Diriwayatkan setelah semua manusia yang layak memasuki syurga sudah
memasuki syurga, pada satu hari yang ditentukan, Allah SWT memerintahkan
malaikat Jibrail membawa ahli syurga ke satu perkampungan yang bernama
Hadiratul Quddus. Hadiratul Quddus terletak di dalam syurga yang bernama
Syurga Khuldi, iaitu suatu alam dan tempat yang cuma diketahui
kedudukannya oleh Allah SWT sahaja.
Apabila malaikat Jibrail dan
rombongan ahli syurga yang ramai itu sampai di pintu masuk Syurga
Khuldi, maka muncullah malaikat yang menjadi pengawal syurga itu, lalu
bertanya: "Apakah bicara dan kehendak tuan bersama rombongan manusia
yang ramai ini ke perkampungan syurga ini yang tidak pernah dijejaki
oleh seorang manusiapun."
Lalu Jibrail menjawab: "Aku
diperintahkan oleh Allah SWT, pentadbir seluruh alam untuk menghantar
tetamu-tetamuNya dari orang-orang yang bernasib baik bagi menduduki
Hadiratul Quddus"
Setelah mendengar kata-kata perintah dari
Jibrail, maka malaikat yang mengawal pintu Syurga Khuldi itu dengan
segera membuka pintunya dan membenarkan Jibrail dan ke semua tetamu
Allah SWT tersebut menuju ke perkampungan syurga Hadiratul Quddus.
Malaikat
Jibrail pun masuk ke dalam syurga itu lalu menaiki ke satu puncak
mahligai yang tinggi lantas berkata: "Wahai Muhammad, masuklah tuan
hamba bersama para nabi, para sahabat dan sekalian manusia yang menjadi
calon penghuni syurga ke taman Hadiratul Quddus ini untuk menikmati
segala kemewahan yang telah dijanjikan Allah SWT dahulu. Maka masuklah
Rasulullah dan sekelian tetamu Allah SWT yang lain ke dalam taman itu
lalu menaiki kenderaan khas yang disediakan.
Apabila mereka
melalui jalan di dalam taman syurga itu, tiba-tiba berundurlah ke
belakang dengan sendirinya segala pohon kayu kecil dan besar yang
menghiasi taman itu untuk memberi hormat kepada rombongan tersebut.
Sepanjang perjalanan mereka diperlihatkan permandangan taman yang indah
lagi mengkagumkan, melalui bangunan serta mahligai yang diperbuat dari
emas, perak, batu delima serta lain-lain. Pendek kata, Hadiratul Quddus
memiliki mahligai yang bertaburan dalam suasana yang terlalu permai dan
amat menyenangkan.
Pada pintu setiap mahligai tersebut sudahpun
tertulis nama penghuni yang bakal memilikinya manakala di dalamnya
menunggu dengan wajah kerinduan akan para bidadari yang amat jelita,
menunggu dengan penuh sabar akan saat pertemuan yang sudah terlalu
hampir akan kedatangan suami mereka yang bakal menjadi penghuni dan raja
di dalam mahligai tersebut.
Setelah beberapa lama mengelilingi
Hadiratul Quddus, malaikat Jibrail lalu membawa ke semua ahli syurga
berkenaan berkumpul untuk menghadiri satu upacara perhimpunan agung.
Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail untuk membentangkan satu
hamparan permaidani, maka duduklah para tetamu Allah SWT itu berehat
dengan penuh gembira dan selesa sekali. Seketika kemudian Allah SWT pun
memerintah para malaikat: "Berikan makan kepada waliKu". Muncullah para
pelayan membawa pelbagai hidangan istimewa. Semakin banyak dimakan,
semakin terasa lazat rasanya. Setiap suap tidak sama rasanya. Mereka
terus menikmati hidangan makanan dengan sepuas-puasnya. Setelah makan,
Allah SWT memerintahkan: "Berikan minum pada hamba-hambaKu". Maka para
tetamu Allah SWT tersebut diberi minuman yang rasa airnya bertambah
lazat pada setiap teguk.
