Pages

Wednesday, 11 November 2015

Fikir Tiga Perkara.

"Di dalam dunia ini, kita masih lagi boleh meminta. Di dunia kita masih boleh berhutang. Di dunia kita masih boleh minta tolong tapi kalau untuk urusan akhirat kita nanti, kita nak minta tolong dengan siapa Nak berhutang dengan siapa? Nak menumpang dengan siapa? Ataupun juga nak meminjam dengan siapa?"

"Itu masing-masing dengan tanggungjawab diri peribadi kita masing-masing. Seandainya jarak untuk kita nak ke sesuatu destinasi misalnya saja dari Kuala Lumpur ke Kelantan itu jaraknya beratus-ratus Kilometernya, mesti kita pastikan persiapan kita kenderaan kita dengan minyak yang cukup."

"Dan mesti dengan bekalan yang cukup. Tapi kalau seandainya kita tahu tidak ada R & R tidak ada restoran tidak ada petrol pump sepanjang perjalanan kita. Katakan saja misalnya tutup kesemuanya maka mahu tidak mahu mesti kita siapkan bekalan siapkan makanan sebelum kita bertolak. Kenapa?"

"Kerana nanti kita akan kelaparan maka kita akan persiapkan keperluan kita sepanjang kita di perjalanan. Kalau seperti itu logiknya kalau seperti itu rasionalnya sepatutnya seperti itu juga kita risau dengan bekalan yang kita akan bawa bersama menuju ke akhirat."

"Ini yang menyebabkan Saidina Abu Hurairah r.a. menangis. Kalau seandainya orang yang seperti beliau sepatutnya tidak perlu risau tidak perlu menangis. Kenapa?Sebab persiapan daripada beliau itu lebih daripada cukup. Dalam berapa ribu buah hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah tentang apa sahaja."

"Baik itu dari segi pakaiannya, ekonominya atau juga makanannya, minumannya, budayanya, ibadahnya,
sembahyangnya, puasanya. Katakan apa sahaja ada berapa puluhan bahkan ratusan hadis berkenaan dengan sembahyang.
Berkenaan dengan puasa. Berkenaan dengan zakat dan sebagainya. Buka saja kitab yang mana satu."

"Terserah itu kitab hadith yang mana satu pun maka kita akan temukan riwayat hadith Saidina Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah r.a. Dalam berapa ramai calon-calon yang akan masuk Syurga Allah سبحانه وتعالى yang akan mendapat rahmat, yang akan mendapatkan maghfirah, keampunan yang mendapatkan kebajikan."

"Itu tidak terhitung banyaknya asbab hadith-hadith yang Saidina Abu Hurairah riwayatkan. Bererti beliau ada bonus di situ. Berapa kira-kira banyaknya kebaikan yang dipungut yang didapatkan yang diperoleh oleh Saidina Abu Hurairah r.a sebagai orang yang paling banyak meriwayatkan hadith Sayyidina Rasulullah ﷺ."

"MasyaAllah Tabarakallah. Begitu sehingga sejak daripada zaman beliau sampai ke detik kita sekarang ini. Sudah berapa orang-orang yang mendapatkan rahmat Sudah berapa orang-orang yang mendapatkan kemudahan? Sudah berapa ramai orang yang mendapat tatapan restu dan redha daripada Allah سبحانه وتعالى."

"Mereka yang beramal dengan hadith-hadith yang beliau riwayatkan sehingga dalam waktu yang sama banyak banyak banyaknya jaringan hadis yang beliau riwayatkan. Akan tetapi itu ternyata tidak mengurangkan beliau untuk berzikir, beribadah, berubudiah kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Mungkin kita pernah dengar diriwayatkan beliau yakni Saidina Abu Hurairah r.a itu setiap hari tidak kurang daripada dalam dua belas ribu kali tasbih yang beliau lantunkan. Subhanallah!Subhanallah! Subhanallah Subhanallah! Bukan tiga puluh tiga kali. Berpuluh ribu kali. Kalau kita ada yang buat pun kadang-kadang ada dicelahi dengan mengelamunnya dengan mengantuknya lagi."

"Ini bukan tiga puluh tiga kali yang dilantunkan beliau tetapi dalam dua belas ribu kali dalam setiap hari. Akan tetapi ketika di akhir riwayat hidupnya beliau menangis, risau, bimbang, takut, sedih betul-betul berdukacita maka ditanya oleh orang-orang yang berada di sekeliling beliau."

"Kenapa Ya Abu Hurairah?; Apakah kira-kiranya kamu bimbang takut dan risau dikeranakan dengan akhir hayat kamu?" Maka kata beliau; "Yang membuatkan aku sedih dan berdukacita itu adalah dikeranakan atas tiga perkara yang aku fikirkan."

"Yang pertama, Jauhnya jarak yang nak ditempuh menuju ke akhirat. Perjalanan bukannya setakat sampai ke alam kubur tapi sampai perjalanan yang nak menuju akhirat itu. Dunia kita ini lebih kecil. Kalau dengan perjalanan dunia sahaja sudah berapa ramai daripada kita yang pernah mengelilingi seluruh dunia?"

"Daripada timur ke barat daripada utara ke selatan. Belum pernah kita mengelilingi dunia. Nabi kita bersabda; "Yang paling di bawah daripada penghuni syurga itu memiliki syurga yang keluasannya yang kehebatannya itu seperti sepuluh kali dunia."Itu satu orang sepuluh kali dunia. Kalau bahasa kita itu kelas bawahan bukannya kelas atasan itu. Itu bawah sekali di dalam syurga seperti sepuluh kali dunia."

"Kalau jumlah orang yang masuk syurga itu tidak kurang berbillion orang itu keluasannya, lebarnya, besarnya syurga itu seperti apa Jadi yang pertama adalah jauhnya jarak perjalanan yang nak ditempuh menuju ke akhirat."

"Yang kedua, Sedikitnya bekalan yang dibawa. Ya Allah, kalau bekalan kita banyak mana? Kalau seandainya sahaja kita hidup selama lapan puluh tahun. Tolak waktu kita kecil bermain, tolak waktu kita bekerja, tolak waktu kita makan waktu kita minum, tolak waktu kita tidur lagi. Agaknya kira-kira berapa banyak waktu yang kita luangkan yang kita benar-benar peruntukkan yang kita isi untuk kita beribadah?"

"Kita dengan solat berjemaah di masjid pun belum tentu lagi. Kita sembahyang tidak khusyuk. Di waktu berzikir sambil mengantuk. Yang kita di waktu malam tidak bangun tahajjud. Siangnya pula kadang-kadang tumbang lagi yang mana Nabi kita bersabda; "Dua rakaat sembahyang dhuha itu akan membayar segala sedekah untuk tiga ratus enam puluh ruas tulang kita."

"Itu pun masih lagi kita berat untuk mengerjakannya. Dan yang ketiga, Sedangkan Allah yang menyoal siasat Maha Mengetahui.Apakah kita beramal betul-betul ikhlas?Apakah betul-betul kerana Allah?Apakah ada tujuan yang lain? Takut kita risau kita kalau seandainya segala amalan yang kita buat yang kita usahakan yang kita kerjakan selama ini tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى."

"Yang mana dikeranakan adanya sifat riak, ujub, suma'ah, takabbur dan sebagainya yang tanpa kita sedari ada di dalam hati kita. Sebab itu pentingnya untuk kita belajar cara untuk kita membersihkan hati kita daripada penyakit hati ini."

"Belajar ilmu tasawwuf kerana tidak kira kita ini kaya ataupun juga miskin. Tua ataupun juga muda. Lelaki ataupun juga perempuan. Besar ataupun kecil jawatan dan pangkat kita. Berharta ataupun tidak berharta. Sebijak mana pun kita sepandai mana pun kita hatta banyak mana sekalipun amal ibadah yang kita lakukan tapi kalau seandainya hati kita ini berpenyakit tidak aman tidak sejahtera maka segala amal ibadah kita itu tiada nilainya di sisi Allah سبحانه وتعالى."

Daripada TG Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

No comments:

Post a Comment