Pages

Wednesday, 11 November 2015

Korban Cinta.

"Didalam Al-Quran, Allah سبحانه وتعالى berfirman; "Dan kalau mereka beroleh kebaikan yakni kemewahan hidup, mereka berkata; "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau mereka ditimpa bencana, mereka berkata;" Ini adalah dari sesuatu nahas yang ada padamu."

"Ayat ini turun kepada golongan Munafiqin yang bila mereka menang akan berkata itu kuasa Allah سبحانه وتعالى, akan tetapi bila kalah akan menisbahkan kepada Rasulullah ﷺ. Perangai Yahudi pun memang sedemikian."

"Yahudi dizaman Nabi Musa. Kalau datang kepada mereka kebaikan. Mereka akan berkata itu daripada Allah سبحانه وتعالى dan mereka layak menerimanya. Akan tetapi bila mendapat musibah, mereka akan menyalahkan Nabi Musa عليه السلام."

"Nabi Musa pun disalahkan. Inilah perangai Yahudi dari dulu dan sehingga kini. Ini beza orang yang dididik dengan iman dan orang yang tidak beriman. Seorang sahabat Rasulullah ﷺ bernama Saad ibnu Rabi’. Dalam satu peperangan yang kaum Muslimin mengalami kekalahan."

"Rasulullah ﷺ berkata; “Siapakah antara kamu yang boleh mencari khabar tentang Saad ibnu Rabi’?” Saad ibnu Rabi’merupakan salah seorang naqib yang Rasulullah ﷺ pilih dalam perjanjian Aqabah. Jawab seorang sahabat lain, “Ana, Ya Rasulullah.”

"Lalu dicari dan dijumpai dia dalam keadaan tenat kerana cedera teruk. Saad ibnu Rabi’ pun bertanya apa yang diingini sahabat yang mencarinya. Sahabat itu mengatakan yang Rasulullah ﷺ mencarinya. Saad ibnu Rabi’ berpesan untuk menyampaikan Salam kepada Rasulullah ﷺ."

"Dia berkata; “Telah kena kepada aku dua belas sehingga tujuh belas tusukan kepada tubuh badan aku, dan aku berada pada penghujung kehidupanku. Sampaikan Salam aku kepada Rasulullah ﷺ. Dan semoga Allah سبحانه وتعالى memberi ganjaran baik kepada Rasulullah ﷺ dengan sebaik-baik ganjaran."

"Allah سبحانه وتعالى memberi ganjaran yang baik yang diberikan Allah kepada Nabi yang berkhidmat untuk umatnya. Dalam keadaan nazak pun Saad ibnu Rabi’ masih menyampaikan Salam kepada Rasulullah ﷺ. Ini perbezaan orang yang dididik dengan keteguhan iman berbanding dengan orang munafiq Yahudi yang menyalahkan Rasulullah ﷺ."

"Saad ibnu Rabi’ masih berterima kasih kepada Rasulullah ﷺ walaupun dalam keadaan tenat, nazak. Sambungnya lagi, “Sampaikan kepada kaumku; "Wahai kaumku, jangan sampai ada seorang pun menyakiti kepada Rasulullah ﷺ sementara mereka masih ada mata yang berkedip.”

"Subhanallah, dalam keadaan nazak, tiada kekuatan pun, Saad ibnu Rabi’ masih sampaikan salam, ucap terima kasih bahkan berpesan pada kaumnya untuk tidak menyakiti Rasulullah ﷺ. Tarbiyyah yang bagaimana yang dilakukan Rasulullah ﷺ sehingga para sahabat mudah menyerahkan benda paling berharga dalam hidup iaitu nyawanya sendiri."

"Mereka mengorbankan nyawanya sendiri untuk kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ? Jiwa kecintaan seperti ini yang perlu hidup dalam umatnya Rasulullah ﷺ di zaman kita sekarang. Rasa perngorbanan yang dalam terhadap kecintaan kepada Rasulullah ﷺ yang mesti menyala dalam sanubari kita umatnya. Ini mesti sentiasa wujud, baru tujuan jihad itu nampak jelas untuk menegakkan apa yang dibawa oleh baginda Rasulullah ﷺ."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

No comments:

Post a Comment