Pages

Saturday, 19 December 2015

Penuntut ilmu

"Majlis ilmu adalah majlis turunnya rahmat dan keberkatan daripada Allah سبحانه وتعالى. Mereka yang hadir kedalam majlis ilmu ada tiga jenis daripada mereka. Yang pertama, Hadir dan memenuhkan ruang ruang kosong yg berada di hadapan. Orang orang sebegini adalah orang orang yang mahu dekat dengan Allah سبحانه وتعالى. Dan Allah juga mahu mendekati dengan orang orang yang mahu mendekati-Nya."

"Yang kedua, Hadir akan tetapi duduk di belakang belakang. Orang orang sebegini tidak mahu duduk hampir kepada Allah سبحانه وتعالى, maka Allah juga akan menjauhi daripada mereka. Dan yang ketiga, adalah Mereka nampak daripada jauh, ada satu masjid atau tempat itu penuh dengan orang."

"Dan Mereka tahu mailis itu majlis ilmu, akan tetapi kerana ramai, dia berlalu pergi daripada majlis ilmu tersebut tanpa duduk berhenti seketika dalam majlis tersebut. Dia meninggalkan majlis tersebut. Alangkah ruginya. Kelebihan majlis majlis sebegini adalah kerana Malaikat yang ditugaskan oleh Allah سبحانه وتعالى. untuk mencari majlis-majlis sebegini di dunia."

"Malaikat tersebut meminta kepada Allah سبحانه وتعالى untuk mengampuni dosa-dosa kepada mereka yang hadir didalam majlis sebegini. Rasulullah ﷺ banyak berpesan kepada umatnya. Rasulullah ﷺ meminta empat perkara daripada kita."

"Yang pertama, Jadilah kamu orang yang mencari ilmu, berilmu. Seseorang itu jika ia hendak mendapat kasih sayang Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah ﷺ hendaklah ia mencari ilmu, kerana hanya orang yang mempunyai ilmu sahaja yang dapat mengenal Allah dan Rasulullah ﷺ. Dengan cara ini, untuk kita meraih kasih sayang Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah."

"Apabila seseorang itu sudah mendapatkan sesuatu ilmu pasti ia akan merasakan tidak mencukupi dengan ilmunya, Oleh kerana itu, Allah سبحانه وتعالى menyuruh kita berdoa untuk mendapat 'Tambahan Ilmu."

"Dan yang kedua, Jadilah kamu orang yang "Belajar Ilmu." "Barangsiapa yang Allah سبحانه وتعالى bagi waktu muda kepadanya, tetapi ia tidak belajar ilmu agama maka angkatlah empat kali takbir Solat jenazah kepadanya."

"Jika seseorang itu jika ia tidak belajar ilmu maka automatik "Taqwa" takkan ada didalam dirinya." Kata Al-Imam As-Syafie رحمه الله تعالى. Orang yang belajar mencari ilmu akan timbul didalam hatinya 'Al-Hashyah' ia ini rasa takut kepada Allah s.w.t.

"Dan yang ketiga, kalau Tidak boleh "Belajar Ilmu" jadilah orang yang "Mendengar kepada Ilmu." Menjadi pendengar ilmu pun adalah salah satu cara untuk mendapatkan ilmu. Jika ia hanya dapat menjadi pendengar ilmu sahaja, itu pun sudah mencukupi untuk ia mendapat keberkatan daripada Allah سبحانه وتعالى."

"Yang keempat, Menjadi 'Pencinta' kepada tiga perkara diatas. Dan Ilmu itu ibarat mangsa, maka jika mendapatnya hendaklah mengikatnya dengan belajar, mencari dan mencatitnya." Kata Al-Imam Syafie رحمه الله تعالى."

"Dan Rasulullah ﷺ larang kita untuk menjadi orang yang kelima ini. Yakni kamu menjadi pembenci kepada perkara-perkara diatas. Membenci ilmu, orang berilmu dan ulama. Moga-moga Allah سبحانه وتعالى menjauhi kita daripada sifat yang kelima ini."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

Allah Maha Berkuasa

"Memahami kedudukan Allah سبحانه وتعالى di langit adalah bukan daripada apa yang difahami Ahli Sunnah wal-Jamaah. Kerana didalam Al-Quran Nur' Karim menafikan akan keberadaan Allah سبحانه وتعالى di langit sahaja. Menyatakan Allah سبحانه وتعالى berada dilangit, seolah-olah Allah سبحانه وتعالى berhajat pada tempat. Dan duduk itu bukan sifatnya Allah سبحانه وتعالى."

