Pages

Friday, 5 August 2016

TIADA YANG KEBETULAN

Assalamualaikum warahmatullah...

Tazkirah ilmu oleh ust Iqbal Zain...

Pernahkah saat kamu duduk santai dan menikmati harimu, tiba-tiba terfikirkan olehmu ingin berbuat sesuatu kebaikan untuk seseorang?

Itu adalah اللّه yang sedang berbicara denganmu dan mengetuk pintu hatimu
(Quran Surah[QS] 4:114, 2:195, 28:77)

Pernahkah saat kamu sedang bersedih, kecewa tetapi tidak ada orang di sekitarmu yang dapat kau jadikan tempat luahan hati?

Itulah adalah اللّه yang sedang rindu padamu dan ingin agar kau berbicara pada-NYA
(QS 12:86)

Pernahkah tanpa sengaja kamu memikirkan seseorang yang sudah lama tidak bertemu, tiba-tiba orang tersebut muncul, atau bertemu dengannya, atau kamu menerima telefon darinya?

Itu adalah Kuasa اللّه yang sedang menghiburmu
Tidak ada yang namanya kebetulan
_(QS 3:190-191).

Pernahkah kamu mendapatkan sesuatu yang tidak terduga, yang selama ini kau inginkan tapi rasanya sulit untuk diperolehi?

Itu adalah اللّه yang mengetahui dan mendengar suara batinmu serta hasil dari benih kebaikan yang kamu taburkan sebelumnya
_(QS 65:2-3).

Pernahkah kamu berada dalam situasi yang buntu, semua terasa begitu sulit, begitu tidak menyenangkan, hambar, kosong bahkan menakutkan?

Itu adalah saat اللّه mengizinkan kau untuk diuji, Dan اللّه ingin mendengar rintihan serta do'amu agar kau menyedari akan keberadaan-NYA....

Kerana Dia tahu kamu sudah mulai melupakan-NYA dalam kesenangan
(QS 47:31, 32:21).

Jika kamu peka, akan sering kamu sedari bahwa KASIH dan KUASA اللّه selalu ada di saat manusia merasa dirinya tak mampu.

Apakah kamu fikir tulisan ini hanya sekadar gurauan tanpa tujuan yang terkirim padamu?

Tidak!
Sekali lagi, TIDAK ADA YANG KEBETULAN...

Cuba rasakan kehadiran-NYA..., dengarkan suara-NYA yang berkata:

"Jangan khuatir, AKU di sini bersamamu"
_(QS 2:214, 2:186)

Saturday, 25 June 2016

Perang Badar al Kubra siri akhir.

Seramai lebih kurang 70 orang tentera musyrikin telah berjaya dibunuh dan di antara mereka ialah : 'Utbah dan Syaibah, keduanya adalah anak-anak Rabi'ah, al- Walid bin 'Utbah. Mereka dibunuh ketika pertempuran satu lawan satu. Kemudian antaranya lagi ialah, Abu Bahturi bin Hisyam dan al-Jarrah iaitu bapa kepada Abu 'Ubaidah. Beliau dibunuh oleh anaknya sendiri iaitu Abu 'Ubaidah.

Selepas ia cuba mengelakkan diri daripada ayahnya, tetapi oleh kerana ayahnya berdegil akhirnya Abu 'Ubaidah terpaksa juga membunuh ayahnya sendiri.

Umayyah bin Khalaf dan juga anaknya 'Ali juga telah dibunuh oleh Bilal bin Rabah dan 'Ammar bin Yasir. Dendam mereka pada Umayyah bin Khalaf disebabkan penyiksaan yang teruk yang telah dilakukannya terhadap mereka berdua ketika di Mekah. Kemudian Hanzhalah bin Abu Sufian dan Abu Jahal bin Hisyam. Ditentang hebat oleh dua remaja Ansar kerana mereka mendengar bahawa Abu Jahal amat menyakiti Rasulullah SAW. Dan kematiannya disegerakan oleh Abdullah bin Mas'ud.

Naufal bin Khuwailid juga dibunuh oleh Ali bin Abi Talib. Turut terbunuh ialah 'Ubaidah dan al- 'As, bapa kepada Abu Uhaihah Sa'id bin al-'As bin Umayyah, dan ramai lagi.

