Pages

Sunday, 14 January 2018

Fasal Pada Menyatakan Setengah Perkara Daripada Yg Ta'alluq Pada Solat

(Siri ٣) Terjemahan kepada bahasa melayu

Bermula jangan terdahulu tumit makmum kepada pihak kiblat daripada tumit imam jika sembahyang berdiri. Dan jangan terdahulu pinggang makmum daripada pinggang imam jika ada ia sembahyang berduduk. Dan jangan terdahulu lambung makmum daripada lambung imam jika ada ia sembahyang berbaring yg tetap.

Jika bersamaan tumit makmum dengan tumit imam, sahlah sembahyang makmum tetapi makhruh dan tiada diperolehnya fadhilat berjama'ah. Dan disunatkan bagi makmum yg lelaki, berdiri terkebelakang sedikit daripada imamnya kerana menyatakan martabat imam.

(Syahdan) sunat bagi seorang makmum yg lelaki, jikalau ada ia kanak-kanak sekalipun bahawa berdiri ia pada pihak kanan imamnya serta terundur sedikit. Dari kerana jika berdiri makmum yg seorang dibelakang imam atau dikirinya, nescaya adalah ia makruh lagi meluputkan fadhilat berjama'ah. Maka jika datang pula seorang makmum yg lain, maka sunat ia berdiri pada pihak kiri imamnya serta terundur sedikit daripada imamnya. Jika sudah takbiratul ihram makmum yg dikiri itu, hendaklah maju imamnya ke hadapan atau undur kedua makmum itu ke belakang pada ketika berdiri. Maka iaitulah yg terafdhal.

Adapun jika undur makmum yg kanan terdahulu daripada takbiratul ihram makmum yg dikiri, atau tiada undur keduanya, atau undur ia lain daripada ketika berdiri maka iaitu makruh lagi luputlah dengan dia fadhilat berjama'ah. Dan jika hadir dua orang lelaki maka hendaklah keduanya berdiri bersaf dibelakang imamnya.

Dan demikian lagi apabila hadir seorang perempuan atau lebih, hendaklah ia berdiri dibelakang imam. Dan jika hadir seorang lelaki dan seorang perempuan, maka hendaklah berdiri lelaki itu dikanan imam dan berdiri perempuan itu dibelakang lelaki. Dan jika hadir dua orang lelaki dan seorang perempuan atau khunsa, maka hendaklah berdiri dua orang lelaki itu dibelakang imam dan berdiri seorang perempuan atau khunsa dibelakang dua lelaki. Dan jika hadir seorang lelaki dan khunsa dan perempuan, hendaklah berdiri lelaki itu dikanan imam dan berdiri khunsa dibelakang imam dan berdiri perempuan itu dibelakang khunsa.

(Syahdan) sunat apabila berbilang saf makmum, bahawa berdiri dibelakang imam itu sekalian lelaki yg baligh. Kemudian sudah berisi penuh saf lelaki itu, maka berdiri bersaf dibelakang mereka itu sekalian kanak-kanak. Tetapi jika terdahulu sekalian kanak-kanak lelaki kepada saf yg pertama, maka tiadalah undurkan mereka itu kepada saf yg dibelakang dari kerana kanak-kanak itu sejenis dengan lelaki yg baligh.

Bersalahan jika terdahulu khunsa atau perempuan pada saf yg pertama, maka diundurkan ia kepada saf yg dibelakang. Dan jika tiada penuh saf lelaki yg baligh itu, maka dipenuhi dengan kanak-kanak. Kemudian maka bersaf dibelakang kanak-kanak itu, sekalian khunsa. Kemudian maka berdiri dibelakang khunsa itu sekalian perempuan. Maka apabila disalahi tertib yg tersebut itu maka iaitu makruh.

Dan demikian lagi tiap-tiap sunat yg ta'alluq pada tempat perdiriannya berjama'ah, makruh menyalahinya lagi meluputkan fadhilat berjama'ah.

(Syahdan) sunat bahawa berdiri imam perempuan sama perempuan pada pertengahan saf makmum. Dan demikian lagi berdiri imam segala mereka yg bertelanjang pada pertengahan saf mereka itu. Dan hendaklah ada saf mereka itu satu saf jua supaya tiada menilik setengah mereka itu akan aurat setengahnya. Itupun jika tiada mereka itu buta dan tiada pada tempat yg kelam. Adapun jika ada sekalian mereka itu buta atau ada mereka itu didalam kelam, maka sunat bagi imamnya berdiri ke hadapan sekalian makmum.

Dan makruh bagi makmum berdiri seorang dirinya diluar saf jika diperolehnya didalam saf itu lapang. Tetapi jika tiada diperolehnya lapang didalam saf itu maka hendaklah ia takbiratul ihram diluar saf, kemudian maka sunat baginya menghilangkan seorang makmum yg didalam saf itu supaya bersaf keduanya dibelakang saf itu. Dan sunat bagi orang yg ditarik itu menurutkan orang yg menarik itu supaya diperolehnya fadhilat bertolong-tolong atas berbuat kebajikan dan takut akan Allah Taala.

Dan haram menarik itu sebelum takbiratul ihram yg menarik kerana mengeluarkan ia akan dia daripada bersaf kepada tiada saf dan menurunkan daripada saf yg diatas yg lebih kepada saf yg dibawah yg kurang.

كتاب سبيل المهتدين ٣٠-٣١
الشيخ محمد ارشد بن عبدالله البنجارى

Kitab Sabil Al Muhtadin 30-31
Syeikh Muhammad Arsyad Bin AbduLlah Al Banjari

Siri sebelumnya : Siri ٢

No comments:

Post a Comment