KAHERAH, MESIR - Pasukan keselamatan Mesir menggempur kem penunjuk perasaan yang menyokong presiden yang digulingkan, Mohamed Mursi secara besar-besaran yang setakat ini menyebabkan hampir 200 nyawa orang penduduk Arab di negara itu terkorban.
Sekurang-kurangnya 235 orang terbunuh dalam insiden itu, termasuk 43 polis, dan 2,000 lagi cedera dalam pertempuran sengit yang merebak di luar Kaherah ke bandar-bandar dan bandar-bandar di seluruh Mesir, kata seorang pegawai kesihatan.
Ikhwan Muslimin berkata jumlah kematian yang dikenali sebagai "pembunuhan beramai-ramai" adalah jauh lebih tinggi.
Susulan operasi menamatkan tunjuk perasaan dan keganasan yang tercetus itu, kerajaan sementara mengisytiharkan darurat di seluruh Mesir dan perintah berkurung di Kaherah serta 13 wilayah lain.
Pihak berkuasa berkata, 278 terbunuh dalam operasi sejak semalam termasuk 43 anggota polis yang kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah di Kaherah.
Menteri Dalam Negeri Mesir, Mohamed Ibrahim berkata 43 anggota keselamatan maut.
Justeru itu, katanya, pasukan keselamatan akan terus berusaha untuk memusnahkan kem penunjuk perasaan di Ibu negara dan tidak akan sesekali untuk bertolak ansur dengan penyokong bekas presiden yang digulingkan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Hazem el-Beblawi pula menegaskan bahawa mereka akan mempertahankan penggunaan kekerasan meskipun dikutuk oleh Amerika Syarikat dan kerajaan di Eropah.
Ini kerana katanya, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan lain bagi menamatkan penyebaran anarki di negara Mesir.
"Kami mendapati inilah cara untuk mencapai titik penyelesaian meskipun tiada negara yang boleh menerima," katanya dalam satu ucapan di televisyen.
Sebelum ini, beribu-ribu penyokong Mursi telah berkhemah di dua tempat utama di Kaherah sejak beliau digulingkan pada 3 Julai, dan mereka telah berikrar untuk tidak meninggalkan tempat kem itu sehingga Mursi kembali berkuasa.
Meskipun perintah darurat dikuatkuasakan jam 4 petang waktu tempatan manakala perintah berkurung selama 11 jam sehari bermula 7 petang.
Namun, keganasan dilaporkan terus merebak di luar ibu negara itu sehingga banyak lagi nyawa melayang.
Imej dari video dan gambar terus tersebar di media sosial mengenai operasi mengempur tunjuk perasaan itu dengan negara kuasa dunia mengutuk keras penggunaan pasukan keselamatan.
Beberapa jam selepas anggota keselamatan Mesir menembak gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan di khemah mereka di Rabaa al-Adawiya di timur Kaherah, mayat lebih 124 orang bergelimpangan di kawasan itu.
Di hospital, lantai digenangi dengan darah dengan pihak perubatan bertungkus-lumus menyelamatkan mereka kritikal dan masih bernyawa.
Antara yang terbunuh adalah anak perempuan kepada pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mohammed al-Beltagui, Asmaa al-Beltagui yang berusia 17 tahun.
Jurukamera veteran Sky News dari Britain, Briton Mick Deane, ditembak dan terbunuh ketika membuat liputan kejadian itu.
Dia dibawa ke hospital untuk dirawat sebelum meninggal dunia selepas itu.
Badan pemerhati media antarabangsa mendesak pihak berkuasa Mesir menyiasat serangan terhadap wartawan dan mahu pihak yang bertanggungjawab didakwa.
Mereka turut mengutuk keganasan yang tercetus selepas polis yang dibantu kereta perisai tentera, helikopter dan jentolak dalam menggempur penunjuk perasaan yang menyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi sehingga banyak nyawa terkorban.
No comments:
Post a Comment