Bilangan orang-orang musyrikin yang berjaya ditawan juga bilangannya 70 orang. Dan antara tawanan yang dibunuh ketika dalam perjalanan pulang ialah 'Uqbah bin Abu Mu'aith dan al-Nadr bin al-Harith. Ketika di Mekah mereka berdua adalah di kalangan mereka yang melakukan penghinaan yang dasyat terhadap Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW mengarahkan agar mereka yang terbunuh diletakkan di dalam telaga Badar, dimana tempat itu telah ditunjukkan oleh Baginda SAW sebelum berlakunya peperangan lagi. Apabila 'Utbah iaitu bapa kepada Abu Huzzaifah (Abu Huzzaifah adalah antara sahabat yang awal memeluk islam ) di campakkan kedalam telaga, maka muka Abu Huzzaifah berubah. Rasulullah SAW memahami perkara tersebut lalu bertanya : " kemungkinan terdapat sesuatu di dalam fikiran kamu mengenai ayahmu ?"
Beliau menjawab : " Tidak, demi Allah! Tetapi apa yang berlaku ialah aku mengetahui bapaku mempunyai pandangan yang bernas, lemah lembut dan berkelebihan. Sebelum ini aku mengharapkan Allah memberikan hidayat-Nya kepadanya, dan apabila aku melihat dia mati dalam keadaan sekarang, maka aku merasa sedih."
Maka Rasulullah SAW mendoakan kebaikan untuknya ( Abu Huzzaifah ).

Manakala para syuhada seramai 14 orang dan mereka adalah :

1. Haritha bin Suraqa al-Khazraji r.a
2. Dhush-shimaalayn ibn ‘Abdi ‘Amr al-Muhajiri r.a
3. Rafi’ bin al-Mu’alla al-Khazraji r.a
4. Sa’d bin Khaythama al-Awsi r.a
5. Safwan bin Wahb al-Muhajiri r.a
6. Aaqil bin al-Bukayr al-Muhajiri r.a
7. Ubayda bin al-Harith al-Muhajiri r.a
8. Umayr bin al-Humam al-Khazraji r.a
9. Umayr bin Abi Waqqas al-Muhajiri r.a
10.Auf bin al-Harith al-Khazraji r.a
11.Mubashshir bin ‘Abdi’l Mundhir al-Awsi r.a
12.Mu’awwidh bin al-Harith al-Khazraji r.a
13.Mahja’ bin Salih al-Muhajiri r.a
14.Yazid bin al-Harith bin Fus.hum al-Khazraji r.a

Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan supaya bersiap sedia untuk pulang. Baginda SAW menunggang tunggangannya dan berhenti di pinggir telaga yang dicampakkan mayat-mayat musyrikin ke dalamnya lalu menyeru nama-nama mereka dan bapa-bapa mereka : " Wahai sifulan bin sifulan, wahai sifilan bin sifulan, apakah kamu tidak merasa gembira sekiranya kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya? Sesungguhnya kami telah mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kami sebagai suatu kebenaran. Apakah kamu mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kamu sebagai suatu kebenaran?."
Umar berkata : " Wahai Rasulullah! Apakah kamu bercakap dengan jasad yang tidak mempunyai roh?"
Baginda SAW menjawab : " Demi tuhan yang Muhammad berada didalam genggaman-Nya ! Kamu semua bukanlah orang yang paling kuat pendengarannya daripada mereka terhadap apa yang aku ucapkan. ( maksudnya mereka mendengar apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW ).

Kemudian Rasulullah SAW menghantar beberapa orang muslimin untuk menyampaikan berita gembira ke Madinah. Baginda SAW menghantar Abdullah bin Rawahah kepada penduduk al 'Aaliyah iaitu mereka yang mendiami kawasan tanah tinggi Madinah, manakala Zaid bin Harithah kepada penduduk al-Saafilah iaitu mereka yang mendiami kawasan tanah rendah Madinah.

Dalam waktu yang sama juga, Ruqqayyah binti Rasulullah SAW isteri kepada 'Uthman bin Affan telah meninggal dunia dan selamat dikebumikan apabila penyampaian berita gembira sampai kepada penduduk Madinah.

Ketika Rasulullah SAW dan tentera-tentera Muslimin hampir sampai ke Kota Madinah, mereka telah disambut oleh anak-anak gadis yang masih kecil sambil memukul kompang sambir bersyair :
   " Bulan purnama telah menyinari kami
Dari celah-celah bukit Thaniyyah al Wada'
     Kewajipan kami ialah bersyukur
Disebabkan seruannya kepada Allah
     Wahai orang yang diutuskan kepada kami
Kamu datang dengan membawa perkara yang ditaati."

Tamat.

Perang Badar al-Kubra siri VII.

- Turunnya Tentera Dalam Kalangan Malaikat.

Dalam riwayat daripada Muhammad Ibnu Ishaq bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Abu Bakar : " Wahai Abu Bakar ! Bergembiralah, pertolongan Allah telah datang kepadamu. Itulah Malaikat Jibril a.s yang memegang tali kekang dan menunggang kudanya di atas hamburan debu."

Firman Allah SWT :
" Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedangkan kamu berkeadaan lemah ( kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang ). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu bersyukur ( akan kemenangan itu). ( Ingatlah wahai Muhammad ) Ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman ( untuk menguatkan semangat mereka) : " Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera daripada malaikat yang diturunkan?" Bahkan ( mencukupi dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka ( musuh) serta merta datang menyerang kamu, pasti Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda pada masing-masing. Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan untuk memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan ( ingatlah bahawa ) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya daripada Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. ( Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan daripada orang-orang kafir atau menghina mereka ( dengan kekalahan ) supaya mereka kembali dengan hampa dan kecewa."
     ~ Surah al-Imran : 123 - 127.

