بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين
Wahai anakku yang tercinta dan kekasih yang mulia, semoga Allah Taala memanjangkan umurmu dalam berbuat taat kepadaNya dan semoga Allah Taala memudahkan bagimu untuk mengikuti jalan para kekasihNya.
Ketahuilah olehmu bahawasanya apa jua cabang nasihat itu adalah berasal daripada sumber kenabian (maksudnya hadis Rasulullah s.a.w.). Oleh kerana itu, apabila telah sampai kepadamu suatu nasihat yang berpunca daripada sumber ini maka apa perlunya lagi engkau kepada nasihat saya. Dan apabila masih belum sampai kepadamu suatu nasihat daripada sumber ini maka sebenarnya ilmu apa yang telah engkau pelajari selama ini?
Bagaimana Sepatutnya Kita Menerima Nasihat
Wahai anakku yang tercinta;
Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang yang seperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiaannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran falsafah¹. Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini. Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu, nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat daripada orang yang tidak mengetahui apa-apa. Seperti apa yang telah disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.:
"اَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، عَالِمٌ لاَ يَنْفَعُهُ اللهُ بِعِلْمِهِ"
Ertinya: Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alimyang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.
Dan diriwayatkan daripada Imam Al-Junaib Al-Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa beliau ada seorang yang telah bermimpi dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al-Junaib Al-Baghdadi dengan katanya: Apa khabar kamu wahai Abu Al-Qasim (Al-Junaidi Al-Baghdadi). Lalu Imam Al-Junaib Al-Baghdadi menjawab: Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin. Dan tidak ada lagi yang bermanfaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.
No comments:
Post a Comment