"Berhajat pada tempat itu adalah sifat makhluk. Sedangkan Allah سبحانه وتعالى tidak memerlukan tempat, ruang dan masa. Malaikat Allah berada di langit. Allah سبحانه وتعالى meliputi Bumi, meliputi langit, meliputi Kursi, meliputi Arasy'. Semuanya itu adalah makhluk yang berada di bawah kekuasaan Allah سبحانه وتعالى."

"Keberadaan tempat itu menunjukkan adanya batasan walaupun tempat itu amat luas. Sementara Allah سبحانه وتعالى tidak berbatas, tidak berhad. Tiada had. Oleh itu, soalan Allah dimana itu sudah salah. Jadi jawapannya itu juga mestilah salah. Kerana dimana itu menunjukkan tempat, sementara Allah سبحانه وتعالى tidak memerlukan tempat."

"Allah سبحانه وتعالى itu wujud sebagaimana keadaan-Nya sebelum adanya ciptaan dan selepas adanya ciptaan-Nya. Dan Jika kita perhatikan semua yang berada di alam cakerawala ini, semua bergerak didalam orbitnya. Bulan, matahari, bintang bintang yang bergerak semuanya pada orbitnya. Lihatlah kehebatan Allah سبحانه وتعالى. Segalanya didalam pentadbiran Allah."

"Semua yang berada didalam galaksi ini, bintang bintang, alam langit semuanya ditadbir oleh Allah سبحانه وتعالى dan berjalan diatas orbitnya. Berjalan tanpa berlanggar antara satu sama lain. Bukan sedikit, berjuta-juta bintang yang ada didalam galaksi kita. Lihat bumi dan planet-planet ini yang berputar mengelilingi matahari. Termasuk matahari itu sendiri juga bergerak."

"Didalam Al-Quran, Allah سبحانه وتعالى mengatakan; "Dan kamu melihat dengan mata kamu gunung-ganang. Dan kamu menyangka gunung itu tetap. Kamu menyatakan gunung itu bersifat tetap." Tidak! Gunung itu bergerak. Kita juga bergerak. Dalam masa yang sama, Bumi ini juga bergerak pada orbitnya."

"Subhanallah, begini Allah سبحانه وتعالى mentadbir alam ini. Didalam Allah swt mentadbir bintang-bintang yang besar, Allah juga mentadbir makhluknya yang kecil. Ilmunya Allah itu meliputi segala-galanya. Dalam Allah سبحانه وتعالى mentadbir berjuta-juta bintang, Allah tidak pernah leka mentadbir setiap bunyi tapak kaki semut. Allah tidak pernah leka dengan setiap degupan jantung seekor semut sekalipon."

"Hatta di dalam diri manusia pon ada bermacam-macam alam, alam micro yang memberi simbolism kepada alam macro ,alam yang mempunyai bermacam-macam petala dan juga bermacam-macam lapisan yang didalam pentadbiran Allah."

"Sehingga dilihat dalam dirinya manusia, Allah سبحانه وتعالى ciptakan dirinya dari hujung rambut hingga kehujung kaki, lihat nafsu Allah سبحانه وتعالى ciptakan didalam dunia didalam dirinya, roh, nafsu, syahwat,hati, qolbu, sir, akal, minda, sesuatu yang tak dapat difahami dengan pemikiran seseorang dan ianya berada dalam dirinya."

"Allah سبحانه وتعالى tidak pernah lalai walau sedikit pon. Allah tidak pernah penat dan letih dalam mentadbir segala-galanya. Semuanya dalam pentadbiran dan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Kita hadir didalam majlis ini, Allah سبحانه وتعالى yang menggerakkan kita untuk datang kesini."

"Tidak bergerak setiap pasir-pasir dipantai didalam lautan, tidak gugur sehelai daun sekalipon daripada dahan pokok tanpa izin-Nya Allah. Allah سبحانه وتعالى juga menghidupkan, Allah juga mematikan, memuliakan dan menghinakan. Allah Allah سبحانه وتعالى juga yang menggerakkan makhluk-Nya. Kita akan lihat Allah سبحانه وتعالى adalah segala-galanya. Segala-galanya didalam kekuasaan Allah سبحانه وتعالى."