Ibnu Ishaq berkata : " Abdullah ibnu Abu Bakar berkata kepadaku daripada seorang Bani Sa'idah daripada Abu Usaid Malik Ibnu Rabi'ah yang turut serta dalam peperangan Badar. Setelah matanya buta, beliau berkata : " Jika hari ini aku berada di Badar dan aku masih dapat melihat, pasti aku akan menunjukkan kepada kamu semua tempat keluarnya para malaikat. Aku tidak ragu-ragu dan mereka-reka cerita ini."
Kemudian beliau menyambung lagi : " beberapa ulama berkata kepadaku bahawa Sayidina Ali Ibnu Abu Thalib berkata : " Serban ialah mahkota orang-orang Arab. Dalam perang Badar, ciri-ciri para malaikat ialah serban putih yang mereka turunkan sampai ke punggung mereka kecuali Malaikat Jibril a.s. Dia mengenakan serban berwarna kuning."

Abu Daud al-Mazini berkata : " Aku mengejar seorang daripada kaum Musyrikin untuk memukulnya. Tiba-tiba kepalanya terjatuh sebelum pedangku sempat memenggalnya. Lalu aku mengetahui bahawa dia telah dibunuh oleh orang lain."

Seorang daripada kaum Ansar datang membawa seorang tawanan iaitu Abbas Ibnu Abdul Muthalib. Lalu Abbas berkata : " Demi Allah! Yang menawanku bukanlah orang ini. Yang menawanku adalah orang yang tidak menggunakan pelindung diri dan paling tampan wajahnya, berkenderaan kuda hitam putih. Aku tidak melihatnya ditengah-tengah kaum."
Orang Ansar itu berkata : " Aku yang menawannya wahai Rasulullah."
Baginda SAW menjawab : " Diamlah kamu! Allah SWT telah membantumu dengan malaikat yang mulia."

- Iblis Melarikan diri dari medan pertempuran.

Telah disebut bahawa iblis datang dalam keadaan menyerupai Suraqah Ibnu Malik Ibnu Ju'syam al-Mudliji. Dan dari saat itu, dia sentiasa bersama merela. Tetapi apabila iblis melihat tentera malaikat bersama dengan tentera muslimin, iblis terus melarikan diri. Lantas al Harith Ibnu Hisyam berjaya menghalangi Suraqah kerana dia menyangka bahawa iblis itu ialah Suraqah. Namun Iblis berjaya menolak dadanya dan berjaya menjatuhkannya dan kemudian terus melarikan diri.

Lalu kaum Musyrikin berkata kepadanya : " Ke manakah engkau mahu pergi wahai Suraqah? Bukankah engkau mengatakan bahawa engkau akan melindungi kami dan tidak meninggalkan kami?"
Iblis menjawab : " Sesungguhnya aku melihat apa-apa yang tidak kalian lihat. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat keras seksaan-Nya."
Kemudian dia melarikan diri dan mencampakkan dirinya ke dalam laut.

Tanda-tanda kegagalan semakin jelas pada barisan kaum musyrikin. Mereka mulai gugur seorang demi seorang. Peperangan hampir berakhir hingga kaum musyrikin terdesak untuk melarikan diri. Ketika Abu Jahal melihat ada tanda-tanda kekalahan di barisan kaum musyrikin, dia berusaha kuat untuk memberi semangat kepada tenteranya. Dengan kesombongannya dia berkata : " Larilah Suraqah ( iblis ) jangan sampai kalian kalah kerana dia berada di atas perjanjian dengan Muhammad. Utbah, Syaibah dan al-Walid telah dibunuh, tetapi jangan sampai kalian takut kerana mereka tergesa-gesa. Demi Latta dan Uzza!! Kita tidak akan pulang sebelum menundukkan mereka di bukit ini. Balaslah serangan mereka!!."

Tetapi hakikat kesombongan itu segera lebur di hadapannya. Tidak lama kemudian barisan kaum Musyrikin berpecah belah akibat serangan keras dari kaum muslimin. Walaupun di sekeliling Abu Jahal masih ada saki baki tenteranya yang melindunginya dengan pedang dan tombak mereka, namun serangan kaum Muslimin telah dapat mematahkan dan memusnahkan perlindungan dan pertahanan tersebut. Ketika itu Abu Jahal berada di atas kudanya dan kematiannya sedang menanti melalui tamgan dua orang kanak-kanak kecil daripada kaum Ansar.

- Tewasnya Abu Jahal.

