Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu. Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara :
“Usah bimbang, ia akan balik dalam sehari dua ini.”
“Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu.” Jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.
Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, ia membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoaljawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Ia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau ai kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar.
Barang kali esok atau lusa ia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu ia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk. Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung.
Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, iaitu semasa kereta anak cucunya bergerak, datuktidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup hiba.
“Sampaikan salam pada datuk,” kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas. Matanya merenung muka nenek.
“Boleh, jangan bimbang,” nenek memberikan perngakuan. Ahmad Zaki yang lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali dengan kerjanya membelah pokok sireh di belakang rumah, melihat ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama mereka. Tidak guna kalau dudu rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.
Bila nenek mengkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang maha bersar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.
Nenek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang. Ia terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat Muhammad Hakim keluar dari kereta.
“Kenapa ada barang tinggal ?” Tanya nenek.
“Tak ada apa nek, kereta Ramlah berlangar dekat pekan pusing. Nenek diam. Ia tahu cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas sebagai pegawai kastam.
“Apa yang mesti kita buat ?” Nenek menyoal. Mohammad Hakim suruh nenek masuk ke dalam keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah ditinggalkan pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah. Jiran yang baik hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu.
Bagaikan digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri mudanya di kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan. Datuk pun balik. Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, dia tidak bertanya pada jiran tentang nenek yang tidak ada di rumah. Selepas sembahyang, seorang jiran datang menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan itu dengan tenang.
“Terima kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi,” kata datuk pada jiran yang menyampaikan pesan. Apa yang dicakapkan oleh datuk, di kotakannya, lepas sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian datuk matikan injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia membawa barang keperluan, kalau tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk periksa injin kereta,. Ia yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk perjalanan jauh.
Masa datuk meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang mengerdip, tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford Anglianya dengan tenang membelah kegelapan malam. Kereta datuk sudahpun melintasi Kampung Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh Aur, hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam hujan lebat. Ia terpaksa melarikan keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali datuk terbabas ke tepi jalan. Bila selisih dengan lori balak atau lori ikan datuk terpaksa memberhentikan keretanya.
Datuk sudahpun melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah memasuki Pekan Parit hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi datuk tetap mahu meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan Pekan Parit, datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk berhenti dengan tiba-tiba, Ia cuba menghidupkan injinnya, usahanya itu tidak berjaya. Dalam hujan yang lebat itu datuk keluarkan dari perut kereta. Datuk membuka bahagian depan dengan lampu oicit di tangan ia meraba semua wayar yang terdapat pada injin kereta. Badannya sudah basah. Ia menggigil.
Datuk ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak bersuara. Datuk masih juga tenang. Walaupun ia tahu, ia sekarang berada di tempat sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal. Kilat mula bermaharajalela. Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa diri nya berada tidak jauh dari Bukit Berapti. Setiap kali cahaya kilat memancar ia dapat melihat Bukit Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan.
Hujan terus turun. Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang melintas di situ. Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglia, Tiba-tiba datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Ia mempastikan cahaya lampu itu datangnya dari sebuah rumah.
Datuk ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang . Kemudian ia memutuskan untuk pergi ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk menguncikan semua pintu kereta. Datuk menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat. Datuk masuk ke dalam satu lorong menuju ke rumah tersebut. Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat pun memancar, datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu beringkat dua, di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air hujan.
Datuk masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.
“Saya mahu tumpang berteduh,” kata datuk.
“Begitu, masuklah ke dalam.”
“Tak payah, biarlah di luar sahaja.”
“Jangan begitu masuklah.” Pelawa perempuan itu mendesak juga datuk supaya masuk ke dalam rumah. Akhirnya datuk masuk. Ia disuruh duduk di ruang tamu. Perempuan yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu. Datuk terus memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas habis dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.
“Tinggal seorang saja,” tanya datuk. Perempuan muda yang berambut panjang itu tersenyum, lampu minyak tanah terlintuk liok ke kiri dan kanan ditiup angin malam.
“Emak dan ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit.”
“Suami ?”
“Saya belum bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati ditembak komunis di Sungai Siput.”
“Kalau begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini,”
“Apa salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak rosak, dan saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya saya memerlukan pertolongan dari awak.”
“Awak perempuan yang baik hati,”
“Usahlah terlalu memuji,” tingkah perempuan muda.
Di luar ruamh hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah. Angin yang bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri, sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah. Datuk terdengar bunyi lolongan anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk terdengar bunyi suara perempuan mengilai. Datuk tidak menyoal apa yang didengarnya pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar sekali bertemu di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi. Itu biadab namanya. Datuk tidak mahu, perempuan muda menuduh dia biadab.
Malam itu, perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu datuk, bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina. Masa zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan membeli rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini.
Dengan penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan datuk sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.
“Bilik untuk awak tidur di sini,” ujar perempuan muda itu, datuk melihat sebatang lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.
“Usah bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak,” tambah perempuan cantik itu, “kereta awak dan awak selamat di sini.”
“Terima kasih.” Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk terdengar perempuan muda itu mengunci bilik dari luar. Datuk tersenyum, dan terfikir bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya, ia bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk menggelengkan kepala.
“Aku tidak sejahat itu,” kata datuk dalam hati. Ia rebahkan badan atas katil. Bila datuk mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar bermacam-macam bunyi di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis. Datuk tidak mengiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja. Akhirnya, datuk terlelap, ia bermimpi ada orang kepala anjing datang padanya lalu mahu membaham pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati. Dalam perlawanan itu , datuk tewas pada orang berkepala anjing itu terus mengoyak daging peha datuk. Darah bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk pun terjaga.
