Pages

Wednesday, 6 September 2017

SYUKUR DAN SABAR SIFAT ORANG MUKMIN

Bagaimana kita nak mengajar diri kita untuk redha dalam menghadapi, menerima segala bala, musibah yang ditimpakan ke atas kita?

Terlebih dahulu kita mestilah tahu bahawasanya tidaklah Allah سبحانه  وتعالى menurunkan sesuatu musibah, bala, ujian ke atas hamba-Nya melainkan itu adalah salah satu daripada tanda kasih sayangnya Allah  سبحانه  وتعالى kepada hamba-Nya. Dan juga sebagai tanda peringatan kepada diri kita yang sering leka dan lalai dalam mengingati Allah سبحانه  وتعالى supaya kita ini kembali kepada-Nya.

Kekadang kita melihat sesuatu musibah, bala yang ditimpakan ke atas kita itu secara zahirnya mungkin nampak tidak baik bagi kita tetapi sebenarnya ianya adalah baik di sisi Allah  سبحانه  وتعالى.

Setiap orang mukmin pasti akan diberikan ujian oleh Allah سبحانه  وتعالى . Tidaklah dinamakan seseorang itu beriman melainkan pasti dia akan diuji oleh Allah.

Dikisahkan mengenai seorang Wali Allah di bumi Syam yang bernama Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullahu' Taala. Yang mana beliau ini merupakan seorang yang lumpuh satu badannya, tak boleh bergerak melainkan hanya kepalanya sahaja boleh bergerak.

Pernah suatu hari beliau didatangi, diziarahi oleh Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullahu' Taala. Kata Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullah "Aku niat pergi ziarah ini sebab nak menggembirakan hatinya sebab dia menghadapi lumpuh satu badan maka pasti dia ini dalam keadaan sedih.

Akan tetapi, sebaliknya yang berlaku. Demi Allah. Aku ziarah dia dan tidak aku balik melainkan yang rasa seronok yang rasa gembira adalah aku. Sepatutnya aku ziarah dia untuk menggembirakan dia tapi terbalik pula yang terjadi. Aku yang rasa seronok dan gembira."

Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullah bertanya kepada Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullah "Apa khabar kamu wahai Abu Ahmad? Ada apa-apa yang kamu nak aku tolong?"

Jawab Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullah "Alhamdullilah. Tidak ada apa-apa yang mengurangkan aku kecuali redha." Jadi Syeikh yang lumpah ini. Beliau melihat segala bala, ujian yang menimpa kepada dirinya itu merupakan suatu kenikmatan sebab dia memahami sabdaan Nabi ﷺ.

Di dalam sebuah hadis sohih Nabi ﷺ mengatakan "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal Ini tidaklah terjadi kecuali hanya kepada diri seorang mukmin.

Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur kepada Allah سبحانه  وتعالى maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya, apabila ditimpakan kesusahan, dia pun bersabar kepada Allah  سبحانه  وتعالى maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya."

Syukur dan sabar ini adalah perbuatan yang baik dan ini adalah cara kita di mana memuji Allah  سبحانه وتعالى dalam apa jua keadaan yang menimpa diri kita. Jadi kita kena lihat segala pemberian Allah ataupun segala halangan, musibah yang diberikan oleh Allah adalah kebaikan.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment