Pages

Thursday, 7 September 2017

BERUNTUNGNYA ORANG YANG SELALU MEMPERBANYAKAN ZIKIRNYA, MENGINGATI ALLAH TA'ALA

Disebutkan zikir ini merupakan amalan yang mengungguli kepada semua amalan. Bahkan orang yang beramal dengan amalan yang mulia pun diungguli dengan zikirnya. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Sa'ad Bin Abi Waqqas Radhiyallahu'Anhu.

Ketikamana ditanya kepada Baginda Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Manakah jihad yang afdal? Orang yang berjihad yang manakah yang afdal?" Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Jihad yang paling banyak zikirnya." Ditanya lagi kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Sedekah yang manakah yang lebih afdal yang lebih baik?"

Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Yang paling banyak zikirnya." Ditanya lagi "Ya Rasulullah. Bagaimana dengan solatnya?" "Yang paling banyak zikirnya" Kata Nabi ﷺ. " Bagaimana dengan puasanya?" Dijawab oleh Nabi ﷺ "Yang paling banyak zikirnya."

Semuanya daripada amal kebaikan yang membezakan kedudukan orang yang melaksanakan itu adalah yang mengiringi kepada segala kehidupannya, masanya, amalannya dengan zikirullah.

Oleh kerana itu, Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu ketika mendengar akan apa yang disebutkan oleh Nabi ﷺ. Beliau mengatakan kepada Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu "Wahai Umar. Bermakna orang yang berzikir kepada Allah ini telah membolot semua kebaikan itu."

Maka Nabi ﷺ ketika mendengar akan apa yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu. Baginda Rasulullah ﷺ mengatakan "Benar wahai Abu Bakar." Oleh kerana itu, sangat-sangat kita ini perlu mengambil peluang di dalam sesuatu amalan yang sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana pun iaitu berzikir kepada Allah.

Bahkan disebutkan oleh Tsabit Al-Bunani Rahimahullah. Beliau mengatakan "Sesungguhnya aku tahu bila Allah ingat kepada aku." Maka orang yang mendengar berasa pelik dan hairan bagaimana Tsabit Al-Bunani Rahimahullah ini boleh mengatakan bahawa dia tahu bila Allah ingat kepada dirinya.

Lalu mereka mengatakan "Wahai Tsabit. Macam mana kamu boleh tahu pula Allah itu ingat kepada kamu?" Maka dia mengatakan "Aku tahu ketika Allah ingat kepada aku adalah apabila aku ingat kepada Allah dikeranakan Allah telah berfirman di dalam Al-Quran maksudnya "Maka ingatilah Aku (dengan berzikir kepadaKu) nescaya Aku pun akan mengingati kamu." [Al-Baqarah : 152]

Maka aku tahu bilakah Allah ingat kepada aku." Subhanallah!! Bila? Ketika dia ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Jadi orang-orang yang selalu berzikir ini hatinya itu pastinya akan sentiasa tenang, hatinya hidup, hatinya pasti bercahaya dan akan diberikan kebaikan di dunia dan akhirat oleh Allah سبحانه  وتعالى.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

No comments:

Post a Comment