Pages

Monday, 31 July 2017

BERAMALLAH DENGAN ILMU KAMU KETAHUI, ALLAH AKAN AJARKAN APA YANG KAMU TIDAK KETAHUI

Dikisahkan mengenai seorang Ulama Besar daripada Mazhab Imam Syafii yang bernama Syeikh Ibnu Daqiqil'id. Beliau ini merupakan anak kepada seorang penjual kuih raya dan dia juga bekerja sebagai seorang penjual kuih raya.

Beliau merupakan seorang yang miskin tapi rajin belajar. Cuma beliau ini asalnya adalah seorang yang lambat sedikit untuk nak faham. Akan tetapi apa sahaja yang dia dapat tangkap maka dia akan segera amalkan.

Ini adalah hikmah kalau kita dapat ilmu dan kita terus amalkan maka Allah janjikan dengan diberikan ilmu laduni daripada Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه وتعالى mengatakan "Bertaqwalah kamu kepada Allah maka Allah akan memberikan ilmu kepada kamu." Tanda taqwa itu adalah seseorang yang beramal dengan ilmu.

Maka suatu ketika Syeikh Ibnu Daqiqil'Id dapat ilmu belajar tentang bab hadas besar. Di antara larangan-larangannya adalah tak boleh menetap di dalam masjid. Beliau ini selalu tidur di masjid, suka beriktikaf di masjid untuk menunaikan solat tahajud dan sebagainya. Suatu malam beliau bermimpi sehingga maaf cakap keluar mani. Lalu dia bangun dan dia ingat yang dia tak boleh menetap di dalam masjid tapi dia nak juga duduk di dalam masjid.

Waktu itu merupakan musim sejuk yang teramat sejuk. Disebabkan beliau ingin juga menetap di dalam masjid maka dia keluar dan dia mandi dalam keadaan yang begitu sejuk itu. Setelah mandi maka dia berwudhuk dan masuk semula ke dalam masjid menunaikan solat 2 rakaat.

Kemudian dia tidur balik. Buat kali kedua beliau bermimpi lagi. Berlaku lagi. Dia buat apa? Maka dia keluar lagi mandi, berwudhuk dan masuk semula menunaikan solat 2 rakaat kembali. Kemudian dia tidur dan bermimpi lagi. Allah سبحانه وتعالى nak menguji kepada dia sejauh mana dia beramal dengan ilmunya.

Maka dia bangun lagi, mandi dalam keadaan yang sangat sejuk dan setelah itu menunaikan solat kembali. Kemudiannya beliau mendengarkan suatu seruan yang mengatakan "Wahai Ibnu Daqiqil'Id. Sesungguhnya engkau adalah seorang yang beramal dengan ilmu maka engkau akan diberikan ilmu yang luas oleh Allah سبحانه وتعالى." Setelah peristiwa itu beliau telah menjadi seorang yang Alim dan telah berapa kitab yang beliau telah karang khususnya di dalam feqh Mazhab Imam Syafii.

Itulah hikmahnya kalau kita ini hadir ke majlis talim, majlis ilmu, belajar ilmu. Kita niatkan untuk kita beramal dengan segala ilmu yang kita perolehi itu. Janganlah sesekali kita hanya datang ke majlis talim, majlis ilmu semata-mata untuk mengisi masa lapang kita sahaja. Nak tengok apa yang Ustaz itu tahu dan hanya suka-suka sahaja.

Tetapi ilmu yang kita dapat langsung tak nak kita amalkan. Itu salah!! Sepatutnya kita datang dengan persiapan tanamkan dalam diri yang "Aku datang nak ambil ilmu dan beramal dengan ilmu yang aku belajar."

Kalau kita tanamkan sifat yang seperti itu InshaAllah Allah akan permudahkan kita dalam memahami ilmu-Nya. Dikurniakan ilmu yang kita tak pernah ketahui sebelum ini. Bijak di dalam membezakan di dalam yang haq dan batil.

[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

FB: The Capal

No comments:

Post a Comment