Setelah para tetamu Allah SWT tersebut
menikmati jamuan di hari pertama mereka dikumpulkan beramai-ramai, Allah
SWT pun memerintah malaikat Jibrail supaya manghadiahkan kepada mereka
pakaian-pakaian syurga. Tubuh badan mereka disaluti dengan pelbagai
perhiasan yang amat baik dan terlalu tinggi nilainya samada perhiasan
cincin emas yang bertatah batu-batu delima atau berlian yang terlalu
ajaib dan menakjubkan. Setiap cincin yang dipakai oleh tetamu Allah SWT
itu tersurat kalimah-kalimah tertentu yang memuji kebesaran Allah SWT.
Mereka juga dihiasi dengan mahkota syurga yang dihiasi dengan batu-batu
permata yang bergemerlapan.
Allah SWT memerintahkan malaikat
Jibrail menghantar pula bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak
terbilang ramainya itu. Maka muncullah seekor burung yang sangat ajaib
rupanya dan terlalu cantik pula warnanya terbang di dalam taman syurga
yang permai itu, sambil mengembangkan sayapnya mengelilingi kepala
mereka. Maka terpeciklah bau-bauan yang sangat harum hasil dari
sayap-sayap burung ajaib tersebut lalu merenjis pada tubuh dan pakaian
setiap tetamu Allah SWT yang hadir pada majlis itu. Maka bertambah harum
dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu. Alangkah
tercengangnya para tetamu Allah SWT itu melihat dan mengalami kejadian
ajaib yang ditunjukkan oleh Allah SWT itu, sebagai janji kesenangan dan
kebahagian yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman di alam
akhirat nanti.
Seketika kemudian secara tiba-tiba muncullah
sebuah mimbar yang diperbuat daripada Nur. Malaikat Jibrail mara di
tengah manusia yang ramai itu sambil membimbing tangan Nabi Musa AS naik
ke atas mimbar tersebut untuk membaca kitab Taurat. Nabi Musa AS pun
memperdengarkan bacaan Taurat dengan bacaan yang lembut dan jelas
didengar oleh sekelian hadirin. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput
pula nabi Isa AS naik ke atas mimbar untuk membaca kitab Injil seperti
yang pernah diturunkan ke atas baginda oleh Allah SWT. Setelah nabi Isa
AS memperdengarkan bacaannya, tibalah giliran nabi Daud AS pula untuk
membaca kitab Zabur. Bagindapun memperdengarkan bacaan kitab Zabur
dengan suara yang amat merdu hingga terpegunlah sekelian tetamu Allah
SWT pada hari itu. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput Rasulullah
SAW naik ke atas mimbar untuk memperdengarkan Al Quran. Rasulullah SAW
pun membaca Al Quran dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah
didengar oleh sebarang manusia sebelum ini.
Setelah selesai
pembacaan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan oleh Allah SWT pada
umat manusia, maka tiba-tiba terdengarlah satu suara paling merdu
memenuhi ruang syurga yang terbentang luas itu. Suara itu merupakan
firman dari Allah SWT sendiri yang pertama kali didengar oleh sekelian
ahli syurga tersebut. "Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku
janjikan kepadamu, dan kini kamu boleh meminta niscaya aku akan berikan
permintaanmu". Jawab ahli syurga: "Kami minta ridhoMu. kami minta
ridhoMu." dua tiga kali. Dijawab oleh Allah SWT: "Aku ridho kepadamu
bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan
kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu
terima."
Maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat dzat
Allah SWT yang Maha Mulia sekehendak Allah SWT, maka segera mereka
bersujud kepada Allah SWT sehingga Allah SWT menyuruh mereka: "Angkatlah
kepalamu sebab kini bukan masa beribadat."
Maka disitu mereka
lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak
ada nikmat lebih besar daripada melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia.
Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arasy dari
bukit kasturi yang putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas
ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada
isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika
mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: "Kamu
kini lebih elok dari yang biasa."
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment