Pages

Tuesday, 13 February 2018

10 PENYAKIT PENGAMAL TAREKAT


Terdapat berbagai penyakit batin yang sukar disedari oleh pengamal tarekat yang boleh membinasakan perjalanan zahir dan batin mereka kepada Allah. Antaranya ialah:

1. TERASA ADA AMALAN

Maksudnya seseorang itu merasakan bahawa dirinya itu telah banyak berbuat amal soleh; banyak sembahyang, puasa, zikir, banyak sedekah dan sebagainya lagi. Jika ada rasa demikianmaka rosaklah perjalanan keruhaniannya. Rasa yang demikian itu bukan sahaja akan menimbulkan sifat riak, ujub dan sebagainya tetapi ianya boleh menyebabkan syirik atau menyengutukan Allah. Oleh kerana itu seseorang salik itu dikehendaki merasa-rasakan secara bersungguh-sungguh bahawa segala amalnya yang soleh itu adalah kurnia Allah semata-mata, hal Allah semata-mata, dari Allah semata-mata.

Setelah rasa begitu dapat dihayati sebenar-benarnya, maka InsyaAllah ia akan dikurniakan oleh Allah Tauhid Af’al atau tauhid pada perbuatan Allah, di mana seorang itu pada peringkat tersebut dapat melihat keesaan perbuatan Allah semata-mata akan tercapailah ketiga-tiga syarat bagi penerimaan amal iaitu ikhlas, fana’ (amalan diri dalam perbuatan Allah) dan benar-benar berasa bahawa tidak ada daya dan kekuatan kecuali Allah semata-mata.Kesimpulannya: Bila terasa ada amal maka Tauhid Af’al tidak akan tercapai.

2. PANJANG ANGAN-ANGAN NAFSU KEDUNIAANNYA

Khalifah Ali (r.a.) pernah menyebutkan bahawa panjang angan-angan nafsu keduniaan itu adalah punca segala kesalahan atau dosa. Orang yang panjang angan-angan nafsu keduniaannya itu sentiasa lena dihayun oleh berbagai jenis angan-angannya itu. Pada setiap saat hatinya berkata-kata: “Aku akan buat ini, buat itu. Kalau aku buat ini akan jadi begini dan kalau aku buat yang lain akan jadi begitu…”

Tegasnya ia akan dilamun oleh berbagai fikiran dan rancangannya sendiri yang tidak akan ada titik perhentiannya sama sekali. Hal demikian adalah mengambarkan bahawa orang tersebut jahil terhadap Tauhid, sebab orang yang jahil Tauhid menurut Ibn Ata’illah hatinya sentiasa berkata: “Apakah yang akan aku buat”.

Orang yang benar Tauhidnya pula menurut beliau, hatinya sentiasa berkata:”Apakah yang Allah akan buat terhadap dirinya itu”. Di samping itu orang yang panjang angan-angan keduniaan itu hatinya akan menjadi gelap disebabkan berbagai gambaran kebendaan sentiasa memenuhi ruang di hatinya sehingga Allah tidak akan mendapat ruang di hati lagi, pada hal hati itu untuk Allah. Nabi bersabda, ertinya: ”Hati itu rumah Allah” Maksudnya hati itulah tempat yang dipilih dan dibersihkan oleh Allah dan dimuliakan sebagai jalan perhubungan antara Allah dengan hambaNya. Oleh itu hati itu tidak boleh dimasuki sesuatu yang lain dari Allah.

Samalah keadaan hati itu seperti Kaabah, kerana Kaabah itu adalah dikatakan sebagai Rumah Allah. Kalau Kaabah itu mesti bersih dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kesuciannya, maka begitu jugalah dengan hati, ia mesti bersih dari sesuatu yang mengotori ruang hati serta mengelapkannya.

Dari angan-angan keduniaan itu maka akan timbullah berbagai sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, gemar kemasyhuran dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa sebahagian daripada angan-angan keduniaan itu ialah angan-angan seorang itu mengenai akhirat, tetapi cita-cita dan angan-angan itu telah dikotori oleh berbagai kehendak nafsunya.

Ramai orang terjerat di dalam perangkap ini tidak dapat menyedari dirinya itu sendiri. Misalnya, seorang itu membanyakkan usahanya berzikir siang dan malam, tetapi hati kecilnya terlintas bahawa dengan berbuat demikan maka ia akan cepat menjadi wali atau menjadi seorang Syeikh atau lekas fana’ dan sebagainya.

Sepatutnya ia bercita-cita supaya dapat ma’rifatullah dan keredhaanNya. Demikian juga seorang salik yang berhenti dari kerja mencari rezeki atau berhenti dari belajar Ilmu Islam kerana didorong supaya cepat naik maqam atau cepat mencapai matlamat perjalanannya; kononnya jika ia menumpukan zikir dan beramal ibadat sahaja maka cepatlah sampai kepada matlamat yang dituju. Sebenarnya hal demikian itu masih dipenuhi nafsu keduniaan yang pada zahirnya macam cita-cita akhirat.

3. HATI BERKATA ATAU TERLINTAS BAHAWA DIRINYA TELAH MENCAPAI TARAF WALI

Sifat demikian adalah berlawanan dengan kehendak Allah, kerana Allah melarang seseorang itu dari perbuatan mengaku diri sendiri itu suci dan bersih. Allah berfirman, maksudnya :“Maka janganlah kamu mengaku bahawa diri kamu itu suci. Dialah (Allah) yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa”.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Tanda kecelakaan (masuk neraka) itu empat perkara: (Pertama), Lupakan dosa-dosa yang dilakukan, pada hal dosa-dosa itu masih utuh di sisi Allah. (Kedua), Ingatkan berbagai kebaikan yang dilakukan, pada hal ia tidak tahu samada kebaikan itu diterima atau ditolak oleh Allah. (Ketiga), Memandang orang yang di atas mengenai hal keduniaan. (Keempat), Memandang orang yang di bawah (lebih rendah) mengenai hal-hal agama. maka Allah berfirman (kepada orang ini): “Aku mahukan orang ini, tetapi ia tidak mahukan Aku, maka Aku pun tinggalkan sahaja”

Sebenarnya, bila seseorang itu tinggi darjatnya di sisi Allah, maka ia akan terasa rendah; bila ruhaninya bersih, maka ia terasa kotor dan banyak dosa; bila telah menjadi wali, maka terasa dirinya masih jauh dari kecintaan Allah. Sebaliknya, orang yang masih bergelumang dengan dosa itu biasanya merasakan dirinya sudah bersih, sudah menjadi wali Allah. Oleh yang demikian seseorang itu yang terasa telah menjadi wali itu telah tersimpang jauh dari arah perjalanannya yang sebenar. Ia tidak akan sampai ke matlamat yang dituju dan ia tetap jatuh tersungkur yang sukar untuk bangun semula.

4. SUKA DAN SENANG HATI BILA DIKERUMUNI OLEH ORANG RAMAI.

Bila ramai orang berada di sekelilingnya, kerana menyokong dan menyukainya maka ia berasa seronok, suka dan senang hati. Sebaliknya, bila orang ramai menjauhkan diri daripadanya maka ia berasa susah hati. Sifat demikian boleh merosakkan keruhanian seseorang salik, kerana pada hakikatnya ia masih memandang makhluk dan tidak memandang Allah. Di samping itu, sifat demikian itu menunjukkan bahawa ia masih sukakan kemasyhuran, kemuliaan, keagungan dan sifat-sifat lain yang seumpamanya.