Abdur Rahman Ibnu Auf berkata : " Dalam perang badar, aku turut serta dalam barisan kaum Muslimin. Setiap kali aku melihat ke kanan dan ke kiri, aku sentiasa melihat dua orang kanak-kanak kecil sehingga aku tidak yakin bahawa mereka itu berada di sisiku. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata secara diam-diam kepadaku, " wahai pakcik, tunjukkanlah Abu Jahal kepadaku."
Aku bertanya kepadanya : " Apakah yang ingin engkau lakukan terhadapnya?"
Dia menjawab : " Aku mendengar bahawa dia mencaci Rasulullah SAW. Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila aku melihatnya, aku akan membunuhnya atau aku mati dibunuh olehnya."
Lantas aku berasa kagum terhadapnya. Malah kanak-kanak yang lain pun mengatakan demikian kepadaku. Kemudian aku pun melihat Abu Jahal sedang berkeliaran di tengah-tengah orang ramai. Kemudian aku berkata kepada mereka : " Tidakkah kalian melihat apa-apa? Itulah orang yang kalian tanyakan kepadaku."
Dalam masa itu juga, mereka menyerang Abu Jahal dan memukulnya dengan pedang hingga Abu Jahal tewas.

Setelah itu, mereka pergi berjumpa Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW pun bertanya : " Siapakah di antara kalian yang membunuh Abu Jahal?."
Lantas mereka berkata : " Aku yang telah membunuhnya."
Akhirnya Rasulullah SAW memberikan harta yang ada di tubuh Abu Jahal kepada Muaz Ibnu Amru Ibnu al- Jamuh dan Muawwaz Ibnu Afra'. Ibnu Ishaq berkata : " bahawa Muaz Ibnu Amru Ibnu al-Jamuh berkata : " Aku mendengar Abu Jahal dilindungi dengan pedang pedang dan tombak tombak kaum musyrikin, lalu mereka mengatakan : " Abul Hakam ( Abu Jahal ) tidak boleh disentuh ileh sesiapa pun."
Ketika aku mendengarnya,  hal itu kujadikan urusanku. Aku pun bertekad untuk melakukannya. Ketika keadaan mengizinkan, aku pun menyerangnya dan aku menetak kakinya dengan pedangku sehingga putus.

Kemudian, bahuku pula ditetak oleh anaknya Ikramah sehingga tanganku terputus dan masih bergantungan pada kulit bahuku. Namun peperangan membuatkan aku tidak peduli akan hal itu. Seluruh hariku, kugunakan untuk bertempur dan tanganku yang terputus, kugantungkan pada belakang punggungku. Ketika aku berasa terganggu dengannya, aku letakkan kakiku di atasnya dan aku aku pusingkan dadaku sehingga ia terputus. Setelah itu, Muawwaz Ibnu Afra' menuju kepada Abu Jahal yang sedang menahan dirinya untuk berjalan. Lantas aku memukul Abu Jahal sehingga dia tidak bergerak lagi.  Kemudian aku meninggalkannya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Selepas itu Muawwaz terus bertempur sehingga gugur syahid.

Setelah perang berakhir, Rasulullah SAW berkata : " Siapa yang melihat apa-apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal?"
Kemudian Abu Jahal ditemui oleh Ibnu Mas'ud. Ibnu Mas'ud meletakkan kakinya di atas leher Abu Jahal dan menarik janggutnya untuk memenggal kepalanya dan berkata : " Wahai musuh Allah!, adakah kamu berasa di laknat oleh Allah."
Abu Jahal berkata :" Dengan apa Dia mahu melaknat aku? Apakah laknat orang yang dibunuh oleh kaum kerabatnya sendiri? Untuk siapakah kemenangan hari ini?
Ibnu Mas'ud menjawab : " Untuk Allah dan Rasul-Nya."
Di jawab oleh Abu Jahal yang ketika itu kepalanya dipijak oleh Ibnu Mas'ud : " Dengan susah payah, kedudukanmu telah naik wahai pengembala kambing!."

Setelah dialog di antara keduanya selesai, lalu Ibnu Mas'ud memenggal kepala Abu Jahal untuk dibawa kepada Rasulullah SAW. Lalu dia berkata : " Wahai Rasulullah! Inilah kepala musuh Allah, Abu Jahal."
Baginda SAW pun berkata : " Tidak ada Tuhan melainkan Allah" sebanyak tiga kali. Baginda SAW berkata lagi : "  Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah yang menepati janji-Nya, menolong hamba-Nya dan menghancurkan musuh-musuh-Nya dengan sendiri-Nya. Berangkatlah , tunjuklah ia kepadaku."
Kami pun berangkat pulang, Akhirnya kami membawa kepala Abu Jahal untuk ditunjukkan kepada Rasulullah SAW. Lantas Baginda SAW berkata : " Inilah Firaun bagi umat ini."

Bersambung.......

Perang Badar al-Kubra siri VI

Nabi SAW memberikan arahan terakhir kepada pasukan Muslimin untuk melakukan serangan balas. Baginda SAW membangkitkan semangat perang dengan sabdanya : " Bangkitlah untuk masuk syurga yang luasnya seluas langit dan bumi."