Datuk terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke dalam ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma tidur di atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk. Tidak ada katil. Tidak ada meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar. Datuk menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi, indah ternyata sebuah rumah buruk yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi.
Di halaman rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan kekitar rumah itu ama meyeramkan. Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semala. Tidak napak batang hidung. Datuk pergi ke ruang tengah. Ia melihat satu cawan sumbing yang kotor. Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu.
Datuk mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air itu sudah masuk ke dalam perutnya.
“Syaitan, aku dipermainkan oleh syaitan,” bisik batin datuk. Ia pun meninggalkan kawasan rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan injin keretanya. Suara kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke depan. Keretanya tidak mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital Batu Gajah. Ia kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah meninggal dunia. Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan kisah yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.
“Begini pak cik, rumah tu rumah tinggal anak dara tuanpunya rumah itu menggantung diri di ruang tengah rumah tu,” beritahu pekerja itu pada datuk.
“Sebab ?”
“Dia kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain.”
“Begitu ?” suara datuk lembut.
BERJAGA DI HUJUNG JAMBATAN.
Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.
“Aku bukan tukang cerita,” katanya. Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan pada dirinya. Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata :
“Mari ikut aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat nanti, apa yang akan terjadi.” Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu lagenda yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi diperkatakan oleh orang.
Dua bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang. Bila anak cucu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakit nya tidak juga mahu hilang.
Seorang dukun dari Mambang di awan dekat Kampar mengatakan sakit datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.
“Kenapa tok bomoh ?” seorang cucu datuk bertannya.
“Sakitnya dibawa oleh orang atas,” jawabnya pendek.
“Siapa orang atas tu tok bomoh,” desak cucu datuk. Dan bomoh itu tidak mahu memberikan jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur menanggung sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang-kadang datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.
“Aku masih kuat lagi,” katanya. Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada sutu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macammana rancangan itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk merawatnya.
Memang di luar dugaan, anak cucu , datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang agak lama. Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung ruamh. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi. Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang Isyak.
Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan. Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.
“Carikan aku tiga biji limau, tiga gelai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan dan tempat membakarnya,” ujar datuk tenang.
“Nak buat apa,” tingkah nenek.
“Usah banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang,” datuk membeliakkan matanya. Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga berlapikkankain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.
“Duduklah,” datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding. Anak cucu merenung ke tepi dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.
“Kalian keluarlah, ada pawang nak mengubat aku,” datuk memberi perintah. Semua anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus juga lepas keluar.
“Dah berapa lama sakit ini, kenapa tak beritahu,” anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu . Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.
“Berapa lama sakit ni,” terdengar lagi suara perempuan.
“Dah dekat tiga bulan,” sahut datuk
“Patutlah lama tak ke rumah.”
“Sibuk.”
“Apa asalnya , ada jatuh atau ada tersalah makan.”
“Salah makan tu tak ada, tapi jatuh jatuh memang ada,saya jatuh dekat perigi buta.”
“Patutlah, kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya.
“Itu salah saya,” datuk mengaku.
Suasana dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.
“Amalkan apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat saya,”terdengar lagi suara perempuan. Beberapa saat kemudian, datuk memebuka pintu bilik , bau wnagi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk memebuka pintu depan. Datuk berdiri di muka pintu.
“Selamat jalan,” kata datuk pada malam yang samar-samar itu. Datuk melambaikan tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikaikan tangan. Tidak seorang pun anak cucunya yang tahu. Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam. Masuk malam keempat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah boleh berjalan dan memandu kereta buruknya . Datuk sudah pun mengucapkan ribuan terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya. Dan anak cucunya bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat datuk hingga sembuh. Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini : Masa kuat sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari doktor sahaja.
Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak merasa apa-apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari. Nenek tidak pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri datuk. Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang umur. Cukup mulia hati nenek.
Macam selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.
“Siapa yang merawat dalam bilik dulu,” tanya nenek pada suatu petang. Datuk tersenyum mendengar pertanyaan itu.
“Isteri muda kitalah.”
“Siapa ?”
“Orang bunian.”
“Hum, lagi apa katanya pada awak.”
“Tidak ada apa-apa, cuma dia berpesat satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada keluarga kita, segera beritahu padanya.” Jawapan yang diberikat itu cukup menyenangkan nenek.
Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli-ahli pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP. Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara gergilir-gilir dengan orang-orang kampung yang lain. Kerana datuk dianggap penduduk yang tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah dipilih untuk menjadi ketua.
Kadang-kadang datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk mengempar sarang komunis. Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk mernerimanya dengan rasa senang hati. Satu keistimewaan datuk, ialah dia cukup kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat. Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap pasukan dianggotai oleh lima orang. Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai mengala ke utara. Sedangkan datuk dengan kawan-kawan menguasai sebelah selatan hingga sampai ke jabatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai tempat ia mengatur sebarang gerakan.
Malam itu datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang sepi itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukkan keselamatan yang melintas di atas jambatan besi.
“Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua pergi berjaga dekat pokok besar,” datuk memerintahkan anak buahnya.
“Di sini, siapa nak tunggu, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya. Datuk tidak menjawab pertanyaan itu dengancepat. Dia termenung berfikir.
“Di sini, biar aku tunggu,” katanya. Anak buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan yang ditetapkan. Malam bertambah sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali dia menguap. Badannya disandarkan pada besi jambatan. Tiba-tiba datuk terkejut, seekor ular berbelang kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju ke arahnya. Lebih kurang satu ela mahu sampai padanya , ular itu berhenti. Panggung kepala. Menjulurkan lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular itu terpancar sesuatu macam api. Bila ular itu mengkatupkan mulutnya. Api itu padam dan api itu akan wujud kembali, bila ular itu membuka mulutnya.
SUMBER :
No comments:
Post a Comment