Semua sifat tersebut adalah pakaian Allah bukan pakaian makhluk atau manusia. Ibrahim bin Adham berkata: ”Seseorang yang tidak meninggalkan kemuliaan kepada kehinaan, ia tidak akan sampai ke darjat orang yang solihin”. Seorang murid Syeikh Abu Yazid Al-Bustami pernah mengadu kepadanya bahawa ia telah beramal di bawah pimpinan Syeikh Abu Yazid selama 30 tahun, tetapi ia terasa tidak mendapat apa-apa perubahan, masih tetap di tahap dahulu juga, maka apakah yang menyebabkan jadi begitu? Syeikh Abu Yazid Al-Bustami menjelaskan bahawa jika muridnya itu beramal selama 1,000 tahun lagi pun, tetap tidak akan berubah keadaan dirinya itu, kecuali ia membuang semua sifat berasa mulia dan tinggi di mata masyarakat itu.

Seorang itu dikehendaki menjadi hamba Allah, bukan hamba manusia. Bila seseorang itu suka kepada manusia, maka ia jadi hamba manusia, bukan hamba Allah. Seorang hamba Allah hanya sibuk dengan Allah, senang dengan Allah, cinta hanya terhadap Allah, harapannya hanya pada Allah dan tidak kepada yang lain.

5. BERASA PUAS HATI DENGAN BERBAGAI BAYANGAN MIMPI

Sifat tersebut akan mendorongkannya untuk berpegang terhadap berbagai tafsiran mimpi yang dialaminya itu. Lama kelamaan ia akan disesatkan oleh syaitan menerusi tafsiran-tafsiran mimpi itu sendiri, tanpa dapat menyedari kesalahan dirinya itu sampai bila-bila. Malahan setiap ia beramal, maka ia mengharapkan untuk mendapat mimpi yang baik-baik atau yang ia anggap dapat menguntungkan dirinya.

Bagaimana akibatnya nanti bila dia itu bermimpi bahawa si pulan itu berzina, si pulan bin pulan itu mesti dibunuh dan sebagainya lagi? Tentu akan menimbulkan fitnah besar di dalam masyarakat. Ternyata orang yang berpegang terhadap mimpi itu telah hanyut dari tujuan perjalanannya yang dirumuskan dalam doa munajatnya sendiri.

6. BERASA JINAK, SERONOK TERHADAP WIRID ATAU ZIKIR YANG DILAKUKAN

Sifat ini juga dilarang, kerana ianya boleh melalaikan seseorang itu dari mengingati Allah yang sebenar. Apa yang disuruh oleh Allah ketika berzikir atau berwirid itu ialah mengingati Allah, seronok dan senang hati terhadap Allah, bukan terhadap wirid dan zikir yang dibaca itu. Jika seronok dan senang hati dengan wirid dan zikir yang dibacakan itu, maka samalah juga ia seronok mendengar lagu atau nyanyian dari penyanyi.

Sifat tersebut akan menjadi hijab, kerana seseorang akan terhenti di tahap wirid dan zikirnya itu sahaja, sedang perjalanannya yang sebenar masih jauh lagi.

Bagaimana jika seseorang itu mendapat mimpi ? Jika mimpi itu baik maka hendaklah ia bersyukur dan jika sebaliknya maka hendaklah ia berlindung dengan Allah, jalan terus, jangan dihiraukan sangat mimpi itu.

7. BERASA LAZAT DAN PUAS HATI TERHADAP NATIJAH-NATIJAH ZIKIR AL-WARIDAT

Demikian juga berbagai pemandangan ruh atau mata hati terhadap rahsia-rahsia perjalanan menuju Allah itu adalah juga termasuk di dalam makna al-waridat itu. Di kalangan ahli Tariqat di Malaysia ini, al-waridat itu di istilahkan sebagai natijah-natijah zikir. Al-Imam Al-Ghazali mengibaratkan orang yang berasa seronok dan lazat dengan al-waridat itu seperti anak-anak kecil yang menangis, lalu diberikan gula-gula atau anak -anak patung, maka iapun merasa seronok lalu diam dan berhenti dari menangis, kerana ia puas hati dengan gula-gula atau anak-anak patung itu.