Maka para pemuda kaum Muslimin yang tidak takut akan mati, saling berlumba untuk mengejar syahid dan mengecap kebahagiaan yang hakiki. Ketika itu Umair ibnu al-Hamman menyahut, " sungguh indah! Sungguh indah! ."
Kemudian Rasulullah SAW bertanya : " Apakah yang mendorongmu berkata demikian ?"
Umair menjawab : " Wahai Rasulullah! Demi Allah!, aku mengatakan demikian kerana aku ingin menjadi penghuninya."
Lalu Baginda SAW berkata : " kamu akan termasuk dalam kalangan orang yang akan menghuninya."

Kemudian Umair mengeluarkan bekalan kurma dari dalam sakunya. Setelah makan beberapa biji kurma, dia pun berkata : " Kalaulah aku hidup sampai menghabiskan semua kurma ini, ia adalah terlalu lama." Lantas dia membuang semua sisa kurmanya dan maju menyerang musuh sehingga ia gugur syahid.

Demikian pula Rasulullah SAW apabila ditanyai Auf Ibnu al-Harith : " Wahai Rasulullah ! Apakah yang membuatkan Allah berbahagia terhadap hamba-hamba-Nya."
Baginda SAW menjawab : " Dia terjun di tengah-tengah musuh dalam keadaan terbuka dan mencabut baju besi yang ada pada dirinya."
Kemudian Auf Ibnu al-Harith pun melemparkan baju besinya lalu mengambil pedangnya dan memerangi musuh sehingga beliau gugur syahid.

Apabila pasukan Muslimin menerima perintah untuk menyerang, maka saat itu jugalah semangat mereka sentiasa berkobar-kobar. Mereka melakukan serangan hebat terhadap tentera musyrikin. Mereka berjaya membelah barisan dan memenggal leher musuh mereka. Semangat mereka semakin memuncak apabila melihat Rasulullah SAW bangkit mengenakan pakaian besi lalu berkata dengan lantang : " Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan berundur!!."
Kaum muslimin pun berperang dengan bermati-matian. Malah mereka turut dibantu oleh tentera yang terdiri dari kalangan para Malaikat...

Bersambung ..... Para Malaikat Turut Serta Dalam Perang Badar , Iblis melarikan diri dlm pertempuran dan pemenggalan kepala Abu Jahal.

Perang Badar al Kubra siri V.

Selepas tamat perlawanan satu lawan satu, maka Rasulullah SAW melakukan pemeriksaan saf dengan membawa ranting pokok di tangannya. Baginda SAW melalui tempat Sawad bin 'Aziyyah iaitu sekutu bani Najjar. Ketika ini beliau terkeluar daripada saf lalu Rasulullah SAW mencucuk perutnya dengan ranting yang dibawa sambil berkata : " Luruskan saf wahai Sawad."
Lalu Sawad berkata : " Kamu telah menyakiti aku wahai Rasulullah. Sedangkan kamu diutuskan membawa kebenaran dan keadilan. Oleh itu berilah aku peluang untuk membalas apa yang telah kamu lakukan."
Maka Rasulullah SAW menampakkan perutnya lalu berkata : " Balaslah wahai Sawad ."
Maka Sawad memeluk perut Rasulullah SAW dan menciumnya.
Lalu Rasulullah SAW bertanya : " Apa yang menyebabkan kamu berbuat demikian Sawad?"
Sawad menjawab : " Wahai Rasulullah, sebagaimana yang kamu lihat , musuh sudah berada di hadapan, aku mahu supaya kulitku menyentuh kulitmu di waktu terakhir aku bersamamu."
Lalu Rasulullah saw mendoakan kebaikan untuknya.

Kemudian Rasulullah SAW menyampaikan pesanan kepada tentera muslimin dengan mengatakan : " Janganlah serang sehingga aku perintahkan supaya serangan dilakukan. Sekiranya musuh mengepung kamu, maka hujanilah mereka dengan anak panah. Jangan kamu menghunuskan pedang sehinggalah mereka berada di jarak yang dekat dengan kamu."
Kemudian Baginda SAW memberikan semangat supaya tetapkan pendirian dan bersabar. Selepas itu Baginda SAW pulang ke khemahnya sambil diiringi oleh Abu Bakar, dan pengawalnya Sa'd bin Mu'az berdiri di pintu khemah dengan pedang yang terhunus.

