Pages

Sunday, 14 January 2018

Fasal Pada Menyatakan Setengah Perkara Daripada Yg Ta'alluq Pada Solat

(Siri ١) Terjemahan kepada bahasa melayu

Bermula, sunat bagi yg mengadakan jemaah lain daripada yg iqamat, bahawa jangan makmum berdiri melainkan kemudian daripada selesai iqamat. Itu pun jika kuasa berdiri dengan segera sekira-kira didapatnya fadhilat takbiratul ihram beserta imam. Dan jika tiada kuasa ia berdiri dengan segera seperti demikian itu, maka hendaklah ia berdiri dahulu daripada selesai iqamat.

Dan barangsiapa masuk ke masjid pada ketika iqamat atau hampir didirikan sembahyang sekira-kira jika disembahyangkannya solat sunat tahiyyatul masjid, nescaya luputlah daripadanya takbiratul ihram beserta imam. Sunatlah baginya berdiri menanti, jangan ia duduk dan jangan ia sembahyang tahiyatul masjid.

Dan sunat muakkad bagi imam menyuruhkan meratakan saf iaini membujurkan baris perdirian orang yg sembahyang sekira-kira jangan terdahulu seorang dan terkemudian yg lainnya. Dan mengisi yg lapang-lapang didalam tiap-tiap saf sekira-kira jangan didirikan saf yg kedua jika belum penuh saf yg pertama. Kerana apabila disalahi yg demikian itu, nescaya makhruh jua kerana tersebut didalam hadith, "Barangsiapa menghubungkan saf, nescaya dihubungkan Allah Taala akan dia. Dan barangsiapa memutuskan saf, nescaya diputuskan Allah Taala akan dia".

Maka, yg terafdhal daripada segala saf itu iaitu saf yg pertama, iaitu yg mengiringi imam. Kemudian maka saf yg kedua, kemudian maka saf yg ketiga hingga akhirnya.

كتاب سبيل المهتدين  ٣٨-٣٩
الشيخ محمد ارشد بن عبدالله البنجارى

Kitab Sabil Al Muhtadin 38-39
Syeikh Muhammad Arsyad Bin AbduLlah Al Banjari

Hikayat Faedah Menghubungkan Silaturahim

(Siri ١ ) Terjemahan kepada bahasa melayu rumi

Bahawa sesungguhnya Malakul Maut menceritakan akan Nabi Daud عليه السلام dengan mengambil nyawa seorang lelaki kemudian daripada 6 hari lagi. Maka tatkala adalah ia kemudian daripada beberapa masa yg lamanya, mendapat oleh Nabi Daud عليه السلام akan lelaki yg tersebut itu hidup.

Maka bertanya ia عليه السلام akan Malakul Maut dan dijawabnya, "Bahawa sesungguhnya ia, tatkala keluar ia daripada rumahnya, menghubungkan ia akan keluarganya yg telah memutuskan ia akan dia. Maka memanjangkan Allah سبحانه وتعالى pada umurnya 20 tahun yg lain pula".

Kata Saiyyidina Anas رضى الله عنه, "Tiga kaum didalam naungan arasy Ar Rahman pada hari kiamat :
١. Orang yg berhubung dengan keluarganya. Lagi pula dilanjutkan umurnya dan lagi pula diluaskan rezekinya.

٢. Perempuan yg telah mati suaminya. Maka ditinggalkan seorang anak yatimah, maka memelihara akan ia daripada kejahatan mereka itu hingga dikayakan Allah Taala atau hingga dimatikan ia.

٣. Lelaki yg berbuat makanan. Maka dipanggilkan kepada makanan itu segala anak-anak yatim dan segala miskin".

كتاب عقود اللجين ٥٩
الشيخ محمد على ابن عبد الرشيد بن عبدالله الجاوى القاضى السمباوى

Kalimat ‘Laa Ilaha Illallah’ Adalah Kebaikan Yang Paling Utama

Abu Dzar berkata,

قُلْتُ ياَ رَسُوْلَ اللهِ كَلِّمْنِي بِعَمَلٍ يُقَرِّبُنِي مِنَ الجَنَّةِ وَيُبَاعِدُنِي مِنَ النَّارِ، قَالَ إِذاَ عَمَلْتَ سَيِّئَةً فَاعْمَلْ حَسَنَةً فَإِنَّهَا عَشْرَ أَمْثَالِهَا، قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ مِنَ الْحَسَنَاتِ ، قَالَ هِيَ أَحْسَنُ الحَسَنَاتِ وَهِيَ تَمْحُوْ الذُّنُوْبَ وَالْخَطَايَا

