Pages

Thursday, 7 September 2017

JANGAN KAMU TINGGALKAN ZIKIR & DOA SETELAH SOLAT

Al-Imam Habib Abdullah Bin Alwi Al-Haddad Rahimahullah mengatakan "Wahai saudaraku!! Hendaklah anda memelihara zikir-zikir itu dan khususnya doa-doa yang warid pada waktu setelah habis solat."

Apakah yang dimaksudkan dengan warid? Iaitu yang warid yang dimaksudkan itu adalah yang adanya sumber baik itu daripada Al-Quran, baik itu daripada Hadis Nabi ﷺ bahkan termasuk juga daripada doanya Para Ulama dan Solihin sebab Para Ulama itu merupakan Pewaris Para Nabi.

Tidaklah mereka menerima wahyu akan tetapi mereka mendapat ilham. Dan mereka juga mempunyai nilai di sisi Allah سبحانه  وتعالى dikeranakan itu Nabi ﷺ mengatakan "Para Ulama itu adalah Pewaris Para Nabi."

Maka apabila mereka menyusun kepada doa. Bermakna mereka juga berdoa, memohon kepada Allah dan doa mereka juga luar biasa.

Maka jagalah doa-doa yang warid ini untuk kita amalkan sebagai suatu peringatan juga bahawa doa yang tidak akan ditolak oleh Allah adalah doa setelah solat.

Buktinya banyak di dalam hadis termasuk di dalam hadis yang disebutkan daripada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu yang dihadiahkan oleh Nabi ﷺ doa khusus tanda cinta Nabi ﷺ kepada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu.

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

"Ya Allah. Tolonglah aku agar selalu berzikir, mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaguskan ibadah kepada-Mu."

Kenapa Nabi ﷺ pilih untuk Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu baca setelah solat? Boleh sahaja dia baca sebelum tidur. Bacalah kamu ketika bangun diwaktu pagi. Tak!!! Akan tetapi Nabi ﷺ kata "Bacalah kamu pada setiap selesai daripada solat."

Ini menunjukkan bahawa berdoa sesudah solat itu adalah qobul. Itulah maksudnya. Kalau ada orang yang mempertikaikan. Banyaknya dalil yang menyebutkan akan keutamaan berdoa setelah solat.

Maka Nabi ﷺ mengajarkan kepada kita zikir-zikir dan doa-doa yang menjaga kita. Yang melindungi akan ummat. Ketika nak tidur maka adanya amalan, doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ.

Ketika bangun tidur, ketika berpakaian, ketika masuk tandas, keluar tandas, ketika nak keluar rumah. Semuanya adanya doa-doa yang telah pun diajarkan oleh Nabi ﷺ kepada kita.

Subhanallah!! Detailnya yang diajarkan oleh Nabi ﷺ. Kenapa? Sebab kata Nabi ﷺ "Tiada satu apa pun kebaikan pun yang aku tahu kecuali aku akan ajarkan dan tiada satu keburukan pun yang aku tahu kecuali aku akan cegah dan aku akan larang."

Itulah tanda kasih sayang Nabi kita Muhammadt kita kipada kita. Selama 63 tahun kehidupan Nabi ﷺ. Diangkat menjadi Rasulnya 40 tahun. Setelah itu berdakwah dan mengajak 23 tahun daripada umur Nabi ﷺ.

Bayangkan semua perkara telah pun diajarkan oleh Nabi ﷺ. Baik daripada sebesar-besar perkara dari segi sudut kepimpinan, politiknya, pentadbiran, ekonomi hatta perubatan diajar oleh Nabi ﷺ. Amalan-amalan kehidupan makan, minumnya.

Begitu juga sampai kepada sekecil-kecil perkara masuk tandas, keluar tandas, tidur, bangun sebagainya. Semuanya telah pun diajarkan oleh Nabi kita Muhammad ﷺ selama 23 tahun. Bermakna bilakah masanya Nabi kita rehat?

Kita yang umur sekarang ini berapa banyak sangat yang kita ajar kepada orang? Tak sempat!!! Kita nak ajar diri kita pun tak sempat tapi 23 tahun Nabi ﷺ habiskan umurnya untuk ummat.

Itulah tanda kasih sayang Nabi kita Muhammad ﷺ kepada kita. Tinggal lagi sayang tak kita satu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Yang kedua adalah sayang tak kita kepada diri kita sendiri.

Sebab yang nak dilindungi itu adalah diri kita. Yang kita nak dilindungi itu adalah keluarga kita, rumahtangga kita, masyarakat kita dengan doa yang kita baca itu. Jadi jangan dakwa "Saya sayang diri saya, saya sayang masyarakat, saya sayang jiran tapi amalannya tidak dibuat."

Bukan sayang itu bukan hanya dengan kamu berhias, mencantikkan fizikal. Tidak!!! Sayang itu adalah dengan kamu melaksanakan apa yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ sebagai sifat kamu menyayangi kepada roh dan juga jasadmu. Yang dengannya kamu akan amalkan dan dilindungi oleh Allah سبحانه  وتعالى.

Imam Al-Haddad Rahimahullah mengingatkan kepada kita supaya menjaga wirid-wirid dan doa-doa selepas setiap kali solat. Yang memang doa-doa itu banyak tetapi diringkaskan untuk kita menjaganya. Di antara yang sangat dituntut tentang wirid selepas setiap solat dan yang terutamanya adalah kita mengucapkan doa ini:

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

"Ya Allah. Tolonglah aku agar selalu berzikir, mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaguskan ibadah kepada-Mu."

Doa ini adalah hadiah yang dihadiahkan oleh Nabi ﷺ kepada Saidina Mu'adz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu. Yang mana Nabi ﷺ mengatakan "Wahai Mu'adz. Aku cinta kepada kamu maka jangan kamu lupa untuk membaca setiap selepas solat

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

"Ya Allah. Tolonglah aku agar selalu berzikir, mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaguskan ibadah kepada-Mu."

Doa ini dijadikan satu hadis musalsal bil mahabbah dipanggil iaitu hadis yang juga Saidina Mua'dz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu bila jumpa dengan Para Sahabat yang lain ataupun Para Tabi'in. Saidina Mua'dz Bin Jabal Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Ya Fulan. Aku cinta kepada kamu maka jangan kamu lupa untuk membaca setiap selepas solat

"Allahumma a'innii ala dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik."

Sehingga ianya disambung dan disambung dan kita hari ini juga pernah dapat mungkin daripada kalangan Para Ulama yang datang kepada kita yang mana mereka ini Para Ulama Besar-Besar cuma kita sahaja yang nampak kecil.

Kadang-kadang mereka bagi ijazah kepada kita, bagi musalsal kepada kita. Kita ambil remeh-temeh sahaja. Kadang-kadang kita ambil tapi kita tak amalkan. Jadi sama juga tidak memberikan manfaat kepada diri kita.
Diijazahkan untuk diamalkan. Kalau diamalkan ada kesinambungan, cinta sampai kepada Nabi ﷺ.

Kemudian, jangan kita lupa untuk bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali dan untuk menutup zikir ini menjadi 100 ucapkanlah zikir ini:

"Laa ilaaha illallaahu wahdahuu laa syariikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyii wa yumiitu wahuwa 'alaa kulli syai'in qadiir."

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

BERUNTUNGNYA ORANG YANG SIBUK BERZIKIR KERANA PARA MALAIKAT BERSAMANYA DAN MENDOAKANNYA

Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat darjat mereka yakni orang-orang yang berzikir kepada Allah سبحانه  وتعالى dalam keadaan penuh asyik dan kecintaan kepada-Nya.

Rasulullah ﷺ mengatakan "Sekiranya kamu sentiasa sibuk berzikir nescaya Para Malaikat akan berjabat tangan dengan kamu ketika kamu berjalan dan ketika kamu tidur."

Dalam hadis yang lain Rasulullah ﷺ menyebutkan "Perumpamaan antara orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir itu umpama orang yang hidup dengan orang yang mati."

Orang yang sentiasa membasahkan lidahnya, memanfaatkan waktunya untuk mengingati Allah dengan zikrullah maka sudah pasti hatinya akan hidup, memperolehi ketenangan, kenikmatan dari Allah سبحانه وتعالى.

Manakala orang-orang yang lalai tidak membasahkan nikmat kurniaan lidahnya itu untuk berzikir, mengingati Allah maka hatinya akan menjadi mati, keras sepertimana orang yang tidak mempunyai nyawa.

Saidina Salman Al-Farisi Radhiyallahu'Anhu mengatakan "Apabila seseorang hamba mengingati Allah سبحانه وتعالى dalam keadaan senang, kelapangan, kemewahan. Kemudian apabila dia mengalami penderitaan dan kesusahan.

Maka Para Malaikat akan berkata kepada Allah سبحانه  وتعالى bahawasanya "Suara hamba-Mu yang doif dalam kesusahan itu biasa didengar. Lalu mereka memohon bantuan daripada Allah  سبحانه وتعالى untuknya."

Akan tetapi, sekiranya seseorang itu lalai dan tidak mengingati Allah maka Para Malaikat akan berkata kepada Allah  سبحانه وتعالى bahawa "Kami tidak biasa mendengar suara itu."

Dan ingatlah syurga itu mempunyai 8 pintu. Salah satu daripada pintu syurga itu adalah khas bagi orang-orang berzikir kepada Allah  سبحانه وتعالى.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

BERUNTUNGNYA ORANG YANG SELALU MEMPERBANYAKAN ZIKIRNYA, MENGINGATI ALLAH TA'ALA

Disebutkan zikir ini merupakan amalan yang mengungguli kepada semua amalan. Bahkan orang yang beramal dengan amalan yang mulia pun diungguli dengan zikirnya. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Sa'ad Bin Abi Waqqas Radhiyallahu'Anhu.

Ketikamana ditanya kepada Baginda Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Manakah jihad yang afdal? Orang yang berjihad yang manakah yang afdal?" Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Jihad yang paling banyak zikirnya." Ditanya lagi kepada Rasulullah ﷺ "Ya Rasulullah. Sedekah yang manakah yang lebih afdal yang lebih baik?"

Maka Rasulullah ﷺ mengatakan "Yang paling banyak zikirnya." Ditanya lagi "Ya Rasulullah. Bagaimana dengan solatnya?" "Yang paling banyak zikirnya" Kata Nabi ﷺ. " Bagaimana dengan puasanya?" Dijawab oleh Nabi ﷺ "Yang paling banyak zikirnya."

Semuanya daripada amal kebaikan yang membezakan kedudukan orang yang melaksanakan itu adalah yang mengiringi kepada segala kehidupannya, masanya, amalannya dengan zikirullah.

Oleh kerana itu, Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu ketika mendengar akan apa yang disebutkan oleh Nabi ﷺ. Beliau mengatakan kepada Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu "Wahai Umar. Bermakna orang yang berzikir kepada Allah ini telah membolot semua kebaikan itu."

Maka Nabi ﷺ ketika mendengar akan apa yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu. Baginda Rasulullah ﷺ mengatakan "Benar wahai Abu Bakar." Oleh kerana itu, sangat-sangat kita ini perlu mengambil peluang di dalam sesuatu amalan yang sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana pun iaitu berzikir kepada Allah.

Bahkan disebutkan oleh Tsabit Al-Bunani Rahimahullah. Beliau mengatakan "Sesungguhnya aku tahu bila Allah ingat kepada aku." Maka orang yang mendengar berasa pelik dan hairan bagaimana Tsabit Al-Bunani Rahimahullah ini boleh mengatakan bahawa dia tahu bila Allah ingat kepada dirinya.

Lalu mereka mengatakan "Wahai Tsabit. Macam mana kamu boleh tahu pula Allah itu ingat kepada kamu?" Maka dia mengatakan "Aku tahu ketika Allah ingat kepada aku adalah apabila aku ingat kepada Allah dikeranakan Allah telah berfirman di dalam Al-Quran maksudnya "Maka ingatilah Aku (dengan berzikir kepadaKu) nescaya Aku pun akan mengingati kamu." [Al-Baqarah : 152]

Maka aku tahu bilakah Allah ingat kepada aku." Subhanallah!! Bila? Ketika dia ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى. Jadi orang-orang yang selalu berzikir ini hatinya itu pastinya akan sentiasa tenang, hatinya hidup, hatinya pasti bercahaya dan akan diberikan kebaikan di dunia dan akhirat oleh Allah سبحانه  وتعالى.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

KORBANKAN MASAMU UNTUK BERZIKIR KEPADA ALLAH

Al-Allamah Syeikh Abdul Hadi Al-Kharsa Hafidzohullah menyebut ketika beliau mensyarahkan kitab Ummu Barahin:

Berkata Imam Baijuri Rahimahullah dalam kitab Syarah As-Sanusiyyah:

"Kalimah لا اله الا الله sewajarnya diucapkan oleh orang awam  dalam sehari adalah sebanyak 300 kali, manakala bagi guru-guru dan penuntut ilmu sehari sebanyak 12 000 kali. "

Ini semua agar kalimah ini menjadi darah daging untuk meraih kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.

[AL-ALLAMAH SYEIKH ABDUL HADI AL-KHARSA HAFIDZOHULLAH]

Marilah kita sama-sama berusaha, bermujahadah mengorbankan sedikit waktu kita pada setiap hari untuk kita berzikir kepada Allah  سبحانه  وتعالى tidak kira dalam keadaan kita sedang duduk, berdiri ataupun baring. Bersendirian ataupun dalam perkumpulan maka ajarkan diri kita untuk sentiasa ingat kepada Allah. Basahkan lidah kita dengan zikirullah.

Jangan lupa amalkan setiap hari untuk beristighfar sekurang-kurangnya 100 kali, membaca sayyidul istighfar 3 kali pagi dan 3 kali petang ataupun sebelum tidur, berselawat sebanyak 300 kali, mengucapkan kalimah toyyibah sebanyak 300 kali dan andaikata diberikan kekuatan, kelapangan cuba amalkan zikir harian Imam Al-Ghazali Rahimahullah. Tak dapat buat 1 000 kali maka kita cuba buat sebanyak 100 kali dulu.

Semoga Allah سبحانه  وتعالى memberikan kepada kita semua kekuatan untuk kita sentiasa ingat kepada-Nya, dapat berzikir dengan sebanyak-banyaknya pada setiap hari.

Wednesday, 6 September 2017

SYUKUR DAN SABAR SIFAT ORANG MUKMIN

Bagaimana kita nak mengajar diri kita untuk redha dalam menghadapi, menerima segala bala, musibah yang ditimpakan ke atas kita?

Terlebih dahulu kita mestilah tahu bahawasanya tidaklah Allah سبحانه  وتعالى menurunkan sesuatu musibah, bala, ujian ke atas hamba-Nya melainkan itu adalah salah satu daripada tanda kasih sayangnya Allah  سبحانه  وتعالى kepada hamba-Nya. Dan juga sebagai tanda peringatan kepada diri kita yang sering leka dan lalai dalam mengingati Allah سبحانه  وتعالى supaya kita ini kembali kepada-Nya.

Kekadang kita melihat sesuatu musibah, bala yang ditimpakan ke atas kita itu secara zahirnya mungkin nampak tidak baik bagi kita tetapi sebenarnya ianya adalah baik di sisi Allah  سبحانه  وتعالى.

Setiap orang mukmin pasti akan diberikan ujian oleh Allah سبحانه  وتعالى . Tidaklah dinamakan seseorang itu beriman melainkan pasti dia akan diuji oleh Allah.

Dikisahkan mengenai seorang Wali Allah di bumi Syam yang bernama Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullahu' Taala. Yang mana beliau ini merupakan seorang yang lumpuh satu badannya, tak boleh bergerak melainkan hanya kepalanya sahaja boleh bergerak.

Pernah suatu hari beliau didatangi, diziarahi oleh Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullahu' Taala. Kata Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullah "Aku niat pergi ziarah ini sebab nak menggembirakan hatinya sebab dia menghadapi lumpuh satu badan maka pasti dia ini dalam keadaan sedih.

Akan tetapi, sebaliknya yang berlaku. Demi Allah. Aku ziarah dia dan tidak aku balik melainkan yang rasa seronok yang rasa gembira adalah aku. Sepatutnya aku ziarah dia untuk menggembirakan dia tapi terbalik pula yang terjadi. Aku yang rasa seronok dan gembira."

Syeikh Dr. Said Ramadhan Al-Bouti Rahimahullah bertanya kepada Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullah "Apa khabar kamu wahai Abu Ahmad? Ada apa-apa yang kamu nak aku tolong?"