Guru mulia kami. Tauhid. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

Solat Fardhu Berjemaah

"Diantara fungsi utama Masjid adalah untuk orang ramai berkumpul beribadah menunaikan solat secara berjemaah. Bukannya dibina Masjid hanya sekadar untuk berkumpul seminggu sekali dan dibiarkan kosong tetapi sepatutnya kita lah yang selalu memenuhkan setiap ruang yang ada di dalam Masjid itu."

"Apabila kita mendengar laungan azan janganlah kita hanya solat di rumah kita sahaja tetapi sepatutnya apabila kita mendengar azan kita cepat-cepat bersiap-siap untuk hadir ke Masjid dengan pakaian yang kemas cantik dan memakai wangi-wangian."

"Jangan kita hanya pakai pakaian yang kemas-kemas, cantik-cantik dan wangi-wangi apabila kita nak berjumpa dengan kawan, teman-teman sahaja ataupun nak pergi ke sesuatu tempat. Akan tetapi sepatutnya apabila nak berjumpa Allah سبحانه وتعالى di dalam solat itulah detik-detik, saat-saat indah untuk kita berpakaian kemas dan cantik serta berwangi-wangian."

"Dengan solat berjemaah itu kita dapat lebih fokus solat kita berbanding solat di rumah secara bersendirian. Jangan kata diri kita khusyuk dalam solat kalau kita tidak menjaga solat fardhu berjemaah kerana dengan menjaga solat fardhu berjemaah itu seseorang akan dapat lebih sempurna solatnya berbanding ketika di rumah."

"Dengan bacaaan zikirnya, wiridnya semuanya akan lebih tersusun dan teratur ketika kita solat berjemaah berbanding kita solat di rumah bersendirian."

"Sebab itu kita digalakkan untuk sentiasa menjaga solat fardhu kita secara berjemaah dengan menunaikan solat di Masjid kerana khusyuk itu adalah kepunyaan Allah. Dan Allah سبحانه وتعالى akan memberikan perasaan itu kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya."

Daripada TG Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Menjaga Pandangan;

"Hendaklah seseorang itu menjaga pandangan. Allah سبحانه وتعالى berfirman didalam Al-Quran; "Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman itu; "Hendaklah mereka menahan pandangan, dan memelihara kemaluan, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah lah yang Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan."

"Al-Imam Al-Ghazali رحمه الله تعالى mengatakan; "Jika seseorang itu betul-betul mengenali Allah سبحانه وتعالى. Maka, seharusnya dia mengetahui adab-adab didalam hubungannya dengan Allah سبحانه وتعالى. Seseorang itu harus menundukkan kepalanya, menjaga pandangan matanya, mengkonsentrasikan fikiran, senantiasa diam, menenangkan anggota badan, segera mengerjakan perintah-Nya."

"Dan meninggalkan larangan-Nya, tidak menolak takdir, senantiasa berzikir dan berfikir, mengutamakan yang hak atas yang batil, berputus asa daripada makhluk, tunduk dengan perasaan hormat, risau diliputi oleh rasa malu, tenang dalam berusaha kerana yakin atas jaminan-Nya, bertawakal kepada kurniaan Allah سبحانه وتعالى."

"Semua ini harus menjadi karakter kamu sepanjang siang dan malam. Itulah adab didalam menjalinkan hubungan dengan "Teman yang tak pernah berpisah denganmu." Yakni Allah سبحانه وتعالى. Adapun semua makhluk, dalam waktu tertentu akan berpisah denganmu. Satu kisah, ketika Al-Imam Hasan Al-Basri رحمه الله تعالى diwaktu remajanya, sebelum beliau menjadi alim."

"Sebelum beliau menjadi wali yang zuhud. Beliau adalah seorang yang tampan segak dan sentiasa memakai pakaian yang mahal. Beliau sering kesana sini didalam kota seperti anak-anak muda yang lain bermundar mandir dikota tanpa tujuan hidup. Suatu hari ketika berjalan-jalan di kota Basrah, dia terpandang seorang perempuan yang cantik dengan sepasang mata yang sangat menarik."

"Datanglah rasa ghairahnya sehingga tanpa sedar kakinya terus mengekori perempuan cantik itu. Perempuan itu sedar ada orang mengekorinya, lalu menoleh kepadanya; "Tuan terus mengekori saya, apakah tuan tidak malu?" Hasan pun menoleh kiri dan kanan dan mendapati tiada siapa di situ. Beliau menjawab, "Nak malu pada siapa? Bukan ada orang melihat." katanya."

"Jawab perempuan itu, Allah سبحانه وتعالى mengetahui Sekalipun pada Allah yang Maha Mengetahui, itu khianatnya pada mata dan apa yang tersembunyi di sebalik dada." kata perempuan itu. Hasan terkedu mendengarnya tetapi kerana tak mampu melawan nafsunya, dia tetap mengekori perempuan itu.
"Mengapa tuan masih mengikut saya?" "Saya tertarik dengan dua matamu yang cantik."

"Baik, tuan tunggulah di sini. Biarlah saya pulang dahulu dan akan saya hantarkan apa yang tuan mahu" kata perempuan itu. Hasan pun menunggu dengan rasa berdebar-debar. Tidak lama kemudian, datang seorang pembantu perempuan tadi menghulurkan suatu kotak berbalut sapu tangan; "Tuan, ini tuan saya kirimkan untuk tuan."

"Dengan rasa amat gembira, Hassan pun membuka kotak itu.
Alangkah terkejutnya apabila di dapati dua biji mata yang berlumuran darah. Perempuan yang tuan ekori tadi ialah majikan saya. Dia berpesan, dia tidak mahu memiliki mata yang membawa fitnah atas orang lelaki. Dia mengirim mata ini agar tuan boleh menikmati dan terbebas dari godaan itu. Ambillah tuan."

"Menggigil tubuh badan Hasan al-Basri dengan peristiwa menyayat hati ini. Semalaman dia menangis bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى. Keesokan harinya, Hasan pun pergi ke rumah perempuan tadi untuk meminta maaf tetapi menurut jiran berdekatan, perempuan itu telah meninggal dunia kerana terlalu sedih akan dosanya. Terketar-ketar badan Hasan mendengarnya, dan rasa bagaikan hendak tumbang."

"Menangislah dia selama tiga hari di rumahnya. Pada akhir malam yang ketiga itu, Hassan telah bermimpi melihat perempuan tersebut sedang duduk di taman syurga. Perempuan itu berkata; "Wahai tuan, dari dulu lagi saya telah memaafkan perbuatan tuan kepada saya itu, kerana dari perbuatan tuan saya akhirnya mendapat kemuliaan disisi Allah سبحانه وتعالى."

"Jawab Hassan; " Kalau benar engkau maafkan saya, berilah saya nasihat agar saya menjadi antara golongan orang-orang yang soleh. Jawab perempuan tersebut;, Bertaubatlah waktu tuan sedang bersendirian atau ketika ramainya orang. Sentiasalah ingat Allah سبحانه وتعالى dan berzikirlah bersungguh-sungguh pagi dan petang, perbanyakkan istighfar."

"Setelah itu, Imam Hasan Al-Basri رحمه الله تعالى pun mengamalkan nasihat itu. Beliau akhirnya dikenali sebagai wali yang zuhud, taat dan termasyur kerana memiliki akhlak yang mulia. Begitulah sejarah mempamerkan kehebatan wanita yang beriman. Begitu takut mendedahkan kecantikan dirinya kepada lelaki yang mampu mengundang seribu fitnah."

"Itu dizaman imam hasan. Lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh kerosakan ini. Takut dengan murka Allah سبحانه وتعالى, maka sanggup di leraikan dunia yang membawa fitnah ke atas kaum lelaki. Benarlah firman Allah سبحانه وتعالى; "Tundukkanlah pandanganmu wahai lelaki terhadap wanita itu kerana sering berlaku "panahan syaitan" di matanya."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

Orang Yang Soleh;

"Takkan malang seseorang itu mereka yang duduk bersama dengan orang-orang Soleh. Dia datang membawa hujanan dosa, datang pun bukan berhajat untuk menghadiri Majlis itu. Tetapi kerana duduk ditempat orang-orang Soleh, yang berdzikr kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Keberkatan duduk sahaja bersama dengan mereka, mendapatkan Pengampunan daripada Allah سبحانه وتعالى. Apatah lagi orang yang melazimkan diri untuk belajar kepada mereka, apatah lagi orang yang berkhidmat kepada mereka, apatah lagi orang-orang yang mahu mengambil 'ilmu daripada mereka, untuk azam menjadi orang yang Soleh seperti mereka."