”Katakanlah padaku wahai Rasulullah, ajarilah aku amalan yang dapat mendekatkanku pada syurga dan menjauhkanku dari neraka.” Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam bersabda,”Apabila engkau melakukan keburukan (dosa), maka lakukanlah kebaikan kerana dengan melakukan kebaikan itu engkau akan mendapatkan sepuluh yang semisal.” Lalu Abu Zar berkata lagi,”Wahai Rasulullah, apakah ’laa ilaha illallah’ merupakan kebaikan?” Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam bersabda,”Kalimat itu (laa ilaha illallah, pen) merupakan kebaikan yang paling utama. Kalimat itu dapat menghapuskan berbagai dosa dan kesalahan.” (Dinilai hasan oleh Syaikh Al Albani dalam tahqiq beliau terhadap Kalimatul Ikhlas, 55)

Sebelum tidur ucaplah kalimah Laa ILaha lllallah, ucapan terakhir jika di takdirkan meninggal dunia akan masuk syurga. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda,

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ دَخَلَ الجَنَّةَ

”Barangsiapa yang akhir perkataannya sebelum meninggal dunia adalah ‘lailaha illallah’, maka dia akan masuk syurga” (HR. Abu Daud. Dikatakan shohih oleh Syaikh Al Albani dalam Misykatul Mashobih no. 1621)

APA MAKNA "TAWADHU"

"Barangsiapa yang merendahkan dirinya maka Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat kedudukannya, darjatnya. Seseorang itu apabila dengan kemaafan maka Allah akan menambahkan kemuliaan dan dengan tawadhuk Allah سبحانه وتعالى akan mengangkat darjatnya."

"Ada orang mengatakan; "Saya tidak tawadhuk kerana nanti orang ingat saya mengaku kalah nanti orang ingat saya dhoif nanti orang ingat saya lemah."Tidak! Tidak! Logik akalnya itu bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ."

"Semakin kita merendah diri, semakin kita merendah hati maka semakin Allah akan melihat dan mengangkat darjat dan kedudukan seseorang. Di dalam hadis yang mahsyur daripada Rasulullah ﷺ; "Barangsiapa yang tawadhuk kerana Allah سبحانه وتعالى maka Allah akan mengangkatnya, Allah akan meninggikannya."

"Salah satu definisi sifat tawadhuk adalah remukan hati, perasaan yang terdapat dalam diri manusia bahawa dirinya adalah orang yang paling hina. Dirinya adalah yang paling rendah. Dirinya yang paling bawah daripada sekalian makhluk Allah سبحانه وتعالى."

"Dia melihat bahawa tidak ada sesiapa yang lebih rendah daripada dirinya. Dia juga melihat sesiapa sahaja lebih mulia daripada dirinya. Dia melihat semua orang lebih mulia daripada dirinya. Sifat tawadhuk berhajat kepada perasaan memandang kepada semua orang bahawa semua orang adalah lebih tinggi kedudukan, lebih hebat ,lebih diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى."

"Akan tetapi dalam masa yang sama dirinya juga berusaha untuk membaiki hatinya untuk mencapai darjat dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah سبحانه وتعالى. Barangsiapa yang merasakan dirinya telah sempurna maka dia akan berada dalam kejatuhan demi kejatuhan. Dia berada di dalam kemuncak kemunduran apabila dia merasakan dirinya berada di atas.

"Dia merasakan dirinya telah sempurna dan dia melihat orang lain semuanya kecil maka pendapat orang lain tidak lagi digunakan tapi dia merasakan pendapatnya adalah yang paling betul sekali. Dia merasakan kefahamannya adalah yang paling betul sekali dan dia melihat semua orang kecil dan kecil kerana sifat yang berlawanan yang berada di dalam dirinya iaitu sifat takabbur."

"Sifat takabbur adalah sifat iblis kerana takabbur itu iblis dilaknat oleh Allah سبحانه وتعالى sehingga dijatuhkan kedudukannya, diusir dan dikutuk oleh Allahسبحانه وتعالى sehingga dikeluarkan dengan penuh kehinaan. Demikian kehinaan sifat takabbur maka lawannya itu sifat tawadhuk."

"Sifat tawadhuk itu adalah sifat Rasulullah ﷺ dan ianya adalah sifat Para Nabi, Para Rasul, Kekasih-Kekasih Allah, orang-orang soleh yang mana setiap orang yang memakaikan dirinya dengan sifat tawadhuk maka dia akan memandang walaupun anjing kurap sekalipun tidak lebih rendah daripada dirinya."

