Dikisahkan ketika Luqman Al-Hakim bekerja mengambil upah sebagai pengembala kambing. Suatu hari tuannya memerintahkan beliau mengatakan "Wahai Luqman. Engkau sembelih seekor kambing dan bawakan kepada aku bahagian yang terbaik."
Maka Luqman Al-Hakim pun menyembelih seekor kambing dan membawa lidah dan hati diberikan kepada tuannya "Ini bahagian yang paling baik wahai tuan." Jadi tuannya berkata lagi "Wahai Luqman. Engkau sembelih seekor lagi kambing dan engkau bawa bahagian yang paling buruk sekali."
Maka Luqman Al-Hakim pun sembelih seekor lagi kambing. Lalu dia bawa lidah dan hati juga. Tuan dia pun berkata "Wahai Luqman. Tadi bahagian baik pun lidah dan hati. Dan bahagian yang buruk pun lidah dan hati. Kenapa? Jadi yang mana satu in?"
Maka Luqman Al-Hakim pun mengatakan "Wahai Tuan. Kalau lidah dan hatinya baik maka baiklah keseluruhannya. Manakala, kalau kedua ini tak baik maka tak baiklah seluruhnya."
Oleh kerana itu, pentingnya kita ini dituntut untuk sentiasa menjaga lidah kita ini daripada berkata-kata sesuatu yang tidak baik, tidak memberikan manfaat kepada diri kita dan juga orang lain. Berkata-katalah apabila dirasakan perlu supaya kita ini tidak tersalah cakap.
Begitu juga dengan hati ini, kita perlulah sentiasa membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tidak baik. Selalulah kita membersihkan, mensucikan hati ini dengan kita selalu menghadiri majlis ilmu, duduk-duduk bersama dengan orang-orang yang hidup hatinya seperti Para Auliya, Para Ulama dan orang-orang soleh.
Mendengar akan nasihat-nasihat mereka dan kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi itu untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.
[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]
No comments:
Post a Comment