"Maka mereka itu adalah orang-orang yang mendapatkan khabar gembira daripada Allah سبحانه وتعالى. Bilamana duduk bersama orang-orang soleh itu akan mendapatkan Pengampunan daripada Allah سبحانه وتعالى, itu didunia. Ada satu kisah, seseorang yang telah meninggal dunia. Dia banyak melakukan dosa dan baru azam untuk bertaubat."

"Allah سبحانه وتعالى menurunkan Malaikat untuk menentukan sesiapakah yang berhak untuk membawa ruh seorang hamba itu yang ada azam hendak bertaubat, tetapi belum beramal. Belum lagi beramal, hanya keazaman untuk bertaubat kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Maka Malaikat yang diturunkan oleh Allah سبحانه وتعالى, Mengukur tempat meninggalnya orang itu. Adakah dia lebih dekat kepada negeri mana, kalau lebih dekat kepada negeri orang-orang yg jahat, maka dibawa oleh Malaikat Azab, kalau lebih dekat kepada negeri orang-orang yang soleh, maka dibawa oleh Malaikat Rahmat."

"Setelah diukur dengan teliti, Maka ternyata kedudukannya lebih hampir kepada negeri orang-orang soleh. Maka diperintahkan oleh Allah سبحانه وتعالى untuk memasukkannya kedalam syurga. Yang menyebabkan seseorang hamba tadi itu dibawa oleh Malaikat Rahmat kedalam Syurga Allah سبحانه وتعالى itu hanya satu sebab sahaja."

"Dekat tanahnya tempat dia meninggal dunia dengan negeri orang-orang yg Soleh. Tanahnya yang membawa berkah, apatah lagi orangnya, apatah lagi tutur katanya, apatah lagi tulisannya, apatah lagi mendengar kisahnya. Dan bukankah kesemua itu adalah berkat yg akan didapati bagi sesiapa yang mahu untuk mendengar kisah-kisah para Solihin?"

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

Bersangka Buruk

"Jangan kamu memandang kepada mana-mana pendosa, ahli maksiat, dan kepada mereka yang tidak menutup aurat itu, dengan pandangan yang rendah jijik, dengan pandangan yang hina. Jangan kamu memandang bahkan hatta seekor anjing kurap sekali pun, dengan pandang yang rendah sebegitu."

"Jangan kamu merasakan diri kamu itu lebih mulia daripada mereka. Jangan kamu menyangka kamu sudah melakukan ketaatan, kamu sudah dijamin syurga. Kerana kamu tidak tahu sama ada penghujung kamu itu khusnul khatimah, atau su'ul khatimah."

"Tarbiah lah mereka itu dengan akhlak dan kasih sayang. Tarbiahlah mereka dengan kelembutan. Kerana untuk berubah itu, seseorang perlukan masa. Perlukan kepada peringkat demi peringkat, setiap orang berhak di beri masa dan peluang, walaupun perubahan itu mengambil masa yang panjang."

"Bagaimana kamu boleh bersangka buruk kepada mereka? Sedangkan kita dituntut untuk bersangka baik dengan setiap makhluk Allah سبحانه وتعالى. Kamu juga mempunyai aib. masing-masing ada keaiban diri masing masing. Masing-masing ada zaman kegelapan "darkside" masing-masing yang orang lain tidak tahu."

"Akan Tetapi Allah سبحانه وتعالى masih tutup lagi keaiban itu, kegelapan itu daripada mata orang lain, daripada pengetahuan orang lain. Bagaimana kamu boleh bersangka buruk kepada orang lain? Mereka juga bukan Nabi, bukan Rasul, bukan Malaikat."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

Berilmu dan berakhlak;

"Seseorang yang berilmu, dia juga berakhlak. Ulama mengatakan, Sanad itu sebahagian daripada agama. Maka perhatikanlah dengan siapa kita mengambil ilmu agama. Agama itu bergantung kepada siapa yang kita bergaul, kita berdamping kita bersahabat. Kita mengambil ilmu daripada mereka."

"Maka sentiasalah bersuhbah bersama dengan ulama, dan orang-orang soleh. Yang berakhlak dan beradab. Akhlak dan adab adalah perkara yang penting dalam agama kita, tidak mungkin agama itu tanpa adab & akhlak yang baik. Mustahil. Apakah maksud adab? Adab bermaksud meletakkan manusia atau sesuatu kepada tempatnya. Pada orbit masing masing. Kita meletakkan sesuatu pada haknya."