Diantara doa Rasulullah SAW ketika itu ialah : " Ya Allah! Aku benar-benar mengharapkan janji-Mu. Ya Allah! Sekiranya Kamu mahu, Kamu tidak akan di sembah."
Lalu Abu Bakar berkata :" Cukuplah! Sesungguhnya Allah akan menunaikan janji-Nya kepadamu."
Rasulullah SAW keluar dari khemahnya lalu berkata : " Mereka akan dikalahkan dan akan mengundur ke belakang."
Kemudian Rasulullah SAW menyambung lagi kata untuk menaikkan semangat tenteranya : " Demi jiwa Muhammad didalam genggaman-Nya! Pada hari ini setiap orang yang berperang, lalu dia dibunuh dalam keadaan bersabar, mengharapkan keredhaan Allah dan menghadapi musuh tanpa melarikan diri, maka semuanya akan dimasukkan syurga oleh Allah. Sesiapa yang membunuh musuh, maka barang al Salb menjadi miliknya."
Ketika itu juga 'Umar bin al Hamam berkata dalam keadaan di tangannya terdapat beberapa biji kurma yang sedang dimakannya : " Wah! Kalau begitu tidak ada perkara yang menghalangku daripada memasuki syurga melainkan mereka membunuhku."
Kemudian beliau mencampakkan buah kurma yang masih ditangannya, mengambil pedangnya dan berperang sehinggalah terbunuh. ( beliau adalah orang yang pertama terbunuh di dalam peperangan badar ).

Dan peperangan bermula dengan sengit. Allah membantu muslimin dengan menghantar tenteranya ( malaikat ) sebagai berita gembira dan penenang hati mereka. Peperangan berterusan sehinggalah tentera musyrikin kalah dan melarikan diri.

Bersambung ........

Perang Badar al Kubra siri IV

Baginda SAW meneruskan kemaraan sehingga sampai ke kawasan yang paling hampir dengan kawasan perkhemahan musuh. Kemudian mengarahkan semua sumber air lain yang berada di belakang mereka ditimbus supaya musyrikin tidak boleh mendapatkan bekalan air yang berada di belakang kawasan perkhemahan tentera muslimin. Baginda SAW juga mengarahkan supaya dibina kolam di kawasan air tempat mereka berkhemah.

Kemudian Sa'ad bin Mu'az, ketua orang-orang Aus berkata : " Wahai Nabi Allah!, adakah kamu bersetuju sekiranya kami binakan sebuah khemah khusus untukmu dan kami mempersiap-sediakan tunggangan kamu di situ, selepas itu kami akan menghadapi musuh? Sekiranya Allah menjadikan kita mulia dan memberikan kemenangan, maka itulah yang kami sukai. Sekiranya apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka kamu boleh bergabung dengan kaum kami yang tidak menyertai peperangan ini. Wahai Nabi Allah, sesungguhnya mereka yang tidak menyertai peperangan ini kecintaan mereka kepadamu tidak kurang daripada kecintaan kami kepadamu. Begitu juga dalam ketaatan kepadamu dalam melaksanakan jihad dan keikhlasan. Sekiranya mereka menyangka kamu akan melancarkan peperangan, mereka tidak akan mengundurkan diri. Apa yang mereka sangka ialah kamu akan menghalang rombongan dagang. Semoga Allah menjadikan mereka pertahanan kamu, memberikan pandangan-pandangan kepadamu dan bersedia untuk berjihad bersama-sama kamu."
Kemudian Rasulullah SAW bersabda : " Semoga Allah menentukan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu nyatakan."

Kemudian khemah khusus dibina untuk Rasulullah SAW di atas kawasan tanah tinggi untuk memudahkan Baginda SAW mengikuti perkembangan yang berlaku di medan peperangan.

Apabila tentera muslimin berkumpul, Baginda SAW memperbetulkan saf-saf mereka dan bahu-bahu mereka bersentuhan. Dengan itu mereka seolah-olah satu bangunan yang utuh. Kemudian Baginda SAW melihat orang-orang Quraisy lalu berkata : " Ya Allah! Sesungguhnya orang-orang Quraisy ini telah datang dengan penuh kesombongan dan kebanggaan. Mereka datang untuk mencabar Kamu dan mengatakan Rasul-Mu berbohong. Ya Allah! Pertolongan yang Kamu janjikan untukku menjadi harapan."

Dalam waktu yang sama berlaku perselisihan di kalangan ketua-ketua tentera musyrikin. Ini kerana 'Utbah bin Rabi'ah bercadang untuk menghalang daripada tercetusnya peperangan dan bersetuju untuk membayar diat 'Amru bin al Hudrami yang merupakan sekutunya yang dibunuh oleh sariyyah Abdullah bin Jahs dan juga bersetuju untuk menanggung kerugian yang dialami oleh rombongan dagangnya. Dia mengajak orang ramai untuk mengambil tindakan yang sama. Dan berita tersebut sampai ke pengetahuan Abu Jahl dan dia mengecapnya sebagai pengecut sambil berkata : " Kita tidak akan pulang kecuali selepas Allah menentukan hukum-Nya dalam pertikaian antara kita dengan Muhammad."

Sebelum berlaku peperangan, al Aswad bin Abu al Aswad al Makhzumi keluar daripada saf tentera musyrikin sambil berkata : " Aku berjanji kepada Allah untuk meminum air daripada kolam yang mereka bina, atau aku memusnahkannya, ataupun aku mati kerana melaksanakan cita-citaku itu."

