Jika lidah menyebut "sahaja aku..." itu cuma lafaz pada lidah dan belum lagi dinamakan niat. Lafaz itu merupakan cita-cita untuk melakukan sesuatu, mungkin datang dari hati yang benar-benar ikhlas dan mungkin juga merupakan sebuah azam yang wujud kuat ketika itu.
Lafaz juga digunakan untuk mengingatkan diri sendiri supaya niat dibetulkan. Allah SWT itu Maha Mendengar baik diucapkan di lidah mahupun hanya terdetik di hati sedangkan manusia hanya mampu menganalisa ucapan yang terdengar pada telinga. Sering berlaku sesuatu yang kita dengar dan lihat tidak sama dengan hakikat yang sebenarnya.
Hati,lidah dan perbuatan perlu mencapai satu kesatuan yang luhur barulah amalan itu diterima disisi Allah. Hati yang menjadi raja bagi setiap tindakan akan menentukan seluruh amalan lidah dan perbuatannya.
Firman Allah:
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, dengan teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Yang demikian itulah agama yang benar"
(Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Ikhlas ialah sesuatu amalan yang tidak ada kongsi matlamat selain daripada Allah dan matlamat Akhirat(tiada kepentingan selain Allah). Sesuatu amalan yang hendak dilakukan atau yang sedang dilakukan akan melalui sempadan niat yang bercabang-cabang sehinggalah ia tetap pada niat yang lurus dan satu. Tidak ada ruang pada lidah untuk mencari pengaruh luar bagi mengucapkan perkataan "Saya ikhlas".
Ikhlas itu adalah amalan antara kita dengan Allah kerana ia adalah urusan antara makhluk dengan Khaliq(Pencipta) yang Maha Halus pengiraanNya. Hati juga tidak perlu bersedih apabila keikhlasan itu dipertikaikan orang kerana sudah menjadi hakikat yang sebenar bahawa ikhlas itu tetap menjadi rahsia yang hanya mengetahuinya ialah Allah SWT.
Namun begitu setiap yang wujud ada tandanya. Tanda-tanda ikhlas dalam niat dapat dilihat kepada ketahanan seseorang menempuh ujian yang panjang apatah lagi ketika saat genting dan memerlukan pengorbanan dirinya.
Seekor burung nuri boleh mengungkapkan lafaz niat yang tepat tetapi burung tersebut tidak upaya merasai lafaz itu dilubuk hatinya apatah lagi untuk memperjuangkan niat dalam sebuah wadah perjuangan. Inilah yang membezakan kita dengan haiwan maupun haiwan itu boleh diajar berbicara.
Namun begitu lafaz pada lidah juga membantu hati untuk membentuk kebulatan niat kerana niat tidak boleh wujud dalam keadaan bercabang. Niat awal yang bercabang akan menjadi masalah dalam pembentukan kesatuan niat.
Ini lebih parah dalam jemaah yang ramai kerana apabila tidak wujudnya kesatuan niat maka tidak wujudnya kesatuan berfikir dan kesatuan tindakan, dan lama keamaan ia akan menghancurkan sesebuah organisasi walaupun sekukuh mana organisasi itu wujud pada masa kini.
Untungnya, niat boleh diluruskan dalam sepanjang perjalanan bersama. Ia memerlukan proses pendidikan yang panjang dan tidak mengalah dengan cabaran. Kesemuanya bertolak dari kesedaran dalam hati.
Kita membaca di dalam doa iftitah:
"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah, Tuhan Sekelian Alam."
Allah swt memberikan masa yang cukup pada kita untuk menyemak dan membetulkan kembali sebuah niat dan sekiranya niat itu sudah tidak sempurna lagi cepat-cepatlah untuk membetulkannya kembali.
Niat dalam sesuatu usaha itu boleh berubah sesudah wujudnya kejayaan atau kegagalan. Ketahuilah bahawa ujian kesenangan lebih sukar dihadapi daripada ujian kesusahan kerana kesenangan mewujudkan seribu kehendak yang tidak memerlukan alasan atau bantuan dari seseorang.
Kesusahan pula memendekkan kehendak agar terbatas hanya untuk keperluan yang mendesak. Kadangkala menjadi orang kaya lebih banyak penderitaannya dibandingkan dengan orang miskin tetapi penderitaannya itu terlindung di sebalik kemewahan zahir seperti rumah, kenderaan, pakaian, pengikut dan lain-lain lagi.
Dalam situasi apapun kita perlu melepasi galang ini baik ditakdirkan senang maupun susah. Rezeki itu Allah yang tentukan mengikut kehendakNya yang Maha Mengetahui.
Firman Allah:
"Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki"
(Surah an-Nahl, ayat 71)
Pokoknya rezeki itu tidak menjadikan kita alpa dalam hidup kerana kehidupan itu mengundang kehendaknya yang tak pernah putus-putus.
Firman Allah swt:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Sesiapa melakukan demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang rugi."
(Surah Al-Munafiqun, ayat 9)
Sumber : Ustaz Iqbail Zain
No comments:
Post a Comment