Jawab Syeikh Mahmoud Affandi Rahimahullah "Alhamdullilah. Tidak ada apa-apa yang mengurangkan aku kecuali redha." Jadi Syeikh yang lumpah ini. Beliau melihat segala bala, ujian yang menimpa kepada dirinya itu merupakan suatu kenikmatan sebab dia memahami sabdaan Nabi ﷺ.

Di dalam sebuah hadis sohih Nabi ﷺ mengatakan "Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal Ini tidaklah terjadi kecuali hanya kepada diri seorang mukmin.

Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur kepada Allah سبحانه  وتعالى maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya, apabila ditimpakan kesusahan, dia pun bersabar kepada Allah  سبحانه  وتعالى maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya."

Syukur dan sabar ini adalah perbuatan yang baik dan ini adalah cara kita di mana memuji Allah  سبحانه وتعالى dalam apa jua keadaan yang menimpa diri kita. Jadi kita kena lihat segala pemberian Allah ataupun segala halangan, musibah yang diberikan oleh Allah adalah kebaikan.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

JAGALAH PERINTAH ALLAH NESCAYA DIA AKAN MEMELIHARA KAMU DISAAT SENANG MAHUPUN SUSAH

Di dalam sebuah hadis yang agak panjang yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu. Berkata Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu "Aku suatu hari berada di belakang Nabi ﷺ maka berkatalah Nabi ﷺ "Wahai anak kecil. Sesungguhnya aku akan mengajarkan kepada kamu beberapa kalimat.

Jagalah (perintah) Allah سبحانه  وتعالى nescaya Dia akan memelihara kamu.
Jagalah (kehormatan) Allah سبحانه  وتعالى nescaya engkau akan mendapati merasakan Allah سبحانه  وتعالى berada bersama-sama kamu. Jika engkau meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah سبحانه  وتعالى semata-mata. Jika engkau memohon sesuatu pertolongan maka pohonlah pertolongan itu daripada Allah سبحانه  وتعالى.

Dan ketahuilah bahawa jika semua ummat manusia berkumpul untuk membantu kamu dalam memberikan sesuatu manfaat kepada kamu maka mereka tidak akan dapat memberikan sesuatu manfaat kepada kamu kecualilah apa yang telah pun dituliskan oleh kamu oleh Allah سبحانه  وتعالى.

Begitu juga andaikata mereka berkumpul untuk memudaratkan ke atas kamu dengan sesuatu mudarat maka mereka tidak akan dapat memudaratkan sesuatu ke atas kamu kecualilah apa yang telah pun dituliskan ke atas kamu. Telah diangkatkan pena dan telah pun kering lembaran-lembaran." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan sifat hadis ini adalah hasan lagi sahih.

Di dalam hadis yang sama riwayat selain Imam At-Tirmidzi. Nabi ﷺ mengatakan kepada Saidina Abdullah Ibnu Abbas Radhiyallahu'Anhu "Jagalah Allah سبحانه  وتعالى. Sesungguhnya engkau akan mendapati Allah itu di hadapan kamu. Hendaklah engkau sentiasa ingat kepada Allah سبحانه  وتعالى ketika kamu dalam keadaan senang nescaya Dia akan ingat kepada kamu disaat kamu susah.

Ketahuilah sesuatu yang melakukan kesalahan kepada kamu itu tidak akan dapat memberikan musibah kepada kamu. Dan sesuatu musibah yang berlaku kepada kamu itu tidak membetulkan ke atas jalan-Nya. Dan ketahuilah kemenangan itu datang dengan kesabaran dan jalan keluar itu setelah melalui kesusahan. Dan setelah kesusahan itu datang kemenangan." Ini adalah di antara hadis yang terpenting daripada Nabi ﷺ kerana ianya menyentuh beberapa kaedah utama dalam agama.

Imam Ibnul Jauzi Rahimahullah mengatakan "Aku bertadabbur terhadap hadis ini dan ianya memberikan kepada aku banyak maknanya. Dan seolah-olahnya ianya memenatkan fikiran aku kerana terlalu banyak pengajaran yang aku dapat daripadanya maka kecewalah sesiapa yang tidak tahu tentang hadis ini ataupun memahami hanya sedikit sekali daripada hadis ini."

