“Sungguh terdapat pada peribadi Rasulullah ﷺ teladan yang baik. Kita kalau menggantikan teladan yang sudah diisytiharkan oleh Allah سبحانه وتعالى bahawa beliau adalah teladan terbaik, dan menggantikan dengan selain beliau. Makanya, tiada yang lebih baik daripada baginda rasul."
"Kata baginda Rasulullah ﷺ; “Saya, kalau nak makan, saya makan cara hamba sahaya, dan saya kalau nak duduk, duduk cara hamba sahaya.” Demikian, cara Rasulullah ﷺ menampakkan
tawadhuknya dalam cara makan."
"Daripada cara duduk apatah lagi dalam berinteraksi dengan kaum muslimin. Bahkan dalam berdakwah pun, baginda Rasulullah ﷺ tidak pernah menisbahkan kepada dirinya akan kejayaan dakwah beliau walaupun baginda adalah paling berjaya dalam dakwahnya ke jalan Allah سبحانه وتعال."
"Baginda tidak pernah menzahirkan dirinya untuk menjadikan dirinya ‘glamour’. Baginda Rasulullah ﷺ dididik Allah سبحانه وتعالى untuk tawadhuk walaupun namanya sudah termasyur sebelum diciptakan Allah سبحانه وتعالى."
"Bukankah beliau sendiri yang mengungkapkan tanpa menunjukkan kesombongan pada dirinya; “Saya penghulu kepada semua anak Adam tapi saya tidak sombong.” “Saya sudah menjadi Nabi sementara Adam masih antara tanah dan air.” Demikian, Rasulullah ﷺ itu namanya sudah masyhur."
"Dan namanya menjadi amanah kepada setiap Nabi yang diutus Allah سبحانه وتعالى akan tetapi beliau mengatakan; “Saya ini hamba sahaya.” Dengan ‘hamba sahaya’ itu diangkat darjat seseorang oleh Allah سبحانه وتعالى. Pembesar-pembesar Quraisy datang dan menawarkan baginda dengan pelbagai tawaran untuk berhenti berdakwah."
"Semua tawaran daripada harta, takhta dan wanita ditolak oleh Nabi ﷺ dengan bersabda; “Demi Allah wahai pakcik, kalau mereka mampu meletak matahari di tangan kananku "yang mereka takkan mampu pun", bulan di tangan kiriku "yang mereka pun tak pernah sampai pun" untuk aku berhenti daripada berdakwah, aku akan terus berdakwah sehingga Allah سبحانه وتعالى tunjukkan atau isytiharkan hasil dakwah aku atau aku mati di dalam berdakwah.”
"Baginda tidak mengatakan; “Sehingga aku berjaya berdakwah…” atau “sehingga aku banyak pengikut…” atau “sehingga aku disanjung oleh orang ramai.” Beliau tawadhuk walaupun baginda adalah mulia dan dipuji."
"Rasulullah ﷺ dalam sifat tawadhuknya, tak pernah baginda merendahkan sifat orang lain, beliau menjaga perasaan hati orang yang dipandang hina oleh orang lain yakni golongan hamba sahaya. ‘Adi bin Ibnu Hathim memeluk kepada Islam kerana melihat tawadhuknya Nabi Muhammad ﷺ."
"Bilamana seseorang mempunyai sifat tawadhuk seperti Rasulullah ﷺ, berapa ramai orang yang akan mendapatkan hidayah, petunjuk daripada Allah سبحانه وتعالى. Akan tetapi, nilai-nilai murni Rasulullah ﷺ ghaib daripada kaum muslimin."
"Akhlak mulia yang dibawa beliau hanyalah cerita yang didengar kaum muslimin. Akan tetapi, ajaran yang dibawa beliau tidak ada praktikalnya kepada ramai kaum muslimin. Kita berdoa dalam majlis ini semoga kita termasuk orang-orang yang dibanggakan beliau dengan menghiasi jatidiri kita penuh dengan akhlak dan sifat murni Nabi Muhammad ﷺ."
"Adi bin Ibnu Hathim ketika datang kepada Rasulullah ﷺ berkata; “Saya akan lihat kepada orang ini adakah dia mengingini kepada kuasa, ataupun takhta atau harta ataupun ada maksud-maksud lain daripada ajaran yang dibawa olehnya?”
"Baginda Nabi ﷺ berada di masjid ketika itu, lalu baginda Rasulullah ﷺ melihat Hadi dan bertanya; “‘Adi bin Ibnu Hathim?” ‘Adi bin Ibnu Hathim menjawab; “Ya.” Lalu, Rasulullah ﷺ pun menyambutnya walaupun dia belum memeluk Islam."
