Allah سبحانه وتعالى menciptakan neraka dan sudah menyediakan ahli-ahli untuknya dan Allah سبحانه وتعالى menjadikan syurga dan menyediakan juga ahli-ahli untuknya. Bagi ahli-ahli neraka, Allah سبحانه وتعالى permudahkan mereka jalan untuk menuju neraka. Begitu juga ahli-ahli syurga.
Ada ahli-ahli neraka yang Allah سبحانه وتعالى nak sampaikan destinasi mereka dengan pelbagai-bagai cara. Ada di antaranya mereka itu miskin di dunia. Dengan kemiskinan ini dia menjadi rakus. Dengan kemiskinan dia menipu. Dengan kemiskinan ini dia jadi tamak. Dengan kemiskinan ini dia jadi dengki. Dengan kemiskinan ini sudahlah dia rugi dunia dan akhirat juga.
Ada juga di antara mereka yang disampaikan ke destinasi yang tidak baik itu yakni neraka itu dengan kekayaan. Dengan kekayaan dia menghambakan wangnya. Dengan kekayaan dia membazir, dia berfoya-foya, dia bermaksiat yang tak dapat dilakukan oleh orang miskin. Dengan kekayaan yang seperti ini akan menyampaikan dia ke destinasinya yakni neraka.
Begitu juga ahli syurga. Ada di antara ahli-ahli syurga yang Allah سبحانه وتعالى nak sampaikan dia ke syurga Allah dengan kemiskinan. Dia miskin tapi dia sabar. Dia miskin tapi dia redha. Dia miskin tapi dia tetap bersyukur. Dia miskin tapi dia tak rakus dengan harta dunia maka dia miskin di dunia tapi dia mendapatkan kemuliaan di sisi Allah سبحانه وتعالى.
Dan ada pula orang yang nak disampaikan ke jannah dengan diberikan wang dan harta kekayaan yang banyak. Dengan wang yang banyak dengan harta yang melimpah dengan kemewahan yang diberikan oleh Allah سبحانه وتعالى itu dia beli kunci-kunci ke jannah. Dia berikan derma, bersedekah. Dia bantu anak-anak yatim. Dengan hartanya itu akan menyampaikan dia ke jannah.
Apabila kita meninggal dunia nanti yang akan kita tinggalkan nanti ada tiga iaitu:
1)Harta benda kita.
2)Isteri dan anak-anak kita.
3)Amal soleh kita.
Harta benda, isteri dan anak-anak kita tak akan ikut kita masuk ke kubur tapi segala amalan kita yang akan ikut kita. Subhanallah!! Apabila terputus nyawa kita maka sudah terhenti segala amalan. Tak boleh nak baca maulid lagi, tak boleh nak baca Al-Quran lagi, tak boleh nak sembahyang lagi, tak boleh nak puasa lagi.
Mana yang kita nak dapatkan pahala? Bagaimana kita nak survive dalam keadaan yang kita tak boleh nak beramal lagi? Sebagai bekalan pencen kita yang akan terus dan terus sampai yang Nabi ﷺ sebutkan "Apabila meninggal anak Adam putus segala amalannya kecuali tiga perkara:
1)Sedekah jariah.
2)Ilmu yang bermanfaat.
3)Doa anak yang soleh yang mendoakan orang tuanya.
Kita lihat setiap orang berbeza-beza jalannya. Allah سبحانه وتعالى bukakan kita jalan, Allah سبحانه وتعالى tunjukkan kita jalan tapi jalan yang mana satukah yang kita nak pilih untuk sampaikan kita ke destinasi yang kita nak tuju. Adakah jalan yang kita pilih itu akan menyampaikan kita ke syurga ataupun sebaliknya semuanya bergantung kepada diri kita.
[SYEIKH ABU ZAKI BIN YUSUF AS-SANGGAFURI HAFIDZOHULLAH]
No comments:
Post a Comment