Dikisahkan bahawa ‘Aad mempunyai dua orang putera, yang pertama bernama
Syadid dan yang kedua bernama Syadad. Apabila Syadad laknatullah sudah
dewasa, seluruh kerajaan berada dalam kekuasaannya. Lalu ia mengajak
raja-raja bawahannya untuk bermesyuarat dan berkata kepada mereka: "Aku
akan membangun syurga seperti yang difirmankan Allah dalam
kitab-kitabNya. Mereka menjawab: Hal itu terserah kepada tuanku,
kerajaan ini kepunyaan tuanku."
Kemudian ia memerintahkan agar
dikumpulkan semua emas dan perak dari Timur hingga ke Barat. Setelah itu
ia berkata: "Bangunkanlah untukku syurga dalam masa 300 tahun." Maka
berkumpullah segala macam bentuk tukang bangunan. Maka dipilihlah 300 di
antara mereka setiap seorang dari tukang tersebut memimpin sebanyak
1,000 anak buah.
Mereka mengelilingi bumi selama 10 tahun,
akhirnya mereka menemukan suatu tempat yang paling baik. Ada
pokok-pokok, sungai-sungai. Maka mereka pun mulai membangun syurga yang
dirancangkan itu satu parsakh demi satu parsakh. Satu parsakh daripada
emas dan satu parsakh daripada perak.
Setelah mereka anggap
semuanya telah sempurna, lalu mereka alirkan sungai-sungai, mereka
dirikan pokok-pokok yang batangnya terbuat daripada perak, cabang dan
rantingnya terbuat daripada emas. Dan mereka bangun istana-istana dari
batu delima, dengan dihiasi berbagai permata, seperti intan, berlian dan
lain-lain. Kemudian mereka sirami dengan minyak yang paling wangi. Cuma
yang membezakan syurga Shadad laknatullah ini dengan syurga sebenar
adalah syurga ada jamban. Gadis yang menjadi bidadari hanya sekali dara
serta boleh mengalami haid.
Untuk mewujudkan keinginan Syadad
laknatullah tersebut, raja-raja dan para pembantu mereka telah mengambil
emas dan perak daripada rakyat dengan cara paksaan. Sehingga tidak
tertinggal sedikit pun emas dan perak daripada rakyatnya, melainkan yang
masih ada pada leher seorang anak, yang beratnya kira-kira 1 dirham.
Ketika
mereka ingin merampasnya, maka anak itu berkata: "Janganlah tuan ambil
emasku ini." Akan tetapi mereka berusaha untuk mengambilnya, dan mereka
berkata: "Kami diperintahkan oleh raja untuk mengambilnya." Lalu emas
yang sedikit itu mereka paksa mengambilnya daripada leher anak kecil
itu.
Maka anak tersebut mengangkat tangan, sambil berdoa: "Wahai
Tuhanku, Engkau Maha mengetahui tentang apa yang telah dilakukan oleh
orang yang zalim ini terhadap hamba-hamba-Mu yang lemah. Maka tolonglah
kami, wahai Zat yang menolong kepada orang-orang yang meminta
pertolongan." Semua malaikat mengaminkan doa anak tersebut.
Setelah
selesai kerja membina syurga Shadad laknatullah itu, akhirnya mereka
memberitahu Syadad laknatullah untuk datang merasmikannya. Syadad
laknatullah pun bersiap-siap untuk ke sana. Keberangkatan mereka itu
selama 10 tahun perjalanan. Akhirnya rombongan Syadad laknatullah telah
sampai dekat syurga yang mereka buat. Lalu Allah SWT mengutus Jibrail
membawa gambaran pintu syurga sebenar menggantikan pintu syurga buatan
kerajaan Syadad. Bertambahlah bongkak serta sombongnya Shadad setelah
melihat gambaran pintu syurga sebenar. Shadad laknatullah berkata: "Apa
perlu aku beriman dengan Allah, sedangkan aku mampu membina syurga aku
sendiri." Dengan rasa angkuh, Shadad laknatullah ingin merasmi dan
memasuki syurganya.
Lalu Allah SWT pun memerintah malaikat
Izrail supaya mencabut nyawa Shadad laknatullah sebelum dia melangkah
kaki ke dalam syurga buatannya. Izrail memohon kepada Allah SWT agar
diberi kesempatan pada Shadad laknatullah melangkah setapak ke dalam
syurga buatannya, barulah ia mencabut nyawanya. Lalu Allah SWT
berfirman: "Ingatkah engkau Izrail pada suatu masa dahulu. Ada sebuah
kapal yang karam di satu lautan yang luas. Waktu itu berpautlah seorang
ibu dan seorang bayi kecil pada kayu tiang kapal berkenaan. Aku
memerintahkan engkau untuk mencabut nyawa kedua-duanya. Engkau bermohon
agar kasihanilah bayi kecil itu dan dibiarkan ia hidup. Maka Aku
memperkenankan doa kamu. Tahukah engkau bahawa bayi yang kecil itulah
Shadad."
Belum pun sempat Shadad laknatullah melangkah masuk ke
pintu syurga buatannya, tiba-tiba Jibrail memekik dengan suara yang
sangat keras dari atas langit. Maka dalam masa yang singkat mereka
semuanya mati, sebelum sempat memasuki syurga tersebut. Malaikat Izrail
pula merentap nyawa Shadad dengan sangat keras, sehinggakan darah
memancut pada setiap liang bulu roma Shadad laknatullah .
Firman
Allah SWT: "Dan berapa banyak telah Kami binasakan umat-umat sebelum
mereka. Adakah kamu melihat seorang pun daripada mereka atau kamu dengar
suara mereka samar-samar?" (Maryam: 98)
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment