Orang yang memiliki sikap tawadhu’ tidak akan menyombongkan dirinya kepada siapapun dan selalu beranggapan dan memandang bahwa orang lain lebih hebat dari dirinya. Dan orang yang bersikap tawadhu’ akan mau menerima setiap kebenaran dan tunduk kepada kebenaran tersebut, meskipun kebenaran itu datangnya dari seorang anak kecil atau seseorang yang dia musuhi. Apabila seseorang tidak dapat menerima kebenaran yang datang padanya dari seseorang yang lebih lemah darinya maka orang tersebut menyombongkan diri kepada Allah SWT. karena segala kebenaran datangnya dari Allah yang Maha Benar (Al-Haq).
Sunday, 21 January 2018
Kemanisan Iman
"Iman itu adalah dengan dua perkara. Yang pertama iman itu adalah dengan rasa manisnya iman. Yang kedua iman yang tidak disertai dengan rasa manisnya iman. Jadi, Bagaimanakah hendak merasa kemanisan iman? Bagaimana hendak mendapatkan kelazatan iman?"
"Setiap amalan itu adalah mempunyai rasa yang berbeza-beza. Kelazatan yang berbeza-beza. Setiap amalan kita mempunyai kelazatan beribadah yang berbeza-beza. Solat ada kelazatannya yang berbeza, zikir ada kelazatannya yang berbeza, selawat ada kelazatan yang berbeza, istighfar ada kelazatannya yang berbeza-beza. Sepertimana makanan itu ada pelbagai rasa yang berbeza. Begitu juga amalan itu dengan cahaya yang berbeza-beza."
"Makanya, yang wajib itu kita tunaikan kepada Allah swt dan itu adalah sememangnya tanggungjawab kita kepada Allah swt. Untuk kelazatan iman. Kemanisan iman itu tambahan kepada yang wajib kita lakukan untuk kelazatan iman. Nabi Muhammad saw telah memberi formula kepada kita bagaimana untuk mendapatkan kelazatan iman? Segalanya itu adalah berkaitan dengan cinta."
"Bagi mendapatkan kemanisan iman. Formulanya adalah cinta. Semuanya adalah cinta. Yang pertama, cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lebih daripada dia mencintai yang lain-lain. Yang kedua, dia cinta kepada seseorang itu bilamana dia mencintai kerana Allah swt. Dia tidak akan mencintai seseorang itu kecuali kerana Allah swt. Yang ketiga, Dia cinta kepada agama islam. Sebagaimana cintanya kepada agama dia benci untuk kembali kepada kekufuran dan juga dia benci daripada dilemparkan kedalam api neraka."
Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul muhibbin. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.
Saturday, 20 January 2018
8 Pintu-Pintu Syurga Untuk Amalan Terbaik Manusia Ketika Di Dunia.
حديث أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، قَالَ: مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللهِ هذَا خَيْرٌ؛ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رضي الله عنه: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، يَا رَسُولَ اللهِ مَا عَلَي مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تلْكَ الأَبْوَابِ كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ. أخرجه البخاري ومسلم
Terjemahan:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menafkahkan sepasang hartanya di jalan Allah ia kelak akan diseru dari pintu-pintu syurga:
"Wahai hamba Allah, ini adalah suatu kebaikan (yang disediakan untukmu).:
- Maka sesiapa yang dari kalangan ahli solat akan diseru dari pintu solat.
- Sesiapa yang dari kalangan ahli jihad akan diseru dari pintu jihad.
- Sesiapa yang dari kalangan ahli puasa akan diseru dari pintu rayyan.
- Sesiapa yang dari kalangan ahli sedekah akan diseru dari pintu sedekah”.
Lalu Abu Bakr r.a. berkata: Aku menebusmu dengan bapa dan ibuku ya Rasulullah, tidaklah ada sebarang dharurat ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu tersebut (untuk masuk melalui kesemuanya), maka apakah ada orang yang akan diseru dari kesemua pintu-pintu itu?
Jawab baginda: “Ya, dan aku berharap engkau termasuk dari kalangan mereka”.
(HR Bukhari dan Muslim)
Dalam banyak hadis disebut bahawa pintu-pintu syurga itu berjumlah 8 buah pintu, antaranya hadis:
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فِي الْجَنَّةِ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابٍ فِيهَا بَابٌ يُسَمَّى الرَّيَّانَ لَا يَدْخُلُهُ إِلَّا الصَّائِمُونَ. أخرجه البخاري
Terjemahan: “Dalam syurga itu ada lapan pintu, antaranya satu pintu yang dinamakan rayyan, tidak masuk melaluinya melainkan orang-orang yang berpuasa”.(HR. Bukhari no. 3257)
Empat Pintu-pintu Syurga yang lain adalah :
Pintu Ke 5 Mengerjakan Haji. (mendapat haji mabrur)
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas yang bermaksud :” Haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga ”
Pintu Ke 6 iaitu Maafkan Kezaliman.
Dalam riwayat Imam Ahmad, dari Rawh bin ‘Ubadah dari Asy’ats, dari Al-Hasan Al-Bashri secara mursal, “Sesungguhnya Allah memiliki sebuah pintu di syurga, tidaklah yang masuk melaluinya kecuali orang-orang yang memaafkan kezaliman.”.
Termasuk juga orang yang sabar menghadapi dugaan hidup, seperti sakit, kemiskinan, di seksa, di penjara dan menghadapi musibah dan bala bencana. Sabda Rasulullah SAW ini:
“Pada hari kiamat kelak, apabila orang yang sihat melihat orang yang banyak diuji (semasa di dunia dan sabar atas ujian tersebut) mendapat pahala yang banyak, (maka orang yang sihat) sangat berharap agar kulit mereka dikoyak dengan gunting semasa di dunia dahulu,” (Hadis Riwayat Tirmizi.)
Pintu Ke 7 iaitu Pintu Al-Ayman , iaitu pintu orang yang bertawakkal pada Allah yang masuk dalam syurga tanpa hisab dan tanpa siksa.
Golongan yang masuk syurga tanpa hisab :
"...Ketika Rasulullâh Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam keluar, mereka memberitahukan hal tersebut kepada baginda. Baginda bersabda: ‘Mereka itu adalah orang yang tidak pernah minta diruqyah, tidak meminta di kay , dan tidak pernah melakukan tathayyur , serta mereka bertawakkal kepada Rabb mereka..." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pintu Ke 8 iaitu Pintu Zikir
Adapun pintu kelapan adalah Pintu Zikir sebagaimana yang diisyaratkan dalam riwayat Tirmidzi.
Ulasan.
8 Pintu Syurga sudah ada di hadapan kalian, kalian boleh pilih salah satu daripada pintu-pintu tersebut. Jika kalian ada misi dan visi di dalam kerjaya, perniagaan dan kehidupan di dunia. maka lebih penting lagi kalian fokus salah satu pintu yg dominan di dalam amal soleh yang di buat setiap hari.
Untuk layak memasuki salah satu pintu di atas kalian perlu persiapakan amal yg luar biasa bukan amal yg biasa-biasa.
Jika kalian berhajat masuk pintu solat. Maka solat tahajud, sunat rawatib, dhuha, witir, terawih , taubat, istikharah, hajat dan tasbih tidak akan di tinggalkan.
Jika kalian berhajat masuk pintu jihad- maka kalian perlu berjihad dalam dakwah sepenuh masa (untuk muslim dan non muslim), membantu saudara-saudara muslim yg di tindas di seluruh dunia. Dan menyiapkan bekalan untuk para mujahidin.
Jika kalian berhajat masuk rayyan - maka kalian kena berpuasa Ramadan dan semua puasa-puasa sunat, puasa 6 Syawal, Arafah, Asyura, Isnin & Khamis, Puasa Putih dan Puasa Syaaban.
Jika kalian berhajat masuk pintu sedekah - sedekah yg kalian berikan sehingga tangan kiri tak tahu infaq yang di berikan oleh tangan kanan (maksudnya sedekah yg banyak bukan sikit)
Jika kalian berhajat masuk pintu haji pastikan kalian mendapat haji mabrur. Sekali sahaja haji yg kalian dapat samada haji yg wajib atau haji yg sunat haji tersebut mestilah mabrur.
Jika kalian berhajat masuk pintu maafkan kezaliman maka kalian perlu mempunyai sabar yg cukup tinggi , redha dengan qada' dan qadar, tidak mengeluh, tidak merungut dan sentiasa berprasangka baik kepada Allah SWT dan manusia. Dan memaafkan semua manusia.
Jika kalian berhajat masuk pintu Al-Ayyam (pintu orang bertawakal) maka kalian kena bertawakal seperti burung yg keluar pagi dengan perut kosong dan pulang dengan perut kenyang.
Jika kalian berhajat masuk pintu zikir maka lidah kalian tak pernah kering berzikir kepada Allah SWT bukan setakat baca al-Matsurat tetapi lidah kalian berzikir sepenuh masa sehingga tak ada masa nak sembang pasal dunia yg melekakan.
Semuanya atas diri kalian untuk memilih amal terbaik untuk memasuki syurga Allah SWT, tepuk dada tanya IMAN. Selamat beramal semuga berjaya mendapat apa yg kalian hajatkan, insya Allah.
PERMASALAHAN SALIK – TIDAK MAHU MENUNTUT ILMU.
Oleh Dr. Abdul Manam Mohammad al-Merbawi ( 2 Feb 2014 )
Masalah tidak mahu mempelajari dan mendalami ilmu agama di kalangan sebahagian salik tarikat adalah merupakan satu masalah yang biasa terjadi, terutamanya bagi salik yang berada pada peringkat permulaan yang tidak mempunyai latar-belakang agama yang kuat dan juga salik yang kurang mendapat ta`lim dan tarbiyah dari shaikhnya. Masalah ini adalah satu masalah yang sangat penting kerana ia adalah merupakan punca bagi masalah-masalah salik yang lain.
Sikap tidak mahu menuntut serta mendalami ilmu agama ini adalah bertentangan dengan prinsip agama Islam itu sendiri yang menghendaki setiap muslim yang mukallaf supaya menuntut ilmu, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.`a.w dalam sabda baginda:
طلب العلم فريضة على كل مسلم و مسلمة
Maksudnya: Menuntut ilmu adalah satu kewajiban ke atas setiap muslim dan muslimah.1
Antara punca utama mengapa perkara ini terjadi ialah anggapan salik tersebut bahawa ilmu itu dapat diperolehi menerusi ilham maka kerana itu ia tidak perlu lagi kepada proses pembelajaran bagi mendapatkannya malah cukup hanya dengan menanti ilham tersebut sahaja. Rasulullah s.`a.w menyatakan perkara ini sebagaimana sabda baginda:
من عبد الله بجهل كان ما يفسد أكثر مما يصلح
Maksudnya: Sesiapa yang menyembah (beribadah) kepada Allah dengan (berasaskan) kejahilan, apa yang merosakkan (amal ibadahnya itu) adalah lebih banyak dari apa yang membetulkannya.
Seseorang salik yang menjalani jalan Allah dengan berpandukan hanya kepada akal fikiran atau sangkaannya semata-mata tanpa merujuk kepada pertunjuk ilmu yang terang akan mudah tergelincir dari landasan yang lurus dan seterusnya terhumbang ke jurang kebinasaan. Ini adalah kerana jalan tasawwuf itu adalah merupakan jalan yang berasaskan kepada ilmu dan amal seperti yang telah ditegaskan oleh seorang tokoh tasawwuf yang terkenal, Shaikh `Abd al-Qadir al-Jailani, sebagaimana kata-kata beliau:
أما علمت أن من استغنى برأيه ضل ؟ ما من عالم الا ويحتاج الى زيادة علم....هذه الطريق لا تسلك مع النفس و الهوى بل مع الحكم و العمل به
Maksudnya: Tidakkah anda mengetahui bahawa sesiapa yang merasa cukup dengan pendapatnya (buah fikirannya semata-mata) maka dia akan sesat? Tidak ada seorang yang berilmu pun kecuali dia memerlukan kepada tambahan ilmu....jalan ini (jalan menuju kepada mengenal Allah) tidak dilalui dengan nafsu dan hawa bahkan (dilalui) dengan hukum (yang berasaskan ilmu yang jelas tentangnya) dan beramal dengannya.8
Imam al-Ghazali pula menentukan tugas menuntut ilmu ini sebagai `aqabah (halangan) yang pertama yang mesti ditempuhi oleh setiap salik yang ingin menjalani jalan Allah. Ini dapat dilihat dari kenyataan beliau tentang perkara ini sebagaimana kata-kata beliau:
يا طلاب الخلاص و العبادة عليك أولا, وفقك الله, بالعلم فانه القطب و عليه المدار
Maksudnya: Wahai orang-orang yang menuntut keselamatan dan ibadah, kewajiban anda yang pertama, mudah-mudahan Allah memberi taufiq kepada anda, ialah menuntut ilmu kerana ilmu itu adalah merupakan asas dan di atas asas inilah berligar semua yang lain.
Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu itu dalam menjalani jalan Allah. Untuk mendapatkan ilmu ini seseorang salik itu perlu mempelajarinya kerana ilmu itu diperolehi menerusi proses pembelajaran seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.`a.w:
يا أيها الناس تعلموا انما العلم بالتعلم
Maksudnya: Wahai manusia, belajarlah ilmu, sesungguhnya ilmu itu adalah dengan belajar.
Penglibatan tokoh-tokoh tasawwuf yang terkenal dalam usaha mencari ilmu sehingga mereka dikenali sebagai " saihun " yang bererti " orang-orang yang mengembara " sudah cukup menjadi bukti yang menunjukkan bahawa menuntut ilmu itu adalah satu perkara yang perlu dilakukan oleh salik dalam perjalanannya menuju kepada Allah. Seseorang salik yang tidak berilmu adalah lebih mudah ditipu atau diperdaya oleh syaitan jika dibandingkan dengan salik yang berilmu. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadith di mana Rasulullah s.`a.w telah bersabda menyatakan tentang perkara ini sebagaimana sabda baginda:
ما عبد الله بشيء أفضل من فقه في الدين و لفقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد
Maksudnya: Tidak disembah (dilakukan ibadah kepada) Allah dengan sesuatu yang lebih afdal (utama) dari fiqh (memahami) dalam agama dan seorang faqih itu lebih sukar bagi syaitan untuk menipu dan menyesatkannya) dari seribu orang `abid (ahli ibadah).
Memang tidak dinafikan ada salik yang mendapat ilmu secara ilham ini tetapi bukan semua ilham itu betul kerana ada juga ilham yang datang dari bisikan syaitan dan nafsu. Untuk memastikan kebenaran satu-satu ilham itu, seseorang itu perlu merujuk kepada pengajaran al-Qur'an dan al-Sunnah. Sekiranya ilham tersebut bertentangan dengan pengajaran dan isyarat al-Qur'an dan juga al-Sunnah tersebut maka ia tidak boleh diikuti. Untuk merujuk kepada kedua-dua sumber ini seseorang itu mestilah mempunyai ilmu atau pengetahuan tentangnya. Oleh itu ilmu perlu dipelajari terlebih dahulu. Pegangan yang membuta-tuli terhadap ilham tanpa merujuk kepada pengajaran al-Qur'an, al-Sunnah dan juga penafsiran atau pendapat ulamak-ulamak tasawwuf yang muktabar adalah merupakan punca utama penyelewengan dan kesesatan di kalangan ahli tarikat. Na’uzubillah.
Sumber : pondok rasah
Friday, 19 January 2018
Sedekah Yang Ikhlas Memudahkan Masuk Syurga Dan Di Jauhi Daripada Api Neraka.
Allah SWT. janjikan siapa yang suka bersedekah akan masukkan ke dalam syurga dan merupakan pendinding daripada api neraka, dan amalan ini juga dapat menjinakkan hati kita sekali gus membuang sifat kesombongan yang wujud di dalam diri.
Sabda Nabi SAW. bermaksud: Sesiapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma, maka hendaklah dia lakukan. (Hadis Riwayat Muslim)
Betapa besarnya pahala sedekah sehingga orang yang sedang nazak minta di tangguhkan kematiannya supaya dia dapat bersedekah.
Firman Allah SWT maksudnya, "dan belanjakanlah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?” dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Munafiqun(63) ayat 10-11)
Terdapat amal-amal soleh yang boleh memasukkan seseorang ke syurga.