Hamzah keluar untuk menghadapi al- Aswad. Beliau memukul al Aswad menggunakan senjata dan berjaya memotong betisnya. Al Aswad jatuh, tetapi tetap merangkak menuju ke kolam untuk melaksanakan sumpahnya. Hamzah mengikutnya lalu membunuhnya. Kemudian Rasulullah SAW bangun memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya tetapkan pendirian dan bersabar. Diantara yang disebut ialah : " Sesungguhnya bersabar ketika menghadapi kesusahan adalah di antara penyebab Allah melepaskan seseorang daripada kesusahan dan menyelamatkannya daripada kesedihan.

Selepas itu peperangan dimulai dengan pertempuran satu lawan satu. Pihak musyrikin diwakili oleh tiga orang iaitu 'Utbah bin Rabi'ah dan saudaranya Syaibah serta anaknya al- Walid. Mereka meminta untuk menghadapi orang yang setanding dengan mereka. Dengan itu tiga orang Ansar keluar untuk menghadapi mereka, tetapi mereka menolak dengan berkata : " Kami tidak memerlukan kamu. Kami perlukan orang yang setanding dengan kami dari bangsa kami."

Maka Rasulullah SAW mengarahkan ' Ubaidah bin al Harith bin al-Mutallib untuk menghadapi 'Utbah, Hamzah menghadapi Syaibah, dan Ali bin Abu Talib menghadapi al Walid.

Perlawanan antara 'Ubaidah dan 'Utbah saling tetak menetak dan masing masing berjaya mencederakan lawannya. Lalu Ali dan Hamzah membantu ' Ubaidah dan berjaya membunuh ' Utbah. Mereka membawa 'Ubaidah kepada tentera muslimin dalam keadaan luka sehingga sumsum tulang betisnya meleleh keluar. Muslimin membaringkannya di sebelah Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW melunjurkan kakinya dan meletakkan pipi 'Ubaidah di atasnya. Baginda SAW memberitakan berita gembira sebagai seorang syahid kepadanya lalu berkata : " Demi Allah! Aku suka sekiranya Abu Talib masih hidup untuk dia mengetahui bahawa kita lebih layak untuk mengungkapkan apa yang pernah diungkapkannya dahulu : " Kami akan mempertahankannya ( Muhammad) sehingga kami mati di sekelilingnya. Untuk itu kami akan melupakan anak-anak dan para isteri kami. "

Bersambung...............

Perang Badar al Kubra siri III

Dengan itu wajah Rasulullah SAW kelihatan berseri-seri. Baginda SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari ;  " Bergembiralah, Demi Allah! Aku seolah-olah melihat tempat pembunuhan kaum". Melalui kenyataan tersebut, tentera Islam mengetahui bahawa peperangan sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Abu Sufian mengetahui bahawa tentera muslimin keluar untuk menahan rombongan dagangnya, dan ia telah melalui jalan lain iaitu melalui jalan pantai. Tindakkan tersebut telah berjaya menyelamatkan rombongan dagangnya. Dia telah menghantar utusan untuk memberitahu Quraisy bahawa mereka selamat dan mencadangkan supaya Quraisy pulang ke Mekah.

Apabila Abu Jahl mendapat berita tersebut lalu beliau berkata : " Kita tidak akan pulang sehinggalah kita sampai di Badar dan kita tinggal di sana selama tiga hari. Ketika itu kita akan menyembelih binatang, memberi makan, minum arak dan orang-orang Arab akan mendengar berita mengenai kita. Dengan itu mereka selama-lamanya gerun terhadap kita". Al Akhnas bin Syariq a Thaqafi berkata kepada bani Zuhrah : " Pulanglah wahai kaum. Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan harta benda kamu". Dengan itu mereka pun pulang. Tidak ada seorang pun dikalangan bani Zuhrah dan bani 'Adawi yang menyertai peperangan Badar. Kemudian tentera Quraisy meneruskan kemaraan mereka sehingga sampai di lembah Badar. Mereka berkhemah di kawasan yang mengadap ke Madinah iaitu di kawasan bertanah lembik.

Tentera muslimin pula, mereka menghampiri kawasan Badar, Rasulullah SAW menghantar Ali bin Abu Talib dan al Zubair bin al Awwam untuk mencari maklumat. Mereka telah bertembung dengan para pemberi minum orang-orang Quraisy. Di kalangan mereka terdapat hamba kepunyaan bani al Hajjaj dan hamba kepunyaan bani al 'As. Dan kedua duanya dibawa kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Baginda SAW sedang solat. Ali dan al Zubair bertanya kepada mereka berdua untuk mengetahui siapakah mereka sebenarnya. Mereka menjawab : " Kami adalah pemberi minum kepada orang- orang Quraisy. Mereka telah mengarahkan kepada kami supaya mencari air untuk diminum.". Kemudian Ali dan Zubair memukul mereka berdua kerana mereka adalah hamba kepada Abu Sufian. Setelah selesai solat, Rasulullah SAW berkata : " Apakah apabila mereka berkata benar, kamu memukulnya dan apabila mereka berbohong, kamu tidak mengapa-apakannya?. Keduanya telah berkata benar. Demi Allah! Keduanya adalah milik Quraisy.

Baginda SAW berkata : " Beritahu aku mengenai Quraisy" .
Mereka menjawab : " Mereka ada di belakang bukit ini ."
Baginda SAW bertanya : " Berapa ramai bilangan mereka ?."
Mereka menjawab : " kami tidak mengetahuinya ."
Baginda SAW bertanya lagi : " Berapa ekor sembelihan yang mereka lakukan setiap hari ?."
Mereka menjawab :" Kadang-kadang sembilan dan kadang-kadang sepuluh."
Baginda SAW berkata : " Bilangan mereka ialah sembilan ratus dan seribu ."
Kemudian Baginda SAW bertanyakan kepada mereka lagi : " Siapakah pembesar-pembesar Quraisy yang ikut serta."
Dan mereka berdua menyebut bilangan yang ramai. Radulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya : " Mekah telah mempersembahkan para pembesarnya kepada kamu ."

Kemudian tentera muslimin meneruskan kemaraannya sehingga mereka berkhemah di kawasan lembah yang dekat dengan Madinah. Kawasan tersebut jauh daripada air dan tanahnya pula kering dan keras. Dengan itu tentera muslimin merasa dahaga. Ketika itu syaitan membisikkan hasutannya kepada mereka bahawa tentera musyrikin akan melambat-lambatkan waktu pertempuran supaya tentera muslimin ditimpa dajaga dan kekuatan mereka menjadi lemah, dan ketika itu mereka akan lakukan apa sahaja yang disukai terhadap mereka. Kerana rahmat dan kemurahan Allah SWT semangat mereka tetap kental dan tidak menurun. Dan selepas itu Allah menurunkan hujan sehingga lembah kawasan mereka perkhemahan mereka mempunyai air. Dan mereka minum serta membuat kolam untuk menyimpan air di kawasan berhampiran. Mereka mandi dan wudhu dan memenuhkan bekas air yang di bawa. Tanah menjadi padat sehinggakan pijakkan kaki menjadi mantap. Pada waktu yang sama pula, hujan yang turun menjadi masalah besar kepada tentera musyrikin. Tanah tempat mereka berpijak menjadi berlumpur sehinggakan menyukarkan pergerakkan mereka.

"...... Dan Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian ( kamu di medan pertempuran)."
                                               -  Al - Anfal : 11

Ketika Rasulullah SAW tidur, Allah telah memperlihatkan sedikitnya bilangan tentera musuh kepada Rasul-Nya, dan juga Allah memperlihatkan bilangan tentera Rasulullah SAW yang sedikit kepada musuh. Ini kerana supaya tentera muslimin tidak patah semangat dan supaya Allah melaksanakan apa yang telah ditetapkan.

"  ( Ingatlah wahai Muhammad ) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya dan kalaulah Dia perlihatkan mereka kepadamu ramai ( bilangannya ), tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan ( perang ) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui akan segala ( isi hati ) yang ada di dalam dada. Dan (ingatlah) ketika Dia memperlihatkan mereka kepada kamu sekalian semasa kamu bertemu dengan mereka, sedikit bilangan pada penglihatan mata kamu dan kamu pula diperlihatkan-Nya, sedikit bilangannya pada pandangan mereka, kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara ( kemenangan Islam ) yang telah ditetapkan berlaku. Dan (ingatlah) kepada Allah jua dikembalikan segala urusan ."        ~ al Anfal : 43 - 44.

Kemudian tentera muslimin meneruskan kemaraan sehingga mereka berkhemah di kawasan mata air Badar yang pertama. Lalu al Hubab bin al Munzir al Ansari berkata : " Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini hasil dari wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu yang kita tidak mempunyai pilihan lain, ataupun ia merupakan pendapat, strategi peperangan dan helah?."
Lalu Rasulullah SAW menjawab : " Ia merupakan pendapat, strategi peperangan dan helah."
Al Hubab berkata : " Wahai Rasulullah! Ini bukanlah tempat yang sesuai untuk kamu berkhemah. Maralah bersama tentera sehingga kamu sampai ke kawasan mata air yang paling hampir dengan musuh. Aku mengetahui kawasab yang mempunyai mata air yang mempunyai mata air yang mengeluarkan air yang banyak. Kita akan berkhemah di situ dan kita timbus punca air selainnya. Kemudian kita bina kolam dan kita penuhkannya dengan air. Dengan itu kita dapat minum dan musuh tidak mendapatnya. "
Rasulullah SAW menjawab : " kamu telah mengemukakan pendapat yang bernas."

# Al- Hubab bin al Munzir seorang yang berpandangan yang bernas. Beliau dikenali dengan Abu 'Amru. Menyertai perang Badar dan pendapat beliau telah disetujui juga oleh malaikat Jibril ketika di perang Badar. Meninggal dunia di zaman Khalifah Umar. #

Bersambung..............