Dengan itu wajah Rasulullah SAW kelihatan berseri-seri. Baginda SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari ; " Bergembiralah, Demi Allah! Aku seolah-olah melihat tempat pembunuhan kaum". Melalui kenyataan tersebut, tentera Islam mengetahui bahawa peperangan sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Abu Sufian mengetahui bahawa tentera muslimin keluar untuk menahan rombongan dagangnya, dan ia telah melalui jalan lain iaitu melalui jalan pantai. Tindakkan tersebut telah berjaya menyelamatkan rombongan dagangnya. Dia telah menghantar utusan untuk memberitahu Quraisy bahawa mereka selamat dan mencadangkan supaya Quraisy pulang ke Mekah.
Apabila Abu Jahl mendapat berita tersebut lalu beliau berkata : " Kita tidak akan pulang sehinggalah kita sampai di Badar dan kita tinggal di sana selama tiga hari. Ketika itu kita akan menyembelih binatang, memberi makan, minum arak dan orang-orang Arab akan mendengar berita mengenai kita. Dengan itu mereka selama-lamanya gerun terhadap kita". Al Akhnas bin Syariq a Thaqafi berkata kepada bani Zuhrah : " Pulanglah wahai kaum. Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan harta benda kamu". Dengan itu mereka pun pulang. Tidak ada seorang pun dikalangan bani Zuhrah dan bani 'Adawi yang menyertai peperangan Badar. Kemudian tentera Quraisy meneruskan kemaraan mereka sehingga sampai di lembah Badar. Mereka berkhemah di kawasan yang mengadap ke Madinah iaitu di kawasan bertanah lembik.
Tentera muslimin pula, mereka menghampiri kawasan Badar, Rasulullah SAW menghantar Ali bin Abu Talib dan al Zubair bin al Awwam untuk mencari maklumat. Mereka telah bertembung dengan para pemberi minum orang-orang Quraisy. Di kalangan mereka terdapat hamba kepunyaan bani al Hajjaj dan hamba kepunyaan bani al 'As. Dan kedua duanya dibawa kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Baginda SAW sedang solat. Ali dan al Zubair bertanya kepada mereka berdua untuk mengetahui siapakah mereka sebenarnya. Mereka menjawab : " Kami adalah pemberi minum kepada orang- orang Quraisy. Mereka telah mengarahkan kepada kami supaya mencari air untuk diminum.". Kemudian Ali dan Zubair memukul mereka berdua kerana mereka adalah hamba kepada Abu Sufian. Setelah selesai solat, Rasulullah SAW berkata : " Apakah apabila mereka berkata benar, kamu memukulnya dan apabila mereka berbohong, kamu tidak mengapa-apakannya?. Keduanya telah berkata benar. Demi Allah! Keduanya adalah milik Quraisy.
Baginda SAW berkata : " Beritahu aku mengenai Quraisy" .
Mereka menjawab : " Mereka ada di belakang bukit ini ."
Baginda SAW bertanya : " Berapa ramai bilangan mereka ?."
Mereka menjawab : " kami tidak mengetahuinya ."
Baginda SAW bertanya lagi : " Berapa ekor sembelihan yang mereka lakukan setiap hari ?."
Mereka menjawab :" Kadang-kadang sembilan dan kadang-kadang sepuluh."
Baginda SAW berkata : " Bilangan mereka ialah sembilan ratus dan seribu ."
Kemudian Baginda SAW bertanyakan kepada mereka lagi : " Siapakah pembesar-pembesar Quraisy yang ikut serta."
Dan mereka berdua menyebut bilangan yang ramai. Radulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya : " Mekah telah mempersembahkan para pembesarnya kepada kamu ."
Kemudian tentera muslimin meneruskan kemaraannya sehingga mereka berkhemah di kawasan lembah yang dekat dengan Madinah. Kawasan tersebut jauh daripada air dan tanahnya pula kering dan keras. Dengan itu tentera muslimin merasa dahaga. Ketika itu syaitan membisikkan hasutannya kepada mereka bahawa tentera musyrikin akan melambat-lambatkan waktu pertempuran supaya tentera muslimin ditimpa dajaga dan kekuatan mereka menjadi lemah, dan ketika itu mereka akan lakukan apa sahaja yang disukai terhadap mereka. Kerana rahmat dan kemurahan Allah SWT semangat mereka tetap kental dan tidak menurun. Dan selepas itu Allah menurunkan hujan sehingga lembah kawasan mereka perkhemahan mereka mempunyai air. Dan mereka minum serta membuat kolam untuk menyimpan air di kawasan berhampiran. Mereka mandi dan wudhu dan memenuhkan bekas air yang di bawa. Tanah menjadi padat sehinggakan pijakkan kaki menjadi mantap. Pada waktu yang sama pula, hujan yang turun menjadi masalah besar kepada tentera musyrikin. Tanah tempat mereka berpijak menjadi berlumpur sehinggakan menyukarkan pergerakkan mereka.
"...... Dan Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian ( kamu di medan pertempuran)."
- Al - Anfal : 11
Ketika Rasulullah SAW tidur, Allah telah memperlihatkan sedikitnya bilangan tentera musuh kepada Rasul-Nya, dan juga Allah memperlihatkan bilangan tentera Rasulullah SAW yang sedikit kepada musuh. Ini kerana supaya tentera muslimin tidak patah semangat dan supaya Allah melaksanakan apa yang telah ditetapkan.
" ( Ingatlah wahai Muhammad ) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya dan kalaulah Dia perlihatkan mereka kepadamu ramai ( bilangannya ), tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan ( perang ) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui akan segala ( isi hati ) yang ada di dalam dada. Dan (ingatlah) ketika Dia memperlihatkan mereka kepada kamu sekalian semasa kamu bertemu dengan mereka, sedikit bilangan pada penglihatan mata kamu dan kamu pula diperlihatkan-Nya, sedikit bilangannya pada pandangan mereka, kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara ( kemenangan Islam ) yang telah ditetapkan berlaku. Dan (ingatlah) kepada Allah jua dikembalikan segala urusan ." ~ al Anfal : 43 - 44.
Kemudian tentera muslimin meneruskan kemaraan sehingga mereka berkhemah di kawasan mata air Badar yang pertama. Lalu al Hubab bin al Munzir al Ansari berkata : " Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini hasil dari wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu yang kita tidak mempunyai pilihan lain, ataupun ia merupakan pendapat, strategi peperangan dan helah?."
Lalu Rasulullah SAW menjawab : " Ia merupakan pendapat, strategi peperangan dan helah."
Al Hubab berkata : " Wahai Rasulullah! Ini bukanlah tempat yang sesuai untuk kamu berkhemah. Maralah bersama tentera sehingga kamu sampai ke kawasan mata air yang paling hampir dengan musuh. Aku mengetahui kawasab yang mempunyai mata air yang mempunyai mata air yang mengeluarkan air yang banyak. Kita akan berkhemah di situ dan kita timbus punca air selainnya. Kemudian kita bina kolam dan kita penuhkannya dengan air. Dengan itu kita dapat minum dan musuh tidak mendapatnya. "
Rasulullah SAW menjawab : " kamu telah mengemukakan pendapat yang bernas."
# Al- Hubab bin al Munzir seorang yang berpandangan yang bernas. Beliau dikenali dengan Abu 'Amru. Menyertai perang Badar dan pendapat beliau telah disetujui juga oleh malaikat Jibril ketika di perang Badar. Meninggal dunia di zaman Khalifah Umar. #
Bersambung..............
No comments:
Post a Comment