Baginda SAW meneruskan kemaraan sehingga sampai ke kawasan yang paling hampir dengan kawasan perkhemahan musuh. Kemudian mengarahkan semua sumber air lain yang berada di belakang mereka ditimbus supaya musyrikin tidak boleh mendapatkan bekalan air yang berada di belakang kawasan perkhemahan tentera muslimin. Baginda SAW juga mengarahkan supaya dibina kolam di kawasan air tempat mereka berkhemah.
Kemudian Sa'ad bin Mu'az, ketua orang-orang Aus berkata : " Wahai Nabi Allah!, adakah kamu bersetuju sekiranya kami binakan sebuah khemah khusus untukmu dan kami mempersiap-sediakan tunggangan kamu di situ, selepas itu kami akan menghadapi musuh? Sekiranya Allah menjadikan kita mulia dan memberikan kemenangan, maka itulah yang kami sukai. Sekiranya apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka kamu boleh bergabung dengan kaum kami yang tidak menyertai peperangan ini. Wahai Nabi Allah, sesungguhnya mereka yang tidak menyertai peperangan ini kecintaan mereka kepadamu tidak kurang daripada kecintaan kami kepadamu. Begitu juga dalam ketaatan kepadamu dalam melaksanakan jihad dan keikhlasan. Sekiranya mereka menyangka kamu akan melancarkan peperangan, mereka tidak akan mengundurkan diri. Apa yang mereka sangka ialah kamu akan menghalang rombongan dagang. Semoga Allah menjadikan mereka pertahanan kamu, memberikan pandangan-pandangan kepadamu dan bersedia untuk berjihad bersama-sama kamu."
Kemudian Rasulullah SAW bersabda : " Semoga Allah menentukan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu nyatakan."
Kemudian khemah khusus dibina untuk Rasulullah SAW di atas kawasan tanah tinggi untuk memudahkan Baginda SAW mengikuti perkembangan yang berlaku di medan peperangan.
Apabila tentera muslimin berkumpul, Baginda SAW memperbetulkan saf-saf mereka dan bahu-bahu mereka bersentuhan. Dengan itu mereka seolah-olah satu bangunan yang utuh. Kemudian Baginda SAW melihat orang-orang Quraisy lalu berkata : " Ya Allah! Sesungguhnya orang-orang Quraisy ini telah datang dengan penuh kesombongan dan kebanggaan. Mereka datang untuk mencabar Kamu dan mengatakan Rasul-Mu berbohong. Ya Allah! Pertolongan yang Kamu janjikan untukku menjadi harapan."
Dalam waktu yang sama berlaku perselisihan di kalangan ketua-ketua tentera musyrikin. Ini kerana 'Utbah bin Rabi'ah bercadang untuk menghalang daripada tercetusnya peperangan dan bersetuju untuk membayar diat 'Amru bin al Hudrami yang merupakan sekutunya yang dibunuh oleh sariyyah Abdullah bin Jahs dan juga bersetuju untuk menanggung kerugian yang dialami oleh rombongan dagangnya. Dia mengajak orang ramai untuk mengambil tindakan yang sama. Dan berita tersebut sampai ke pengetahuan Abu Jahl dan dia mengecapnya sebagai pengecut sambil berkata : " Kita tidak akan pulang kecuali selepas Allah menentukan hukum-Nya dalam pertikaian antara kita dengan Muhammad."
Sebelum berlaku peperangan, al Aswad bin Abu al Aswad al Makhzumi keluar daripada saf tentera musyrikin sambil berkata : " Aku berjanji kepada Allah untuk meminum air daripada kolam yang mereka bina, atau aku memusnahkannya, ataupun aku mati kerana melaksanakan cita-citaku itu."
Hamzah keluar untuk menghadapi al- Aswad. Beliau memukul al Aswad menggunakan senjata dan berjaya memotong betisnya. Al Aswad jatuh, tetapi tetap merangkak menuju ke kolam untuk melaksanakan sumpahnya. Hamzah mengikutnya lalu membunuhnya. Kemudian Rasulullah SAW bangun memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya tetapkan pendirian dan bersabar. Diantara yang disebut ialah : " Sesungguhnya bersabar ketika menghadapi kesusahan adalah di antara penyebab Allah melepaskan seseorang daripada kesusahan dan menyelamatkannya daripada kesedihan.
Selepas itu peperangan dimulai dengan pertempuran satu lawan satu. Pihak musyrikin diwakili oleh tiga orang iaitu 'Utbah bin Rabi'ah dan saudaranya Syaibah serta anaknya al- Walid. Mereka meminta untuk menghadapi orang yang setanding dengan mereka. Dengan itu tiga orang Ansar keluar untuk menghadapi mereka, tetapi mereka menolak dengan berkata : " Kami tidak memerlukan kamu. Kami perlukan orang yang setanding dengan kami dari bangsa kami."
Maka Rasulullah SAW mengarahkan ' Ubaidah bin al Harith bin al-Mutallib untuk menghadapi 'Utbah, Hamzah menghadapi Syaibah, dan Ali bin Abu Talib menghadapi al Walid.
Perlawanan antara 'Ubaidah dan 'Utbah saling tetak menetak dan masing masing berjaya mencederakan lawannya. Lalu Ali dan Hamzah membantu ' Ubaidah dan berjaya membunuh ' Utbah. Mereka membawa 'Ubaidah kepada tentera muslimin dalam keadaan luka sehingga sumsum tulang betisnya meleleh keluar. Muslimin membaringkannya di sebelah Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW melunjurkan kakinya dan meletakkan pipi 'Ubaidah di atasnya. Baginda SAW memberitakan berita gembira sebagai seorang syahid kepadanya lalu berkata : " Demi Allah! Aku suka sekiranya Abu Talib masih hidup untuk dia mengetahui bahawa kita lebih layak untuk mengungkapkan apa yang pernah diungkapkannya dahulu : " Kami akan mempertahankannya ( Muhammad) sehingga kami mati di sekelilingnya. Untuk itu kami akan melupakan anak-anak dan para isteri kami. "
Bersambung...............
No comments:
Post a Comment