"Rasulullah ﷺ mendatanginya dan memegang tangannya untuk dibawa ke rumah Rasulullah ﷺ. ‘Adi pun terperanjat dengan sikap dan layanan Rasulullah ﷺ, walaupun kepada orang bukan Islam."
"Dalam perjalanannya, Rasulullah ﷺ didatangi seorang perempuan tua meminta kepada Rasulullah ﷺ supaya membantu menyelesaikan urusannya. Baginda tidak pernah menghampakan sesiapa, tiada orang yang datang ke rumahnya melainkan akan mendapatkan bahagian daripada Nabi Muhammad ﷺ."
"Tiada orang yang susah kecuali dihiburkan baginda, tiada orang bermasalah kecuali akan diselesaikan masalahnya oleh Rasulullah ﷺ. Sesungguhnya orang yang menyampaikan hajat orang lain, AAllah سبحانه وتعالى akan menyampaikan hajatnya nanti di akhirat.”
“Siapa yang mengangkat kesusahan yang ada pada orang lain di dunia, Allah akan mengangkat kesusahannya di akhirat. Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang susah di dunia, maka akan dimudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”
“Orang yang memenuhi hajat saudaranya, Allah سبحانه وتعالى memenuhi hajatnya. Barangsiapa yang memuliakan orang lain, akan mendapat balasan yang sama juga. Inilah ajaran Rasulullah ﷺ yang mengikat antara orang-orang beriman untuk memerhatikan antara satu dengan yang lainnya."
"Manakala yang susah diangkat kesusahannya, yang mendapi masalah akan dibantu menyelesaikan masalahnya, yang ada hajat ditunaikan hajatnya. Inilah ajaran yang dibawa Rasulullah walaupun realitinya hari ini ramai orang lebih suka bikin susah kepada orang lain sedangkan kita disuruh mengangkat kesusahan orang lain."
"Kita mempersulitkan orang lain sementara kita disuruh untuk memudahkan kepada orang lain. Kita disuruh mencari orang yang ada hajat supaya ditunaikan hajatnya, tapi kita lari daripada hajat orang lain. Kita lari daripada ajaran yang dibawakan Rasulullah ﷺ."
"Kita tidak berpegang kepada ajaran yang dibawa Rasulullah ﷺ.
Semoga ajarannya menjadi sebab untuk kita kembali kepada garis yang sudah ditetapkan Nabi Muhammad ﷺ. Demikian sifat beliau yang sentiasa membantu kepada orang lain."
"Perempuan tua yang berhajat kepada Rasulullah ﷺ; "Baginda melepaskan tangan ‘Adi dan pergi kepada perempuan tua itu. Baginda berdiri lama untuk mendengarkan apa hajat wanita tua untuk dipenuhi. Bahkan, sekiranya ada orang yang memerlukan bantuan Rasulullah ﷺ tetapi tidak dapat dibantu secara langsung, baginda akan mencari orang lain untuk membantunya."
"Baginda akan menjadi as’syafiq, atau orang tengah untuk membantu atau sekurang-kurangnya membuka mulut untuk membantu. Dalam masalah orang yang berhutang, Nabi ﷺ meminta pemiutang untuk meringankan beban orang yang berhutang. Kata pemiutang itu; “Ya Rasulullah ﷺ, adakah kamu memerintahkan saya untuk melupuskan atau memaafkan hutang orang itu?”
"Jawab baginda, “Saya ini as-syafiq, dan saya menasihatkan kamu agar mengurangkan hutang, atau memanjangkan tempoh bayaran balik atau memaafkan hutangnya.”, yakni orang yang membantu meringankan kesusahan orang lain."
"Baginda Rasulullah ﷺ ialah pemberi syafaat di dunia dan di akhirat. Inilah yang dijanjikan Allah untuk memberikan maqam syafaah kepada Rasulullah ﷺ dan sesiapa yang dikehendaki oleh baginda Rasulullah ﷺ.
"Dan diantara mereka yang akan mendapat syafaat di akhirat ialah mereka yang ketika di dunia suka menjadi syafaat pertolongan kepada orang yang susah dan juga orang yang kerap membaca doa selepas azan. Kata Rasulullah ﷺ; “Barangsiapa yang membaca doa itu, wajib mendapat syafaat aku nanti di akhirat."
"Baginda sentiasa berusaha membantu orang-orang yang susah, dan hendaklah kita mengambil sebahagian daripada sifat itu untuk meringankan beban orang lain."
"Jika kita tak mampu meringankan beban orang lain, jangan menjadi sebab kesusahan untuk orang lain. Kurang-kurang demikian agar kita tak menjadi musibah atau menyakiti kepada orang lain, kerana bukan itu yang diajar Nabi Muhammad ﷺ."
Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.