1. Memberi Minum Pada Binatang Kehausan.
Wanita pelacur (melakuakn dosa-dosa besar) di masukkan ke dalam syurga dengan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana memberi minum (sedekah air) kepada seekor anjing kehausan.
Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِى يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا
“Ada seorang wanita pezina melihat seekor anjing di hari yang panasnya begitu terik. Anjing itu mengelilingi sumur tersebut sambil menjulurkan lidahnya kerana kehausan. Lalu wanita itu melepas sepatunya (lalu menimba air dengannya). Ia pun diampuni kerana amalannya tersebut.” (HR. Muslim no. 2245).
2. Menghalalkan Hutang Termasuk Sedekah Kepada Orang Yang Berhutang,
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesiapa yang memberi masa kepada orang berhutang yang kesempitan atau menghalalkan hutang itu, Allah akan melindunginya di bawah bayanganNya (perlindungan Arasy).” (HR Muslim no. 7512)
3. Membina Masjid Walaupun Kecil Sumbangannya Mendapat Jaminan Rumah Di Syurga.
Dari Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,
مَنْ بَنَى مَسْجِدًا لِلَّهِ كَمَفْحَصِ قَطَاةٍ أَوْ أَصْغَرَ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِى الْجَنَّةِ
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang membangun masjid kerana Allah walaupun hanya selubang tempat burung bertelur atau lebih kecil, maka Allah bangunkan baginya (rumah) seperti itu pula di syurga.” (HR. Ibnu Majah no. 738. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadits ini sahih)
Mafhash qathaah dalam hadits artinya lubang yang dipakai burung menaruh telurnya dan menderum di tempat tesebut. Dan qathah adalah sejenis burung.
4. Memberi Makan Dan Minum Kepada Anak-anak Yatim Akan Masuk Syurga.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Barang siapa yang mengikut-sertakan seorang anak yatim diantara dua orang tua yang muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya maka ia pasti masuk syurga.” (Hadis Riwayat Abu Ya'la dan Thabrani, Sahih At Targhib, Al-Albani)
5. Infaq di jalan Allah akan mendapat balasan syurga
Rasulallah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ
“Barangsiapa termasuk orang yang senantiasa bersedekah maka dia akan dipanggil masuk syurga lewat pintu sedekah.” (HR. al-Bukhari dari Abu Hurairah)
Allah SWT berfirman, ”Adapun orang yang memberikan hartanya di jalan Allah dan bertakwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik syurga maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah “.
(Surah Al Lail ayat 5-8)
6. Bersedekah Sehingga Tangan Kirinya Tidak Tahu Apa Yang Di Infaqkan Oleh Tangan Kanannya. Akan Mendapat Perlindungan Arasy.
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda:
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.(salah satu daripadanya-pen) ".....Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya,..." (Hadis Riwayat Bukhari, Hadis no 620)
Setiap Manusia Ada Malaikat Qarin Dan Jin Qarin
Qarin ialah pendamping, yang mana terdapat dua qarin yang sentiasa berdampingan dengan kita sejak kita lahir hingga kita kembali menemui Allah SWT.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda;
“Tidak ada seorang pun antara kamu melainkan pasti ada satu qarin daripada jin dan satu qarin daripada malaikat.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Jin Qarin tugasnya membisikkan kejahatan (was-was) kepada manusia dan Malaikat Qarin tugasnya mengajak kita untuk melakukan kebaikan (ilham).
Daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikkan kepada anak Adam dan bagi malaikat ada pula bisikkan. Adapun bisikkan syaitan itu mengajak melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Dan adapun bisikkan malaikat ialah mengajak melakukan kebaikan dan menerima kebenaran dengan jujur.
Maka sesiapa yang mendapat bisikkan ini, ketahuilah bahawa itu adalah daripada Allah, maka pujilah Allah. Manakala sesiapa yang mendapat bisikkan satu lagi, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah daripada syaitan.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)
Berdoalah selalu kepada Allah agar kita sentiasa diberi ilham untuk melakukan kebaikan. Mohonlah perlindungan daripada-Nya jika bisikkan syaitan datang menghasut ke arah kejahatan.