"Dia merasakan dirinya yang lebih rendah. Demikian Ulama Tasawwuf mengatakan; "Barangsiapa yang memandang anjing kurap itu lebih hina daripada dirinya maka dia masih ads sifat takabbur dalam dirinya." Bermakna jika seseorang itu memandang dirinya lebih hebat, lebih mulia daripada anjing kurap maka masih ada sifat takabbur dalam dirinya."

"Maka hakikat sifat tawadhuk itu adalah tidak merasakan dirinya telah mencapai kepada sifat tawadhuk kerana tawadhuk itu adalah satu sifat yang sempurna, sifat yang mulia, sifat yang tinggi. Kita perlu berusaha untuk mendapatkan sifat tawadhuk tetapi bagaimana daya upaya kita untuk mencapai sifat tawadhuk sekali-kali tidak boleh seseorang itu mengaku mengatakan; "Saya sudah tawadhuk. Saya sudah merendah diri. Saya sudah mencapai sifat tawadhuk dalam diri."

"Kerana seseorang yang mengaku dalam dirinya sahaja; "Aku dah tawadhuk. Aku dah rendah diri. "Bermakna dia belum mencapai sifat dan hakikat kepada sifat tawadhuk itu kerana hakikat tawadhuk ini adalah dia tidak akan merasakan dirinya sudah mencapai kesempurnaan."

"Dia akan pergi dan pergi terus tenggelam di dalam kebesaran dan kehebatan Allah سبحانه وتعالى. Allah Yang Maha Tinggi. Allah Yang Maha Sempurna. Di dalam kalangan makhluk tiada siapa yang lebih sempurna melainkan kekasih-Nya, Baginda Rasulullah ﷺ."

- Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari

اللَّهُمَّ صَلِّ وسَلِّم وبَارِك عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، الفاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ، والخاتِم لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الحقِّ بَالحَقِّ، والهادي إلى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ، صلَّى اللهُ علَيهِ وعَلَى آلِهِ وصحبِهِ، حَقَّ قَدْرِهِ ومِقْدَارِهِ العَظِيم.

Saturday, 13 January 2018

Kelebihan Berdiam Diri Selepas Solat Maghrib

(Faedah) Riwayat Saiyyidina Anas Bin Malik رضى الله عنه daripada Nabi صلى الله عليه وسلم, "Barang siapa sembahyang Maghrib berjama'ah dan sembahyang ia kemudian daripadanya 2 roka'at dengan ketiadaan berkata-kata suatu daripada pekerjaan dunia, dibaca Fatihah sekali dan Ayat Kursi sekali dan Qul HuwaLlahu Ahad lima belas kali, nescaya dibina Allah baginya 1000 negeri daripada mutiara dan yaqub didalam Jannatul 'Adni".

Berkata Imam Nawawi didalam Al Azkar, "Ketahui olehmu! Bahawasanya sayugianya bagi mereka yg sampai akan dia sesuatu daripada fadhilat amal, bahawa memperbuat ia dengan dia dan jikalau sekali sekalipun supaya adalah ia daripada ahlinya".

كتاب  وشاح الافراح واصباح الفلاح ٥٦
الشيخ محمد ابن اسمعيل داود الفطانى

Kitab Wasyahul Afroh Wasbahul Falah 56
Syeikh Muhammad Bin Ismail Daud Al Fathoni

Sunday, 7 January 2018

MENCARI KETENANGAN HATI

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya.

Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8

Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita? Ah, jauh panggang daripada api!

Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli! 

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

Rasa kehambaan.
Rasa bertuhan.
Memahami maksud takdir.
Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Oleh: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Friday, 5 January 2018

Penghuni neraka dan syurga kekal dan tidak mati di dalamnya

Ibnu Umar ra berkata "Rasulullah saw bersabda: "Kalau penghuni syurga telah dimasukkan dalam syurga, dan penghuni neraka telah dimasukkan dalam neraka, maka, maut (diserupakan dengan kambing) dibawa (dan diletakkan) di antara syurga dan neraka kemudian maut disembelih. Setelah itu malaikat berseru "Wahai penghuni syurga! Sekarang sudah tidak ada lagi kematian. Wahai penghuni neraka! Sekarang sudah tidak ada lagi kematian." Maka bertambahlah kebahagiaan penghuni syurga di atas nikmat (yang sudah mereka dapatkan) dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka (di atas penderitaan yang mereka alami)"

[Riwayat Imam Bukhari no 6548, Muslim no 7363, dan Ahmad no 6022]

Rujukan: Kitab Bintang Yang Bersinar; Hadis-hadis Abdullah bin Umar ra, karangan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.