Oleh kerana itu, kita tanyakan kepada diri kita masing-masing. Apakah pengajaran yang kita dapatkan setelah kita mengetahui tentang hadis ini? Kalau kita lihat situasi yang terjadi pada zaman kita sekarang ini baik itu dengan musibah, fitnah dan bala bencana yang menimpa kita semuanya adalah berpunca daripada lemahnya hubungan kita kepada Allah سبحانه  وتعالى, leka dan lalainya kita daripada mengingati Allah  سبحانه  وتعالى.

Ketahuilah segala musibah, bala bencana dan fitnah yang kita hadapi pada zaman sekarang ini adalah untuk mengingatkan kita kembali untuk menyedarkan kita kembali bahawa tiada yang lebih besar daripada Kekuasaanya Allah سبحانه  وتعالى.

Oleh kerana itu, marilah kita kembali kepada Allah kita menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita bertaubat dan beristighfar di atas segala dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada Allah سبحانه  وتعالى baik dosa-dosa yang sengaja dilakukan ataupun dosa yang tidak disengajakan yang kita tidak sedari.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]

TAUBAT KUNCI MERAIH CINTA ILAHI

Janganlah kita sesekali berhenti dan berasa penat untuk bertaubat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى walaupun kita masih lagi bermaksiat kepada Allah kerana Allah  سبحانه  وتعالى amat mencintai hamba-Nya yang bertaubat dan pasti dan pasti Allah  سبحانه  وتعالى akan menerima taubat kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.

Allah سبحانه  وتعالى berfirman di dalam Al-Quran yang maksudnya "Sesungguhnya Allah cinta kepada orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri." Orang-orang yang selalu bertaubat dan selalu menyucikan dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan beristighfar memohon keampunan Allah   سبحانه  وتعالى maka dia akan memperoleh cinta Allah سبحانه  وتعالى. Bahkan darjatnya, kedudukannya di sisi Allah akan diangkat sehingga dia menjadi Kekasih Allah.

Berapa banyak kisah Para Salafusoleh yang diceritakan kepada kita. Yang mana ada di kalangan mereka itu yang asalnya merupakan seorang perompak, samseng, kaki botol dan sebagainya. Orang yang bergelumang dengan dosa dan kemaksiatan. Jauh daripada ajaran Islam. Akan tetapi, bilamana mereka berjaya mendapatkan cahaya Allah, hidayah daripada Allah maka mereka bersungguh-sungguh di dalam bertaubat, menyesali akan dosa dan kemaksiatan yang pernah dilakukan, meninggalkan kemaksiatannya.

Sehingga Allah سبحانه  وتعالى mengangkat kedudukan mereka, darjat mereka menjadi sebagai Wali-Nya. Inilah di antara sifatnya Para Auliya' Allah iaitu mereka adalah orang-orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.

Oleh kerana itu, syaitan akan cuba menipu kita, menghalang kita daripada bertaubat kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى agar kita tetap dalam keadaan bermaksiat. Barangsiapa yang tertipu dengan bisikan was-was maka dia akan rugi di dunia dan juga akhirat.

Imam Al-Junaid Rahimahullah mengatakan " Antara tanda-tanda orang-orang yang diterima taubatnya oleh Allah سبحانه  وتعالى adalah dia akan tetap mengingati akan dosa-dosa dan kemaksiatan yang pernah dia lakukan dahulu. Walaupun dia telah bertaubat dan meninggalkannya tetapi dia tetap akan terus berisitghfar memohon keampunan kepada Allah  سبحانه  وتعالى tanda dia menyesali kesilapannya dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada dirinya."

Itulah tanda-tanda orang yang benar-benar bertaubat yang menyesali dengan perbuatan dosanya. Berbeza dengan keadaan kita sekarang ini yang mana kadang-kadang kita tidak ingat langsung dengan dosa-dosa dan kemaksiatan yang kita lakukan dahulu tetapi yang kita hanya dan selalu ingat adalah apakah kebaikan yang pernah kita lakukan.

[SYEIKH FERAS SALOU AD-DIMASYQI HAFIDZOHULLAH]