Pages

Saturday, 25 June 2016

Perang Badar al Kubra siri V.

Selepas tamat perlawanan satu lawan satu, maka Rasulullah SAW melakukan pemeriksaan saf dengan membawa ranting pokok di tangannya. Baginda SAW melalui tempat Sawad bin 'Aziyyah iaitu sekutu bani Najjar. Ketika ini beliau terkeluar daripada saf lalu Rasulullah SAW mencucuk perutnya dengan ranting yang dibawa sambil berkata : " Luruskan saf wahai Sawad."
Lalu Sawad berkata : " Kamu telah menyakiti aku wahai Rasulullah. Sedangkan kamu diutuskan membawa kebenaran dan keadilan. Oleh itu berilah aku peluang untuk membalas apa yang telah kamu lakukan."
Maka Rasulullah SAW menampakkan perutnya lalu berkata : " Balaslah wahai Sawad ."
Maka Sawad memeluk perut Rasulullah SAW dan menciumnya.
Lalu Rasulullah SAW bertanya : " Apa yang menyebabkan kamu berbuat demikian Sawad?"
Sawad menjawab : " Wahai Rasulullah, sebagaimana yang kamu lihat , musuh sudah berada di hadapan, aku mahu supaya kulitku menyentuh kulitmu di waktu terakhir aku bersamamu."
Lalu Rasulullah saw mendoakan kebaikan untuknya.

Kemudian Rasulullah SAW menyampaikan pesanan kepada tentera muslimin dengan mengatakan : " Janganlah serang sehingga aku perintahkan supaya serangan dilakukan. Sekiranya musuh mengepung kamu, maka hujanilah mereka dengan anak panah. Jangan kamu menghunuskan pedang sehinggalah mereka berada di jarak yang dekat dengan kamu."
Kemudian Baginda SAW memberikan semangat supaya tetapkan pendirian dan bersabar. Selepas itu Baginda SAW pulang ke khemahnya sambil diiringi oleh Abu Bakar, dan pengawalnya Sa'd bin Mu'az berdiri di pintu khemah dengan pedang yang terhunus.

Diantara doa Rasulullah SAW ketika itu ialah : " Ya Allah! Aku benar-benar mengharapkan janji-Mu. Ya Allah! Sekiranya Kamu mahu, Kamu tidak akan di sembah."
Lalu Abu Bakar berkata :" Cukuplah! Sesungguhnya Allah akan menunaikan janji-Nya kepadamu."
Rasulullah SAW keluar dari khemahnya lalu berkata : " Mereka akan dikalahkan dan akan mengundur ke belakang."
Kemudian Rasulullah SAW menyambung lagi kata untuk menaikkan semangat tenteranya : " Demi jiwa Muhammad didalam genggaman-Nya! Pada hari ini setiap orang yang berperang, lalu dia dibunuh dalam keadaan bersabar, mengharapkan keredhaan Allah dan menghadapi musuh tanpa melarikan diri, maka semuanya akan dimasukkan syurga oleh Allah. Sesiapa yang membunuh musuh, maka barang al Salb menjadi miliknya."
Ketika itu juga 'Umar bin al Hamam berkata dalam keadaan di tangannya terdapat beberapa biji kurma yang sedang dimakannya : " Wah! Kalau begitu tidak ada perkara yang menghalangku daripada memasuki syurga melainkan mereka membunuhku."
Kemudian beliau mencampakkan buah kurma yang masih ditangannya, mengambil pedangnya dan berperang sehinggalah terbunuh. ( beliau adalah orang yang pertama terbunuh di dalam peperangan badar ).

Dan peperangan bermula dengan sengit. Allah membantu muslimin dengan menghantar tenteranya ( malaikat ) sebagai berita gembira dan penenang hati mereka. Peperangan berterusan sehinggalah tentera musyrikin kalah dan melarikan diri.

Bersambung ........

No comments:

Post a Comment