Berabad abad lamanya, Mesir diperintah oleh raja yang menamakan dirinya Firaun. Mereka memerintah secara turun temurun. Kerana kebebasan dan kekuasaan yang ada pada raja Firaun, setiap yang menjadi raja itu, semakin lama semakin kejam dan ganas juga. Bukan saja mereka menganggap dirinya paling kuasa, malah melebihi dari itu, iaitu mereka beranggapan bahawa diri mereka itu Tuhan yang harus disembah oleh semua manusia, kerana mereka berpendapat tidak ada makhluk lain yang lebih kuasa, daripada mereka.
Lebih lebih lagi terhadap bangsa asing yang hidup di negerinya iaitu Bangsa Israel yang berasal dari daerah Palestin, mereka selalu diseksa, penghidupannya disempitkan. Dengan kesalahan yang kecil, mereka dianiayai se berat beratnya. Demikianlah politik pemerintahan Firaun di waktu itu.
Pada suatu hari, tukang tenungan sendiri datang menghadap Firaun dan berkata: Akan lahir seorang anak lelaki di kalangan Bangsa Israel yang tinggal di Mesir ini. Anak itu nanti akan mengalahkan engkau dengan pemberontakan pemberontakannya dan tidak akan mengakui engkau sebagai Tuhan dan rajanya lagi.
Mendengar itu Firaun dengan segera mengeluarkan peraturan istimewanya di mana dinyatakan bahawa setiap anak lelaki Bani Israel yang dilahirkan pada waktu itu harus dibunuh, kecuali anak anak perempuan saja yang dibiarkan hidup. Demikianlah siasat jahat guna memusnahkan Bangsa Israel yang menetap di situ. Di waktu berlakunya undang undang itulah ibu Musa sedang mengandung dan sudah dekat melahirkan anak, iaitu Nabi Musa, anak Bani Israel yang mana peraturan itu berlaku bagi dirinya.
Alangkah sedihnya hati Yukabad, iaitu ibu Nabi Musa yang sedang mengandung dan sudah dekat waktunya melahirkan, sekalipun dia sendiri belum mengetahui apakah anaknya itu lelaki atau pun perempuan.
Dia terpaksa bersembunyi saja di rumahnya, agar jangan diketahui orang bila melahirkan anak. Dalam keadaan sedang bersembunyi itulah pada suatu hari Nabi Musa dilahirkan. Alangkah terkejutnya demi di lihat sang ibu, bahawa bayi yang dilahirkannya itu adalah seorang anak lelaki. Dia tidak berputus asa dan dia percaya juga bahawa anaknya itu akan hidup terus, sedapat mungkin akan ia pertahankan, jangan sampai menjadi korban undang undang yang dikeluarkan Firaun itu. Khabar kelahiran ini disimpannya baik baik, tidak terdengar oleh Firaun dan mata matanya. Tiga bulan lamanya bayi Musa itu dapat dijaga oleh ibunya sendiri, dengan tidak diketahui oleh Firaun dan kakitangannya.
Tetapi makin lama peraturan itu dijalankan makin bertambah keras juga. Pasukan pengintip diperbanyak, untuk mengetahui tempat dan nama tiap tiap perempuan mengandung dan anak anak yang baru lahir.
Tuhan lalu mewahyukan kepada ibu Musa, agar bayinya diletakkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil yang mengalir di hadapan rumahnya. Dengan hati yang tenang dan sabar, ibu Musa menurutkan ajaran wahyu itu. Bayinya dimasukkan ke dalam peti, lalu dihanyutkan ke Sungai Nil. Bayi yang dihanyutkan itu diiringkan dengan mata sedih oleh saudara perempuan Nabi Musa sendiri, untuk mengetahui ke mana perginya anak bayi ini nantinya. Alangkah terkejut saudara perempuan dan ibu Nabi Musa, ketika diketahuinya, bahawa peti yang membawa bayinya itu terhenti di hadapan istana Firaun, lalu diambil oleh isteri Firaun.
Ibu Musa cemas kalau kalau bayinya dibunuh oleh Firaun. Tetapi Allah lebih berkuasa. Baru saja isteri Firaun melihat wajah bayi yang hanyut terapung katung dengan sebuah peti di dalam sungai itu, timbul cinta kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Lalu anak itu diambil dan digendongnya, dibawa dan diperlihatkannya kepada suaminya; iaitu Firaun dengan berkata: Saya suka kepada anak ini, mari dia kita jadikan anak kita sendiri.
Firaun sendiri pun lupa akan peraturan yang dikeluarkannya. Dia pun turut tertarik untuk menjadikan bayi itu menjadi anaknya sendiri. Begitulah Nabi Musa dibesarkan dan dididik di rumah musuh besarnya, dengan siapa nantinya Nabi Musa itu sendiri akan berjuang. Alangkah senang hati Yakubad melihat dan mendengar keadaan bayinya yang selamat itu, dipelihara oleh raja besar.
Sekarang Firaun dan isterinya sibuk mencari perempuan yang dapat mengasuh dan menyusui anak angkatnya itu. Banyak sudah perempuan perempuan Mesir datang melamar untuk mengasuhnya, tetapi setiap kali hendak disusukan oleh mereka ke mulut Musa, Musa menolak tidak mahu menyusunya.
Akhirnya Firaun memerintahkan kepada Haman untuk mencari perempuan yang mahu disusui oleh bayi itu. Haman terpaksa mengendong Musa itu ke sana ke mari untuk mencari perempuan yang dimaksudkan itu. Banyak sudah perempuan yang bersedia,tetapi Musa tetap tidak mahu menyusu kepada mereka, malah tangisnya semakin keras juga yang menandakan dia sangat haus.
Bertemulah akhirnya dengan seorang perempuan, yang juga menawarkan diri untuk menyusukannya. Baru saja dia membuka susunya, dengan cepat bayi itu menyusu kepadanya.
Alangkah hairan Firaun melihat kejadian itu dan berkata:
Siapakah engkau ini, tidak seorang juga perempuan selain engkau yang mahu dia menyusu kepadanya.
Perempuan itu ialah Yukabad, ibu dari bayi itu sendiri, ibu Nabi Musa. Dijawabnyalah perkataan Firaun itu: Saya perempuan yang baik bau, pula baik susunya. Setiap bayi suka sekali menyusu kepada saya.
Begitulah Musa diserahkan kepada ibunya sendiri untuk dipelihara, diasuh dan disusukan. Dan ibu Musa mendapat upah yang lumayan dari raja Firaun yang kaya raya itu. Demikianlah caranya Allah memelihara Musa dan membalas kesabaran dan ketabahan hati ibu Musa yang telah sudi menurutkan bunyi wahyuNya.
bersambung :Nabi Musa keluar dari Mesir
No comments:
Post a Comment