Al-Imam Al-Ghazali juga mengambarkan bahawa perjalanan ruhani seseorang menuju Allah itu dapat disamakan dengan perjalanan seseorang menemui raja yang bersemayam di atas singgahsana di dalam istananya; bila seseorang yang mahu menemuinya maka keluar dari rumahnya untuk menemui raja itu, sudah tentu akan mengambil masa yang lama disebabkan perjalanannya yang jauh itu; dalam perjalanannya itu tentu ada kampung, kebun, ladang, dan berbagai pemandangan lagi; bila sampai di kawasan istana pula tentulah pemandangan lebih menarik dan indah. Jika seseorang salik itu tertarik dengan pemandangan-pemandangan itu semua dan berasa seronok, sudah tentulah ia akan terlupa tujuan asal untuk menemui raja itu.

Apa yang paling membahayakan ialah seseorang itu berasa telah sampai kepada raja yang dituju, pada hal ia masih jauh lagi dari istana atau mungkin juga ia masih berlegar-legar di halaman istana. Oleh yang demikian, maka sifat berasa lazat, seronok dengan al-waridat itu menjadi hijab hati atau ruhani yang merosakkan perjalanannya. Lebih hebat lagi bila seseorang itu telah dihantui dan dicandui oleh perasaan seronok dan lazat dengan al-waridat tersebut. Di tahap tersebut, orang tersebut akan dihanyutkan oleh al-waridat itu sendiri, sehingga bila satu masa nanti al-waridat terasa tidak ada maka hati kecilnya mula berperangsangka buruk terhadap Allah, dirinya sendiri, terhadap gurunya dan para sahabatnya.

Bagaimana mahu menerima al-waridat itu? Terimalah dengan bersyukur kepada Allah, jika ianya tidak berlawanan dengan Al-Quran dan sunnah Nabi dan jika tidak berlawanan dengan kata-kata ulama yang arif billah. Tetapi janganlah dihiraukan sangat al-waridat tersebut. Jika al-waridat tersebut berlawanan dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi atau pandangan ulama arif billah, maka hendaklah ianya kita sisihkan sahaja, jangan pandang langsung.

Di sinilah letaknya bahawa seseorang itu mesti terus menimba ilmu, tauhid, feqah dan tasauf, kerana tanpa ilmu sukar untuk menentukan al-waridat itu hak atau batil.Seorang yang tidak mahu mengerjakan sembahyang, tidak mahu menceburkan diri dalam masyarakat atau sebagainya, pada hal gurunya tidak ada mengajarkan demikian adalah berpunca dari kesilapannya sendiri iaitu terlalu berpegang terhadap al-waridat, walaupun ia jahil mengenai Al-Quran, Sunnah Nabi dan pandangan para ulama yang sebenarnya.

8. DIAM, NEGATIF TIDAK POSITIF TERHADAP JANJI-JANJI BAIK ALLAH

Allah menyuruh hamba-hambaNya untuk berbuat baik, malahan Allah menyuruh supaya para hambaNya itu berlumba-lumba untuk berbuat berbagai kebaikan. Allah berfirman, maksudnya: “Hendaklah kamu berlumba-lumba untuk membuat berbagai kebaikan”. (Surah Al-Anbia: Ayat 90)

Kebaikan yang Allah perintahkan untuk dilakukan selain daripada perkara-perkara yang difardhukan adalah terlalu banyak. Oleh itu seseorang itu, setelah menunaikan yang difardhukan, maka hendaklah ia aktif, cergas dan bersegera berbuat kebaikan itu.

Ingatlah bahawa orang yang berhenti (waqif) itu adalah orang yang masih mula berjalan, seorang salik pula adalah berjalan terus (sair) sedang seorang yang telah sampai kepada hakikat (wasil) pula adalah sentiasa terbang, bukan hanya ruhaniyahnya tetapi juga aspek zahirnya.

Contoh kita ialah Nabi Muhammad S.A.W. Tidakkah Baginda itu sentiasa aktif, cergas dalam hidupnya untuk berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya. Sebab itulah Allah menyatakan bahawa hamba – hamba Allah yang sebenarnya itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu melakukan yang terbaik sekali.