“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”
(Surah Al-Mukminuun : Ayat 23)
Begitulah taat para malaikat kepada Allah, tidak pernah lalai dan letih dalam urusan menjaga kita. Mereka juga tidak pernah berjauhan daripada kita. Mereka ada dengan kita, sentiasa mengawasi mengikut kehendak Allah. Sentiasa bersama, tetapi tidak pernah bersua.
Bagaimana untuk merasakan kehadirannya? Hanya iman yang mampu menjawabnya.
Wallahu’alam.
Adab-adab Menuntut Ilmu.
Terdapat sembilan adab-adab menuntut ilmu yang perlu dipatuhi semoga ilmu yang kita pelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah SWT.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Niat yang ikhlas.
Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah : "Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun".
Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
Kedua : Tekun berusaha dan bertawakal.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan:
عَنْ أَنَسِ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ (رواه الترمذي)
Dari Anas bin Malik ra, ada seseorang berkata kepada Rasulullah SAW. ‘Wahai Rasulullah SAW, aku ikat kendaraanku lalu aku bertawakal, atau aku lepas ia dan aku bertawakal?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Ikatlah kendaraanmu lalu bertawakallah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Tawakal yang merupakan perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW, jika dilakukan dengan baik dan benar, insya Allah tidak akan menjadikan seorang hamba menjadi hina dan tidak memiliki apa-apa. Kerana tawakal bukan bererti kita serahkan bulat-bulat tanpa usaha, tawakal harus terlebih dahulu didahului dengan adanya usaha yang maksima. Hilangnya usaha, bererti hilanglah hakikat dari tawakal itu.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُوْنَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوْحُ بِطَانًا (رواه الترمذي)
Dari Umar ra, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,’sekiranya kalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar-benarnya, pastilah Allah akan memberikan rezki kepada kalian sebagaimana Allah memberi rezki pada seekor burung. Pergi pagi hari dalam keadaan perut kosong, dan pulang petang hari dalam keadaan perut kenyang. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Ketiga : Menjauhi maksiat.
Kita mestilah menghidupkan budaya amar makruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)
Keempat : Memilih teman yang soleh.
Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan sahabat berbincang yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Adakalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sesiapa ingin mengetahui adakah daripada sahabatnya ia boleh menambah iman, agama dan amal atau menderita kekurangan daripadanya, maka hendaklah ia merenung kembali keadaannya sebelum persahabatan dan pergaulannya dengan orang berkenaan. Dengan lain perkataan, bagaimana keadaannya dalam hal keteguhan iman, agama dan akhlak mulia yang disandangnya, niat baik yang dipendamnya, serta semangatnya yang kuat untuk melakukan ketaatan dan kebajikan. Kemudian, perhatikan keadaannya dalam semua itu setelah bergaul dan berteman. Jika ia mendapati sifat dan amal baik itu telah bertambah kuat dan kukuh, semangatnya serta tekadnya untuk mempertahankannya pun semakin bertambah, maka dia dapat berasa lega kerana pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan manfaat baginya dalam agama dan jiwanya.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita sabdanya yang bermaksud : "Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman".(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Kelima : Banyakkan zikrullah.
Firman Allah SWT maksudnya,“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”
( Surah Al Insan, ayat 25 dan 26)
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."
Keenam : Menjaga kehormatan.
Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala keaiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.
Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan perasaan-prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."
Ketujuh : Mendapat doa dan keredaan ibu bapa.
Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa terhadap kita.
Firman Allah SWT dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan “ah” dan janganlah kamu mengertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : 'Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil'."
Kelapan : Menghormati guru.
Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam.
Firman Allah SWT maksudnya, “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-‘Imran ayat 18))
Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah Subhanahu Wa Ta‘ala memulakan dengan nama-Nya, kemudian dengan para malaikat-malaikat-Nya dan kemudiannya dengan ahli ilmu (guru) – ini sudah cukup membuktikan betapa tingginya martabat ilmu dan ahli ilmu itu.
Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ’Umamah al-Bahili radhiallahu ‘anhu telah berkata: Bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan bersalawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”
(Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.
Kesembilan : Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi.
Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala.
Firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Saff yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan."
Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.
Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan.