Pages

Saturday, 25 June 2016

Perang Badar al-Kubra siri VII.

- Turunnya Tentera Dalam Kalangan Malaikat.

Dalam riwayat daripada Muhammad Ibnu Ishaq bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Abu Bakar : " Wahai Abu Bakar ! Bergembiralah, pertolongan Allah telah datang kepadamu. Itulah Malaikat Jibril a.s yang memegang tali kekang dan menunggang kudanya di atas hamburan debu."

Firman Allah SWT :
" Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedangkan kamu berkeadaan lemah ( kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang ). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu bersyukur ( akan kemenangan itu). ( Ingatlah wahai Muhammad ) Ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman ( untuk menguatkan semangat mereka) : " Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera daripada malaikat yang diturunkan?" Bahkan ( mencukupi dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka ( musuh) serta merta datang menyerang kamu, pasti Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda pada masing-masing. Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan untuk memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan ( ingatlah bahawa ) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya daripada Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. ( Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan daripada orang-orang kafir atau menghina mereka ( dengan kekalahan ) supaya mereka kembali dengan hampa dan kecewa."
     ~ Surah al-Imran : 123 - 127.

Ibnu Ishaq berkata : " Abdullah ibnu Abu Bakar berkata kepadaku daripada seorang Bani Sa'idah daripada Abu Usaid Malik Ibnu Rabi'ah yang turut serta dalam peperangan Badar. Setelah matanya buta, beliau berkata : " Jika hari ini aku berada di Badar dan aku masih dapat melihat, pasti aku akan menunjukkan kepada kamu semua tempat keluarnya para malaikat. Aku tidak ragu-ragu dan mereka-reka cerita ini."
Kemudian beliau menyambung lagi : " beberapa ulama berkata kepadaku bahawa Sayidina Ali Ibnu Abu Thalib berkata : " Serban ialah mahkota orang-orang Arab. Dalam perang Badar, ciri-ciri para malaikat ialah serban putih yang mereka turunkan sampai ke punggung mereka kecuali Malaikat Jibril a.s. Dia mengenakan serban berwarna kuning."

Abu Daud al-Mazini berkata : " Aku mengejar seorang daripada kaum Musyrikin untuk memukulnya. Tiba-tiba kepalanya terjatuh sebelum pedangku sempat memenggalnya. Lalu aku mengetahui bahawa dia telah dibunuh oleh orang lain."

Seorang daripada kaum Ansar datang membawa seorang tawanan iaitu Abbas Ibnu Abdul Muthalib. Lalu Abbas berkata : " Demi Allah! Yang menawanku bukanlah orang ini. Yang menawanku adalah orang yang tidak menggunakan pelindung diri dan paling tampan wajahnya, berkenderaan kuda hitam putih. Aku tidak melihatnya ditengah-tengah kaum."
Orang Ansar itu berkata : " Aku yang menawannya wahai Rasulullah."
Baginda SAW menjawab : " Diamlah kamu! Allah SWT telah membantumu dengan malaikat yang mulia."

- Iblis Melarikan diri dari medan pertempuran.

Telah disebut bahawa iblis datang dalam keadaan menyerupai Suraqah Ibnu Malik Ibnu Ju'syam al-Mudliji. Dan dari saat itu, dia sentiasa bersama merela. Tetapi apabila iblis melihat tentera malaikat bersama dengan tentera muslimin, iblis terus melarikan diri. Lantas al Harith Ibnu Hisyam berjaya menghalangi Suraqah kerana dia menyangka bahawa iblis itu ialah Suraqah. Namun Iblis berjaya menolak dadanya dan berjaya menjatuhkannya dan kemudian terus melarikan diri.

Lalu kaum Musyrikin berkata kepadanya : " Ke manakah engkau mahu pergi wahai Suraqah? Bukankah engkau mengatakan bahawa engkau akan melindungi kami dan tidak meninggalkan kami?"
Iblis menjawab : " Sesungguhnya aku melihat apa-apa yang tidak kalian lihat. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat keras seksaan-Nya."
Kemudian dia melarikan diri dan mencampakkan dirinya ke dalam laut.

Tanda-tanda kegagalan semakin jelas pada barisan kaum musyrikin. Mereka mulai gugur seorang demi seorang. Peperangan hampir berakhir hingga kaum musyrikin terdesak untuk melarikan diri. Ketika Abu Jahal melihat ada tanda-tanda kekalahan di barisan kaum musyrikin, dia berusaha kuat untuk memberi semangat kepada tenteranya. Dengan kesombongannya dia berkata : " Larilah Suraqah ( iblis ) jangan sampai kalian kalah kerana dia berada di atas perjanjian dengan Muhammad. Utbah, Syaibah dan al-Walid telah dibunuh, tetapi jangan sampai kalian takut kerana mereka tergesa-gesa. Demi Latta dan Uzza!! Kita tidak akan pulang sebelum menundukkan mereka di bukit ini. Balaslah serangan mereka!!."

