Pages

Thursday, 9 June 2016

MARTABAT MANUSIA DALAM BERPUASA

3 Kategori orang yang bepuasa yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali :

1)      Puasa Orang Awam

Puasa orang awam bermaksud orang yang berpuasa perut dan kemaluan sahaja. Tetapi mereka tidak menjaga pandangan, pendengaran, hati, kaki, tangan dan lidah mereka daripada perkara-perkara maksiat dan juga mungkar. Maka golongan ini sukar untuk mendapatkan taqwa kepada Allah sedangkan puasa yang disyariatkan oleh Allah swt adalah bertujuan untuk melatih diri kita supaya bertaqwa kepada Allah seperti mana dinyatakan dipenghujung ayat surah al-Baqarah ayat 183 di atas yang berbunyi “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” yang bermaksud “moga-moga kamu bertaqwa”.

Jadi sesiapa yang termasuk di dalam golongan ini hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja seperti mana sabda Rasulullah saw :

من لم يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ و الجهل فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, dan berbuat dusta, serta amal kebodohan,maka tiadalah Allah ingin melihat pada amalannya meninggalkan makan dan minumnya.

[Hadith shahih riwayat Bukhari]

2)      Puasa Orang Khawas

Puasa orang khawas adalah peringkat pertengahan. Puasa orang khawas adalah puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi mereka juga menjaga mata mereka daripada melihat perkara mungkar, menjaga lidah mereka daripada menuturkan perkara-perkara yang haram, menjaga kaki mereka daripada melangkah ke tempat-tempat maksiat dan menjaga seluruh pancaindera yang lain daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Inilah yang dimaksudkan puasa orang khawas.

Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ الصِّيَامَ لَيْسَ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغُوِ وَالرَّفَثِ فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya puasa itu bukan menahan daripada makan dan minum saja, hanyalah puasa yang sebenarnya ialah menahan daripada ucapan sia-sia (lagha) dan lucah/ mencarut (rafath), maka apabila seseorang mencacimu atau berbuat sesuatu yang bodoh kepadamu katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.”  [Hadith shahih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim]

Puasa orang khawas ini lebih tinggi daripada puasa orang awam. Puasa orang khawas insyaAllah akan menjadi latihan untuk diri kita menjadi insan yang bertaqwa selepas melalui madrasah Ramadhan ini. Maka marilah kita mencuba dengan sebaik mungkin untuk mendapat puasa di dalam kategori ini.

3)      Puasa Orang Khassul / Khususul Khawas

Kategori ini adalah kategori yang paling tinggi dalam berpuasa. Inilah puasapuasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang soleh, para wali dan seumpamanya. Mereka bukan sahaja menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat dan boleh membatalkan puasa tetapi mereka juga menjaga anggota batin daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar yang boleh menghilangkan pahala puasa.

Kategori ini agak sukar untuk dicapai oleh orang biasa seperti kita tetapi ianya juga bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebab bila difikirkan kita mungkin boleh menjaga anggota zahir kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang mampu membatalkan puasa tetapi untuk menjaga hati kita supaya sentiasa ingat kepada Allah dan untuk menjaga hati kita daripada terbayang perkara-perkara yang sia-sia dan boleh mengurangkan pahala puasa adalah sesuatu yang sangat-sangat susah. Hanya mereka yang betul-betul menjaga hati mereka sahaja yang mampu sampai ke tahap ini.

Akhirul Kalam,

Marilah kita beribadat bersungguh-sungguh di dalam bulan yang di amalan digandakan dan untuk menampung kembali dosa-dosa yang telah kita lakukan selama 11 bulan yang lalu. Sabda Rasulullah saw :

"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka di ampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang."

[Hadith Riwayat Imam Bukhari]

Dan marilah sama-sama kita menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun yang lepas. Marilah kita sama-sama mengambil serius akan peringatan Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud :

''Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga sahajalah''.

[Hadith Riwayat Ibn Majah dan Nasai]

Moga-moga madrasah Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik di dalam kehidupan kita supaya kita menjadi hamba yang bertaqwa kepada Tuhannya kerana mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir buat diri kita dan menjadi bekalan buat diri kita ketika berada di Mahsyar kelak. Dan harapannya kita tergolong di dalam golongan yang mampu memasuki syurga melalui salah satu pintu yang khas buat golongan yang berpuasa yang bernama “al-Raiyyan” seperti sabda Rasulullah saw Sahal bin Sa'd :

Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

[Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad]

Mungkin ramai yang sudah pun tahu tentang 3 golongan orang yang berpuasa ini. Jadi yang telah tahu diharapkan penulisan ini menjadi “tazkirah” atau peringatan kepada kita dan bagi yang mereka yang pertama kali membaca tentang hal ini boleh dijadikan ilmu yang baru buat kita semua.

No comments:

Post a Comment