itu semua adalah jin yang mengenakan tipu daya kepada manusia yang jahil tentang Tuhan.

 Kerosakan akidah yang berlaku kepada umat manusia berpunca daripada iblis yang memusuhi bangsa manusia sejak manusia yang pertama.
(Iblis) berkata: “Beri tempuh akan daku wahai Tuhanku, kerana aku akan menyesatkan mereka hingga hari kiamat.” Tuhan berfirman: “Kamu diberi tempuh.” Iblis berkata: “Oleh kerana aku telah sesat, maka aku akan halang mereka daripada jalanMu yang lurus. Aku datang kepada mereka dari hadapan, belakang, kanan dan kiri dan Engkau dapati kebanyakan mereka tidak mensyukuri Engkau. ( Ayat 14 – 17 : Surah al-A’raaf )
Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakit mereka dan bagi mereka azab yang pedih akibat dusta mereka. ( Ayat 10 : Surah al-Baqarah )




Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka jahanam beberapa ramai dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak mengerti, mempunyai mata tetapi tidak melihat, mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Mereka adalah seperti haiwan bahkan lebih hina daripada itu dan mereka adalah orang-orang yang lalai. ( Ayat 179 : Surah al-A’raaf )Kami jadikan manusia dalam bentuk yang paling baik kemudian kembalikan dia ke tempat yang paling rendah. ( Ayat 4 & 5 : Surah at-Tiin )
Manusia yang sudah parah dijangkiti oleh penyakit iblis akan mengikuti iblis kepada kedudukan yang paling buruk.

Itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, maka ditulikan pendengaran mereka, dibutakan penglihatan mereka. Tidakkah mereka merenung al-Quran? Bahkan dalam hati mereka terdapat kunci-kunci. ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad )

 Azazil yang telah berbuat ibadat kepada Tuhan selama beribu tahun, apabila mendapat laknat dari Tuhan, bertukarlah keadaannya, terhapus semua ibadatnya yang telah lalu dan dia berubah menjadi iblis. Jika Tuhan melaknati seseorang manusia dia akan bertukar menjadi syaitan berbangsa manusia. Iblis, syaitan berbangsa jin dan syaitan berbangsa manusia akan menjadi penghuni neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya.


  Fitnah dan tipu daya yang menanti manusia di dalam dunia sangat besar dan bahaya. Setiap kelahiran keturunan Adam a.s akan disambut oleh syaitan yang menjadi bakat iblis. Cahaya syaitan akan mewarnai cermin hati manusia. Apa yang singgah pada hati akan berubah keasliannya. Hati manusia akan terlindung daripada menyaksikan yang benar. Hanya satu sahaja yang sangat berkesan memelihara dan membersihkan cermin hati daripada warna syaitan. Itulah syariat!....................




No comments:

Post a Comment