"Perkara itu, jika didakap oleh umat islam akan membawa tamadun yang sengsara kepada umat islam. Dan dengan agama, manusia lebih beradab. Bayangkan, semua yang berada di alam cakerawala ini bergerak didalam orbitnya. Bulan, matahari, bintang bintang yang bergerak semuanya pada orbitnya."

"Semua makhluk Allah, Allah سبحانه وتعالى meletakkan pada mereka tempatnya. Pada orbitnya masing masing. Allah سبحانه وتعالى meletakkan setiap individu pada orbitnya. Pada kosmosnya. Jika seseorang itu terkeluar daripada tempatnya daripada orbitnya?"

"Maka, berlakulah bermacam macam masalah, bermacam macam kepincangan. Begitulah kita lihat pada hari ini. Allah سبحانه وتعالى meletakkan seseorang sebagai pemerintah maka dia berada pada orbitnya. Allah سبحانه وتعالى meletakkan seseorang sebagai ulama maka dia berada pada orbitnya pada tempatnya."

"Begitu juga orang awam masyarakat awam pada tempatnya. Jika, masyarakat awam terkeluar daripada tempatnya, maka kepincangan akan berlaku. Jika masyarakat awam ingin menjadi pemerintah maka akan kucar-kacir lah negara."

"Jika orang awam ingin menjadi, ulama maka dia akan terkeluar daripada tempat masing masing. Orbit masing masing. Maka bercelarulah dunia ini. Masyarakat akan bercelaru. Begitulah yang kita lihat bermacam macam kepincangan pada hari ini."

"Adab dan akhlak adalah perkara yang amat penting didalam agama. Adab kita penuntut ilmu pada ilmu pula, adalah umpama baru mendengar sekali walaupun beribu kali sudah mendengarnya. Umpama tidak jemu. Allah سبحانه وتعالى akan tambah ilmu lain yang tidak kita ketahui."

"Kerana sikap dan adab kita terhadap ilmu. Jika kita mengata pada seorang guru itu; “Sudah berapa kali ustaz ini nak cakap?” Hilanglah keberkatan ilmu. Maka impaknya Allah سبحانه وتعالى akan menutup pintu kefahaman ilmunya dan kunci kepada pintu kefahaman itu adalah “adab”."

"Di dalam diri kita ada orbit yang perlu kita fahami. Letakkan diri kita pada orbit tersebut, maka kita akan kenal akan adab kita kepada Allah سبحانه وتعالى. Adab kita sebagai hamba. Letak diri kita pada orbit yang sebenar, kita akan beradab depan makhluk Allah سبحانه وتعالى."

"Yang menyebabkan di zaman kita sekarang ini kucar-kacir, hilang peradaban dan ketamadun yang hakiki, adalah kerana kita tidak meletakkan diri pada orbit kita yang sebenar. Seseorang itu terkeluar daripada orbit masing-masing."

"Kerana yang dinamakan sebagai ulama, tetapi tidak ada Adab dalam dirinya, tidak ada Akhlak dalam dirinya. Apabila dia bercakap tidak ada Adab, tidak ada Akhlak, Mengkafirkan, mensyirikkan orang. Dia sudah terkeluar daripada orbitnya. Sifat adab & akhlak ini dimiliki oleh Para Ulama dan orang-orang yang soleh."

"Ulama terdahulu melihat kepada akhlak orang yang mereka ingin ambil ilmu tersebut. Jika tiada adab dan akhlak, maka mereka tidak mengambil ilmu daripada mereka. Sifat orang soleh itu adalah pada akhlaknya."

"Tidak mungkin seseorang itu ingin menjadi orang soleh dengan seorang diri. Dia berkata, aku tak perlu berdamping dengan mereka. Aku boleh menjadi soleh seorang diri. Tidak mungkin seseorang itu ingin menjadi soleh jika dia tidak berdamping dengan orang soleh."

"Dia tidak bergaul tidak rapat dengan orang soleh. Kerana orang-orang soleh itu mereka berdamping dengan orang orang soleh sebelum mereka. Begitu juga sebelum mereka berdamping dengan orang
soleh sebelum mereka. Sehinggalah sampai kepada para sahabat berdamping dengan penghulu orang soleh Rasulullah ﷺ."

"Agama itu bergantung kepada siapa yang kita bergaul, kita berdamping kita bersahabat. Maka sentiasalah bersuhbah bersama dengan ulama, dan orang-orang soleh. Jika tidak mampu seminggu sekali. Sekali, sekala. Kalau boleh sentiasa meletakkan diri kita didalam majlis mereka."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.