Terdapat sembilan adab-adab menuntut ilmu yang perlu dipatuhi semoga ilmu yang kita pelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah SWT.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Niat yang ikhlas.
Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah : "Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun".
Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
Kedua : Tekun berusaha dan bertawakal.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan:
عَنْ أَنَسِ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ (رواه الترمذي)
Dari Anas bin Malik ra, ada seseorang berkata kepada Rasulullah SAW. ‘Wahai Rasulullah SAW, aku ikat kendaraanku lalu aku bertawakal, atau aku lepas ia dan aku bertawakal?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Ikatlah kendaraanmu lalu bertawakallah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Tawakal yang merupakan perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW, jika dilakukan dengan baik dan benar, insya Allah tidak akan menjadikan seorang hamba menjadi hina dan tidak memiliki apa-apa. Kerana tawakal bukan bererti kita serahkan bulat-bulat tanpa usaha, tawakal harus terlebih dahulu didahului dengan adanya usaha yang maksima. Hilangnya usaha, bererti hilanglah hakikat dari tawakal itu.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُوْنَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوْحُ بِطَانًا (رواه الترمذي)
Dari Umar ra, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,’sekiranya kalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar-benarnya, pastilah Allah akan memberikan rezki kepada kalian sebagaimana Allah memberi rezki pada seekor burung. Pergi pagi hari dalam keadaan perut kosong, dan pulang petang hari dalam keadaan perut kenyang. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Ketiga : Menjauhi maksiat.
Kita mestilah menghidupkan budaya amar makruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)
Keempat : Memilih teman yang soleh.
Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan sahabat berbincang yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Adakalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sesiapa ingin mengetahui adakah daripada sahabatnya ia boleh menambah iman, agama dan amal atau menderita kekurangan daripadanya, maka hendaklah ia merenung kembali keadaannya sebelum persahabatan dan pergaulannya dengan orang berkenaan. Dengan lain perkataan, bagaimana keadaannya dalam hal keteguhan iman, agama dan akhlak mulia yang disandangnya, niat baik yang dipendamnya, serta semangatnya yang kuat untuk melakukan ketaatan dan kebajikan. Kemudian, perhatikan keadaannya dalam semua itu setelah bergaul dan berteman. Jika ia mendapati sifat dan amal baik itu telah bertambah kuat dan kukuh, semangatnya serta tekadnya untuk mempertahankannya pun semakin bertambah, maka dia dapat berasa lega kerana pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan manfaat baginya dalam agama dan jiwanya.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita sabdanya yang bermaksud : "Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman".(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Kelima : Banyakkan zikrullah.
Firman Allah SWT maksudnya,“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”
( Surah Al Insan, ayat 25 dan 26)
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."
Keenam : Menjaga kehormatan.
Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala keaiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.
Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan perasaan-prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."
Ketujuh : Mendapat doa dan keredaan ibu bapa.
Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa terhadap kita.
Firman Allah SWT dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan “ah” dan janganlah kamu mengertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : 'Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil'."
Kelapan : Menghormati guru.
Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam.
Firman Allah SWT maksudnya, “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-‘Imran ayat 18))
Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah Subhanahu Wa Ta‘ala memulakan dengan nama-Nya, kemudian dengan para malaikat-malaikat-Nya dan kemudiannya dengan ahli ilmu (guru) – ini sudah cukup membuktikan betapa tingginya martabat ilmu dan ahli ilmu itu.
Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ’Umamah al-Bahili radhiallahu ‘anhu telah berkata: Bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan bersalawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”
(Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.
Kesembilan : Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi.
Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala.
Firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Saff yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan."
Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.
Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment