Segala yang wujud itu, bergantung kepada qudrat dan iradat Allah سبحانه وتعالى, maka tiada satu perbuatan pun berlaku tanpa izin dari Allah. Bersediakah kita kembali kepada Allah sebelum kita benar-benar kembali kepada Allah?."
"Setiap detik masa yang berlalu itu adalah dengan izin Allah. Masa dan waktu adalah milik Allah سبحانه وتعالى. Setiap dari kita mempunyai masa yang sama yakni dua puluh empat jam sehari semalam. Dibahagi sama rata oleh Allah سبحانه وتعالى."
"Masa dan waktu ini ianya adalah objek yang diciptakan Allah. Allah tidak berhajat kepada masa. Allah yang menciptakan "Past Tense" Allah yang menciptakan "Present Tense" Allah yang menciptakan "Future Tense","Past, Present dan Future Tense." Dan semuanya berhajat kepada Allah سبحانه وتعالى di atas kewujudannya."
"Allah سبحانه وتعالى juga tidak berhajat kepada ruang kepada tempat kepada masa kepada penjuru kepada arah, warna, rupa, bentuk fizikal. Allah yang tidak boleh digambarkan yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia. Akan tetapi Allah سبحانه وتعالى menyuruh di kalangan makhluk-Nya untuk memuliakan ini memuliakan itu supaya kemuliaan kita, keagungan kita kepada Allah سبحانه وتعالى."
"Walaupun dunia ini diciptakan untuk kamu,tetapi kamu diciptakan untuk Allah bukannya untuk dunia itu. Dan Itu hakikat kamu diciptakan untuk menghambakan diri kepada Allah untuk mentakzimkan, memuliakan, mengagungkan apa yang telah dimuliakan yang telah diagungkan oleh Allah سبحانه وتعالى."
"Seseorang yang dimuliakan oleh Allah سبحانه وتعالى yang diberikan untuk menguasai masanya maka kita jangan terkejut bila kita mendengar ada orang yang boleh khatam Al-Quran dengan banyaknya. Orang yang boleh berzikir dengan banyaknya. Orang yang boleh menunaikan solat seribu rakaat semalaman dan sebagainya."
"Pada hakikatnya kita semua mempunyai masa yang sama. Akan tetapi yang membezakan kita apa yang kita isi dengan setiap masa dan waktu kita. Tujuan kita diciptakan oleh Allah سبحانه وتعالى adalah untuk beribadah kepada Allah. Untuk beramal. Itu kerja kita. Allah سبحانه وتعالى menciptakan kita sebagai pekerja-Nya, hamba-Nya yang bermaksud beribadah kepada Allah sepanjang masa."
"Bagaimana seseorang itu berada dalam ibadah sepanjang masa? Dua puluh empat jam. Di sini Ulama menjelaskan dengan penuh indah bahawa makna ibadah bukan sahaja terhad kepada solat, puasa, haji, zakat, Al-Quran dan zikir sahaja. Tetapi ianya meliputi kepada segala pekerjaan kita, setiap perbuatan yang harus, setiap dari pekerjaan kita, setiap dari amal kita."
"Semuanya adalah dikira sebagai ibadah jika dengan niat yang benar. Makannya, minumnya walaupun tidurnya. Apabila ianya dilakukan dengan adab Rasulullah ﷺ dengan cara yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah ﷺ maka tidurnya juga dikira di dalam ibadah."
"Apabila makan dan minumnya dengan niat untuk mendapatkan tenaga untuk taqarub kepada Allah. Dia tidur dengan niat untuk merehatkan badannya supaya mendapat kekuatan tenaga untuk dia bangun nanti tahajud esok dia nak melakukan amal-amal kebajikan nak menunjukkan makna taqarrub kepada Allah سبحانه وتعالى."
"Maka setiap perbuatan yang harus apabila ianya dilakukan dengan niat "Lillahi Ta'ala" bersama dengan adab dan sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ maka perbuatan yang harus itu tidak lagi sekadar perbuatan harus. Makna harus apabila dilakukan tidak mendapat apa-apa dan ditinggalkan pun tidak mendapat apa-apa. Itu makna harus."
"Tetapi sekiranya ianya diselitkan dengan niat ikhlas, mengharapkan keredhaan Allah, mendekatkan diri kepada Allah, itu bukan perbuatan harus tapi ianya dikira ibadah di sisi Allah سبحانه وتعالى. Walaupun makan dan minumnya, main bolanya dan sebagainya dengan niatnya "Lillahi Ta'ala" tanpa melanggar sebarang batasan syariat maka dia beribadah kepada Allah سبحانه وتعالى."
"Ulama mengatakan setiap pekerjaan, perbuatan itu akan dikira sebagai ibadah iaitu yang pertama adalah, Apabila dia ada niat yang baik, niat yang soleh, niat "Lillahi Ta'ala", niat untuk dia mendapatkan tenaga untuk bertaqarub kepada Allah سبحانه وتعالى. Dan yang kedua adalah, Jika dia sudah ada niat."
"Dia ada keinginan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, perbuatan tersebut untuk menyalurkan memberikan manfaat kepada orang lain. Apa jua pekerjaan dan amal yang dia lakukan semuanya memberikan manfaat kepada orang lain."
"Dan bukan mudarat, tidak berfaedah melalaikan, melekakan diri daripada mengingati Allah. Jika memberikan mudarat, tidak memberikan faedah, melalaikan dan melekakan orang daripada Allah, menjauhkan orang daripada mengingati kepada Allah سبحانه وتعالى itu bukan ibadah."
"Alangkah beruntungnya orang-orang yang diberikan kelebihan oleh Allah سبحانه وتعالى, yang dapat menguasai masanya mengisi masanya untuk beribadat kepada Allah سبحانه وتعالى. Untuk mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى. Dan amatlah rugi orang-orang yang masanya berlalu pergi begitu saja. Masa yang berlalu tanpa diisi dengan suatu yang bermanfaat. Demi masa sesungguhnya manusia itu didalam kerugian."
"Maka, bersyukurlah kita kepada Allah kerana dipilih oleh Allah سبحانه وتعالى untuk hadir di majlis ilmu di saat ramai orang di luar sana memilih untuk duduk berehat di rumahnya, duduk di atas sofanya, melihat televisyen, melepak dan sebagainya. Dan kita telah dipilih, kita diizinkan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk menghadiri majlis yang baik yakni dimajlis ilmu. Dan ditempat yang baik yakni di rumah Allah سبحانه وتعالى ini."
Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.
No comments:
Post a Comment