Maksudnya:
“Hamba-hamba Allah yang sebenar itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu diikuti (dibuat) yang lebih dalam lagi dalam perkara- perkara yang membantu menyempurnakan amalan salik”.

9. BERPADA DENGAN BERPEGANG KEPADA SANGKAAN-SANGKAAN SAHAJA

Perjalanan ruhaniyah adalah amat sulit dan banyak liku-likunya yang mudah menyesatkan, lebih sulit dan lebih bahaya lagi jika dibandingkan dengan perjalanan di dalam hutan dara yang terlalu tebal. Oleh itu ia perlukan ilmu yang tepat dan benar sebagaimana yang ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi serta yang terdapat di dalam kitab-kitab yang mu’tabar.

Jika seseorang hanya berpandu kepada sangkaan-sangkaannya sahaja, sudah tentulah ia akan sesat. Dari sudut yang lain pula dapat kita gambarkan bahawa jalan keruhanian itu seperti sebuah cermin yang bersih, tetapi ada garis pembahagi sebelah kiri dan kanan; sebelah kiri adalah iblis dan kesesatan sedang sebelah kanan adalah yang hak atau yang benar yang dikehendaki oleh Allah.

Tetapi garis pembahagi di cermin yang memisahkan kiri dan kanan itu tidak Nampak dan terlalu sukar untuk dilihat sehingga orang yang berjalan di atasnya telah jauh terseleweng ke kiri, tetapi ia masih yakin berada di sebelah kanan (Ia telah sesat, tetapi ia merasakan masih berada di dalam kebenaran).

Hanya bila kita berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama yang arif billah sahajalah yang dapat menyedarkan diri samada kita telah sesat atau berada di dalam kebenaran Allah.Kebanyakan kesesatan dan tindakan serta tingkah laku pengamal-pengamal ilmu tasauf yang menyalahi syariat Islam adalah berpunca
dari sangkaan-sangkaan mereka sendiri seperti yang disebutkan itu.

10. MENIPU ALLAH

Perbuatan menipu Allah ini banyak berlaku di kalangan orang-orang yang jahil, terutamanya seseorang yang jahil murakkab iaitu ia jahil dan tidak mahu belajar serta tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepadanya, malahan ia bersikap bodoh sombong dengan sifat kejahilan dirinya itu.

Contoh – contoh perbuatan menipu Allah itu ialah seperti tidak mahu sembahyang kononnya ia telah melakukan sembahyang daim (hatinya terus sembahyang tanpa putus) , berjudi itu rezeki yang Allah beri juga seperti sumber-sumber rezeki lainnya, kerana hakikat rezeki itu datangnya dari Allah belaka; berdoa itu syirik kerana bila berdoa bererti menuduh Allah tidak tahu untuk mengurus diri para makhluknya, sembahyang itu syirik kerana ada niat sengaja aku sembahayang, tidak sembahyang dosa besar, dosa besar diampunkan, tetapi syirik tidak diampunkan.

Oleh itu tidak buat sembahyang adalah lebih baik daripada melakukannya. Kata-kata si jahil seperti itu adalah merupakan kata-kata loyar buruk semata-mata. Mereka akan dimasukkan ke neraka oleh Allah dengan cara yang amat menyakitkan hatinya.

Tegasnya Allah akan berloyar buruk terhadap mereka. Misalnya, orang itu akan dimasukkan di dalam satu bekas dan bekas itu dimasukkan ke neraka; bila mereka bertanya mengapa mereka dimasukkan ke neraka, maka Allah menjawab bahawa Allah tidak membakar mereka tetapi hanya mahu membakar bekas itu sahaja! Wallahu a’lam

Posted: 9 November, 2012 in KERTAS KERJA ILMIAH, TAREKAT@TASAWUF.
Tags: Angan-Angan, Menipu, Pengamal, Penyakit, Senang Hati, Seronok, Tarekat, Wali, Wirid, Zikir
10 PENYAKIT PENGAMAL TAREKAT
oleh: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek

No comments:

Post a Comment