Tetapi hakikat kesombongan itu segera lebur di hadapannya. Tidak lama kemudian barisan kaum Musyrikin berpecah belah akibat serangan keras dari kaum muslimin. Walaupun di sekeliling Abu Jahal masih ada saki baki tenteranya yang melindunginya dengan pedang dan tombak mereka, namun serangan kaum Muslimin telah dapat mematahkan dan memusnahkan perlindungan dan pertahanan tersebut. Ketika itu Abu Jahal berada di atas kudanya dan kematiannya sedang menanti melalui tamgan dua orang kanak-kanak kecil daripada kaum Ansar.

- Tewasnya Abu Jahal.

Abdur Rahman Ibnu Auf berkata : " Dalam perang badar, aku turut serta dalam barisan kaum Muslimin. Setiap kali aku melihat ke kanan dan ke kiri, aku sentiasa melihat dua orang kanak-kanak kecil sehingga aku tidak yakin bahawa mereka itu berada di sisiku. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata secara diam-diam kepadaku, " wahai pakcik, tunjukkanlah Abu Jahal kepadaku."
Aku bertanya kepadanya : " Apakah yang ingin engkau lakukan terhadapnya?"
Dia menjawab : " Aku mendengar bahawa dia mencaci Rasulullah SAW. Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila aku melihatnya, aku akan membunuhnya atau aku mati dibunuh olehnya."
Lantas aku berasa kagum terhadapnya. Malah kanak-kanak yang lain pun mengatakan demikian kepadaku. Kemudian aku pun melihat Abu Jahal sedang berkeliaran di tengah-tengah orang ramai. Kemudian aku berkata kepada mereka : " Tidakkah kalian melihat apa-apa? Itulah orang yang kalian tanyakan kepadaku."
Dalam masa itu juga, mereka menyerang Abu Jahal dan memukulnya dengan pedang hingga Abu Jahal tewas.

Setelah itu, mereka pergi berjumpa Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW pun bertanya : " Siapakah di antara kalian yang membunuh Abu Jahal?."
Lantas mereka berkata : " Aku yang telah membunuhnya."
Akhirnya Rasulullah SAW memberikan harta yang ada di tubuh Abu Jahal kepada Muaz Ibnu Amru Ibnu al- Jamuh dan Muawwaz Ibnu Afra'. Ibnu Ishaq berkata : " bahawa Muaz Ibnu Amru Ibnu al-Jamuh berkata : " Aku mendengar Abu Jahal dilindungi dengan pedang pedang dan tombak tombak kaum musyrikin, lalu mereka mengatakan : " Abul Hakam ( Abu Jahal ) tidak boleh disentuh ileh sesiapa pun."
Ketika aku mendengarnya,  hal itu kujadikan urusanku. Aku pun bertekad untuk melakukannya. Ketika keadaan mengizinkan, aku pun menyerangnya dan aku menetak kakinya dengan pedangku sehingga putus.

Kemudian, bahuku pula ditetak oleh anaknya Ikramah sehingga tanganku terputus dan masih bergantungan pada kulit bahuku. Namun peperangan membuatkan aku tidak peduli akan hal itu. Seluruh hariku, kugunakan untuk bertempur dan tanganku yang terputus, kugantungkan pada belakang punggungku. Ketika aku berasa terganggu dengannya, aku letakkan kakiku di atasnya dan aku aku pusingkan dadaku sehingga ia terputus. Setelah itu, Muawwaz Ibnu Afra' menuju kepada Abu Jahal yang sedang menahan dirinya untuk berjalan. Lantas aku memukul Abu Jahal sehingga dia tidak bergerak lagi.  Kemudian aku meninggalkannya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Selepas itu Muawwaz terus bertempur sehingga gugur syahid.

Setelah perang berakhir, Rasulullah SAW berkata : " Siapa yang melihat apa-apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal?"
Kemudian Abu Jahal ditemui oleh Ibnu Mas'ud. Ibnu Mas'ud meletakkan kakinya di atas leher Abu Jahal dan menarik janggutnya untuk memenggal kepalanya dan berkata : " Wahai musuh Allah!, adakah kamu berasa di laknat oleh Allah."
Abu Jahal berkata :" Dengan apa Dia mahu melaknat aku? Apakah laknat orang yang dibunuh oleh kaum kerabatnya sendiri? Untuk siapakah kemenangan hari ini?
Ibnu Mas'ud menjawab : " Untuk Allah dan Rasul-Nya."
Di jawab oleh Abu Jahal yang ketika itu kepalanya dipijak oleh Ibnu Mas'ud : " Dengan susah payah, kedudukanmu telah naik wahai pengembala kambing!."

Setelah dialog di antara keduanya selesai, lalu Ibnu Mas'ud memenggal kepala Abu Jahal untuk dibawa kepada Rasulullah SAW. Lalu dia berkata : " Wahai Rasulullah! Inilah kepala musuh Allah, Abu Jahal."
Baginda SAW pun berkata : " Tidak ada Tuhan melainkan Allah" sebanyak tiga kali. Baginda SAW berkata lagi : "  Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah yang menepati janji-Nya, menolong hamba-Nya dan menghancurkan musuh-musuh-Nya dengan sendiri-Nya. Berangkatlah , tunjuklah ia kepadaku."
Kami pun berangkat pulang, Akhirnya kami membawa kepala Abu Jahal untuk ditunjukkan kepada Rasulullah SAW. Lantas Baginda SAW berkata : " Inilah Firaun bagi umat ini."

Bersambung.......

No comments:

Post a Comment