Pages

Wednesday, 2 December 2015

Mencintai Rasulullah.

"Tiada makhluk yang lebih dicintai oleh Allah سبحانه وتعالى melainkan Nabi Muhammad ﷺ. Kemudian kitab-kitab agama Al-Quran, syariah, adab, cinta kepada akhlak Rasulullah ﷺ, cinta kepada Para Sahabat Rasulullah ﷺ, cinta kepada Ahlu Bait ahli keluarga Rasulullah ﷺ, cinta kepada masjid dan sebagainya kerana semuanya ada kaitan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ."

"Cinta kepada Rasulullah ﷺ akan membawa cinta kepada Allah kerana ianya berkait rapat antara satu sama lain. Tidak boleh dipisahkan. Apa sahaja yang berkaitan dengan Rasulullah ﷺ baik itu akhlak,peribadi,kelahiran Rasulullah ﷺ kerana kelahiran Rasuluah ﷺ adalah yang membawa rahmat kepada sekalian alam."

"Kita tak mungkin kenal Islam kalau tanpa kelahiran Rasulullah ﷺ. Kita tak mungkin kenal Al-Quran, zikir jikalau tanpa kelahiran Rasulullah ﷺ.Semuanya adalah bersangkut paut kepada Baginda Rasulullah ﷺ."

"Bagaimana kita boleh dianggap melampau-lampau memuji Rasulullah sedangkan kita masih lagi belum mencapai tahap yang paling rendah untuk memuji dan mencintai Baginda Nabi."

"Baginda sering mengingati ummatnya walaupon umatnya hidup selepas kewafatannya. Berjuang utk menegakkan islam bg mempermudahkan umatnya mentaati Perintah Allah dan meneruskan syiar islam. Hebatnya Rasulullah ﷺ."

"Janganlah kita di dunia ini asyik memuji dan memuliakan artis-artis, pelakon, penyanyi, takut-takut di akhirat kelak kita akan dihimpunkan bersama dengan mereka. Memuliakan orang yang dtidak dimuliakan oleh Allah سبحانه وتعالى. Para Ulama mengatakan mustahak dan ada ulama yang mengatakan wajib untuk seseorang itu menghafal nasab suci Nabi Muhammad ﷺ."

"Bagaimana kita hari ini lebih mengenali perihal hal-hal orang lain berbanding hidup Rasulullah, mengenal isteri-isteri orang lain berbanding Rasulullah dan lebih mengambil tahu perihal hal anak-anak orang lain daripada mengambil tahu mengenai anak-anak Rasulullah ﷺ."

"Mereka yang mengamalkan syariat tapi tidak merasa cinta kepada rasulullah صلى الله عليه وسلم ia tidak akan merasai kenikmatan syariat tersebut, tak akan merasai kelazatan agama, kelazatan zikir, kelazatan istighfar, bahkan kelazatan berselawat ke atas rasulullah صلى الله عليه وسلم."

"Apabila seseorang mempunyai cahaya daripada Rasulullah ﷺ dalam dirinya, Allah akan menjaganya dan akan mudah baginya untuk hampir kepada Allah سبحانه وتعالى. Sesiapa benar benar mencintai Rasulullah ﷺ, dia akan menjadi aktif dan cergas, tidak bermalasan dan tiada siapapun yang dapat memudaratkannya."

"Apabila seseorang meletakkan Sayyidina Rasulullah ﷺ hampir dengan dirinya, dia akan merasai cahaya Rasulullah ﷺ hampir dengannya. Tiada siapapun yang boleh mengapa-apakannya jika cahaya Rasulullah ﷺ ada dalam hatinya, kerana Allah akan bersamanya apabila cahaya Rasulullah ﷺ ada dalam hatinya."

"Dan jalan untuk mendapatkan cahaya Rasulullah ﷺ dalam diri kita ialah dengan sentiasa menjaga dan mengamalkan adab-adab Rasulullah ﷺ hidup kita dan juga sentiasa berselawat kepada baginda ﷺ."

"Jadikan selawat itu sebagai wangi-wangian pada mulut dan bibir kita dan yakinlah Sayyidina Rasulullah ﷺ sedang membalas selawat dan salam ke atasnya ﷺ kepada kita. Ada satu malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk sentiasa menyampaikan selawat dan salam umatnya kepada baginda ﷺ."

"Sayyidina Anas bin Malik r.a menetap selama dua belas tahun di Madinah. Sepanjang menetap di Madinah, beliau sentiasa bermimpi bertemu dengan Rasulullah ﷺ. Jika tidak bermimpi sekalipun, pasti akan selalu tergambar wajah Rasulullah ﷺ pada mata beliau. Kerna cinta akan Rasulullah. Rindu akan Rasulullah."

"Semoga Allah ﷻ menanamkan kecintaan yg mendalam didalam diri kita kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Selawat keatas nabi sepertimana dikatakan; Seseorang yg memperbanyakan selawat keatas Nabi menjadi Murabbi kepada mereka yg tidak mempunyai Murabbi."

"Seseorang insan, apabila ittiba' pada Rasulullah ﷺ, maka dia akan sentiasa terpelihara dan terjaga. Perbanyakkanlah selawat & salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad ﷺ. Moga-moga kita dihimpunkan dibawa naungan Nabi Muhammad ﷺ di akhirat kelak."

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari.

No comments:

Post a Comment