Pages

Sunday, 14 October 2012

HIKMAH SYURGA DAN NERAKA.

SEKALI sekala, bagaikan ada yang berbisik di telinga, otak saya tiba-tiba memikirkan pelbagai persoalan membabitkan ketauhidan Allah SWT bersama sifat-sifat-Nya.
Antara yang terlintas adalah mengapa Allah mencipta syurga dan neraka. Jika Allah itu mempunyai sifat Ar-Rahim (Maha Penyayang), mengapa Allah menciptakan neraka untuk dihuni makhluk-makhluk-Nya? Bukankah lebih mudah bagi Allah memasukkan semua makhluk-Nya ke dalam syurga? Tidak perlu manusia melalui hari kebangkitan semula dan seterusnya menempuh hari pembalasan. Persoalan-persoalan ini jika tidak dibimbing dengan jawapan yang betul pastinya boleh menggugat iman seseorang.

Apatah lagi jika yang berbisik mengenai soalan itu adalah syaitan. Pastinya juga dia yang mencadangkan jawapan yang membuatkan manusia berprasangka buruk terhadap Allah SWT.
Saya pernah mengikuti kuliah seorang ustaz yang berbicara mengenai perkara ini. Pernah suatu masa seorang gadis ditegur kerana tidak menutup aurat oleh seorang ustaz. Antara peringatan yang diberikan adalah orang yang tidak menutup aurat bakal menjadi penghuni neraka.

Selama diberikan ‘tazkirah’, gadis itu langsung tidak memandang wajah ustaz tersebut dan dengan sombong melihat ke tempat lain sambil membuat wajah bosan. Namun selepas selesai ustaz tersebut memberikan nasihat, gadis tersebut tiba-tiba bersuara dengan bertanyakan; “Jika benar Allah itu baik, kenapa cipta neraka?” Terkesima dengan soalan yang tidak diduga itu, namun tidak membuatkan ustaz itu melatah. Persoalan tersebut bersangkut paut dengan rukun Iman dan sifat-sifat Allah. Jika dibiarkan boleh rosak akidah gadis tersebut.

Maka dengan tenang dan bersahaja ustaz tersebut menjawab; “Dik, jika Allah tidak menciptakan neraka, tak perlulah saya melakukan perkara ‘amar maruf nahi munkar’ ini. Lebih baik saya jadi tauke judi, minum arak atau jadi bapa ayam. Hidup senang, lagipun lepas mati saya dijamin masuk syurga.
“Adik ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau lari saya bunuh saja, senang. Tak perlu risau sebab nanti masuk syurga juga.” Jawapan tersebut benar-benar membuatkan gadis itu terkejut kerana sama sekali tidak menyangka ustaz tersebut menjawab persoalannya tadi dengan jawapan sedemikian rupa. Sebelum gadis tersebut menjadi lebih keliru, ustaz tersebut menyambung; “Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga. Maka apa guna jadi orang baik? “Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan lulus ujian. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga. “Selepas itu boleh rogol lagi kalau dia mahu, tiada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu baik. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Adik rasa, adil ke?,” tanya ustaz berkenaan.

“Ah. Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu saja?,” rungut si gadis. Ustaz itu tersenyum dan menyoal lagi; “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?” Gadis tu terdiam.
Lalu ustaz mengakhiri kata-katanya; “Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-Nya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

“Saya rasa adik dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni. Ingatlah, jasad kita bahkan segala-galanya adalah milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah, semuanya yang dipinjamkan oleh-Nya adalah amanah dan ujian. Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintah-Nya, untuk kebaikan diri kita juga.” Begitulah jawapan serta contoh ringkas bagi menjawab persoalan yang saya rasakan begitu berat selama ini. Sesungguhnya akal manusia itu amatlah terbatas, tidak sampai setitis pun daripada ilmu yang ada pada Allah.

Kerana itu ada perkara yang kita digalakkan untuk berfikir. Antara persoalan yang boleh difikir adalah mengapa Allah menciptakan kita sebagai khalifah di muka Bumi ini, mengapa Allah mencipta dosa dan neraka dan juga berfikir betapa besarnya kuasa yang menjadikan langit serta Bumi ini.

Namun ada juga persoalan yang tidak digalakkan untuk kita berfikir kerana dibimbangi didorong oleh hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Seperti contoh, mengapakah Allah menciptakan malaikat daripada cahaya, manusia daripada tanah dan syaitan daripada api? Antara soalan yang begitu mudah dipesongkan oleh syaitan adalah persoalan yang berkait rapat dengan ketentuan syariat. Seperti keizinan berpoligami dalam Islam. Jika difikirkan secara rasional sudah tentulah kita melihat Islam itu tidak adil dan menindas wanita. Bukankah poligami itu menyebabkan ketidakadilan? Kerana itu timbullah golongan elit yang kononnya memperjuang hak asasi wanita ini yang terdiri daripada orang Islam sendiri.

Ada juga yang terlalu memikirkan rasional di sebalik ketetapan syariat seperti pelaksanaan hukuman jenayah yang telah disabitkan dalam nas-nas al-Quran yang jelas. Pemikir-pemikir ini sebenarnya membawa aliran orientalis tanpa disedari di mana mana persoalan yang berlegar di minda mereka dijawab secara ‘bijaksana’ oleh syaitan yang sentiasa menunggu peluang memperdayakan manusia.

Maka Islam itu dilihat kejam dan Allah itu dilihat tidak adil. Tetapi mereka bijak bersembunyi dan tidak menyalahkan Allah secara terang-terangan dalam perkara ini. Yang menjadi sasaran adalah ulama terdahulu. Mereka dituduh kolot dan gagal menyesuaikan al-Quran dengan peredaran zaman.

Maka sentiasalah berpesan pada diri bahawa ciptaan Tuhan tidak pernah sia-sia kerana antara sifat-sifat-Nya adalah apa yang dicipta oleh-Nya tidak ada yang sia-sia, sama ada yang kecil mahupun yang besar semuanya berlaku dengan penuh hikmah.

Ada antaranya mengandungi ilmu, didikan mahupun pengajaran, sekalipun seekor hama halus di tengah belantara. Dijadikan oleh Allah dengan dengan manfaat serta hikmah yang tersembunyi sama seperti seekor kuman di atas gunung yang tinggi dan di dalam batu pepejal. Maka berimanlah. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal. “(Mereka adalah) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berdiri dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata); Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia; Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”



sumber dipetik dari :

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14

 
Kalam Imam Muda

Hikmah syurga, neraka

No comments:

Post a Comment