Nur zikrullah akan bersama seseorang itu sama ada didunia mahupun di dalam kubur dan nur tersebut berada di hadapannya ketika dia melintas titian sirat. Allah s.w.t. berfirman;
"Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kekufuran) kemudian kami hidupkan dia (semula dengan hidayah dan iman) dan kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah dan dapatlah) dia berjalan dengan cahaya itu di tengah-tangah masyarakat manusia. (Adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti orang yang berada dalam kegelapan (kufur) yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?"
Surah al An'am ayat 122
Orang pertama yang dimaksudkan ialah orang-orang mukmin yang hatinya bercahaya dengan beriman kepada Allah s.w.t., 'mahabbah' (mencintaiNya), 'makrifat' (mengenaliNya) dan 'zikrullah' (sentiasa mengingatiNya). Sementara orang yang kedua tidak mempunyai sifat-sifat tersebut. Sebenaarnya 'nur' itu adalah sesuatu yang begitu unggul, dalam 'nur' itu terdapat kejayaan yang sempurna. Jesteru, diriwayatkan dalam beberapa hadith, Rasulullah s.a.w. sentiasa berdoa supaya Allah s.w.t. menjadikan nur pada daging, tulang, otot, rambut, kulit, telinga, mataa, di atas, di bawah, di kanan, di kiri, di hadapan dan di belakang Baginda s.a.w. Baginda s.a.w. memohon supaya keseluruhan dirinya dijadikan nur. Mengikut kadar nur daripada zikir, amalan-amalan yang lain akan bercahaya. Amalaan daripada sesetengah orang menuju kelangit dalam keadaan seumpama cahaya matahari dan cahaya yang sempurna inilah akan kelihatan pada wajah mereka pada hari kiamat.
Zikir adalah perkara utama dalam ilmu tasawuf dan diamalkan oleh setiap ahli tasawuf dalam tariqat mereka. Sekiranya pintu zikir telah terbuka bagi seseorang, berarti telah terbuka baginya jalan menuju kepada Allah s.w.t. Sesiapa yang telah sampai kepada Allah s.w.t. nescaya dia akan mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak ada apa-apa yang berkurangan di sisi Allah s.w.t.
Di dalam hati manusia ada suatu bahagian yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka zikir bukan saja dapat mengisi bahagian hati bahkan menjadikan seseorang itu kaya, menjadikannya dipandang mulia, walaupun tidak mempunyai puak dan bukan dari keturunan bangsawan. Menjadikannya seperti seorang raja, walaupun tidak mempunyai kerajaan. Sebaliknya orang yang lalai daripada zikrullah pasti dia akan dihina walaupun dia mempunyai harta kekayaan, keturunan bangsawan dan kerajaan.
Zikir menghimpun kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah berhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Maksud 'menghimpun kembali yang telah bercerai' ialah pelbagai kerisauan, dukacita dan kegelisahan yang ada di dalam hati manusia diganti dengan ketenangan. Maksud 'menceraikan yang terhimpun' ialah kesalahan dan dosa yang telah terhimpun pada seseorang dipisahkan daripadanya. Tentera-tentera syaitan yang menguasai seseorang diceraikan daripadanya. Cinta akhirat yang jauh itu didekatkan dan cinta dunia yang dekat itu dijauhkan daripada seseorang.
Zikir menyedarkan hati yang tidur dan menjadikan hati itu sentiasa berwaspada daripada kelalaian. Selagi hati massih tidur maka selama itulah manusia dalam kerugian.
Zikir merupakan pohon yang menghasilkan buah makrifatullah. Semakin diperbanyakkan zikir itu semakin kukuh tunjang pohon itu, semakin kuat tunjang pohon itu maka semakin banyak buah yang terhasil.
Zikir juga mendekatkan seseorang kepada Allah s.w.t. sehingga terhasil 'Mai'iyattullah' yakni Allah s.w.t. sentiasa bersamanya. Sebagaimana diterangkan dalam al Quran;
"Sesungguhnya Allah s.w.t. bersama orang yang bertakwa."
Disebutkan dalam satu hadith qudsi;
"Aku bersama hambaKu selagi dia mengingatiKu."
Disebutkan dalam sebuah hadith qudsi bahawa Allah s.w.t. berfirman, "Orang yang mengingatiKu adalah orangKu, Aku tidak akan menjauhkannya daripada rahmatKu. Sekiranya mereka sentiasa bertaubat daripada dosa-dosa maka Aku menjadi habib (kekasih) mereka. Sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi tabib (pengubat) untuk mereka dengan membawa kesusahan dan keperitan kepada mereka untuk mensucikan mereka daripada dosa-dosa."
Sebenarnya, 'mai'iyattullah' ialah keadaan Allah s.w.t. bersama seseorang yang akan terhasil menerusi zikir. Keadaan tersebut tidak mungkin dapat ditandingi walau seseorang itu ditemani oleh sesiapa pun selain Allah s.w.t. Keadaan itu tidak mungkin diterangkan dengan lidah dan tidak boleh diluahkan melalui tulisan. Kelazatan itu hanya dirasai oleh orang yang telah mengecapi keadaan itu.
"Ya Allah berikanlah kepadaku hakikatnya ."
(Fadhilat Amal)
No comments:
Post a Comment