Pages

Saturday, 3 June 2017

Ganjaran Bagi Pembaca Al Quran Yang Lancar Dan Tidak Lancar.


Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : " Seseorang yang ahli dalam al Quran akan berada bersama para malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran. "

( HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah )

Seseorang yang pakar dlm al Quran bermakna seseorang yang menghafal al Quran dengan baik dan sentiasa membacanya. Sekiranya dia dapat menguasai makna dan maksud al Quran, maka itu adalah lebih baik lagi. ' Akan berada bersama para Malaikat ' membawa maksud bahawa bagaimana para malaikat itu bertugas memindahkan al Quran daripada Lauh Mahfuz ( kitab yang terpelihara di sisi Allah s.w.t ) demikian juga pembaca al Quran, dia menyebarkan dan menyampaikan al Quran kepada orang lain. Seolah olah kedua dua mereka mempunyai tugas yang sama. Atau kenyataan itu membawa maksud bahawa pembaca al Quran itu akan berhimpun bersama para malaikat tersebut pada hari kiamat.

Seseorang yang tersekat sekat akan mendapat dua ganjaran, satu ganjaran untuk bacaannya dan satu lagi kerana dia menanggung susah payah dalam bacaannya yang tersekat-sekat. Namun, tidaklah bermaksud bahawa ganjaran untuknya akan melebihi daripada ganjaran orang yang mahir. Ganjaran yang telah dinyatakan untuk orang yang mahir, berlipat kali ganda lebih besar daripada ganjaran untuknya, sehingga orang yang mahir dikatakan akan berhimpun bersama-sama dengan para malaikat yang khusus. Maksud kenyataan itu ialah, disebabkan dia bersusah payah membaca al Quran dengan tersekat-sekat, maka dia akan mendapat ganjaran yang berasingan. Oleh itu, janganlah seseorang itu meninggalkan pembacaan al Quran kerana alasan pembacaannya tersekat-sekat.

Mulla Ali Qari r.h telah menukilkan semula daripada hadis Thabrani dan Baihaqi bahawa seseorang yang cuba menghafal al Quran tetapi tidak dapat mengingatinya akan mendapat dua ganjaran. Begitulah juga seseorang yang sentiasa bercita-cita untuk menghafal al Quran tetapi tidak ada kekuatan untuk mengingatinya, namun dia tidak meninggalkan pembacaannya, maka dia akan dihimpunkan oleh Allah s.w.t bersama-sama para hafiz pada hari qiamat kelak.

Sumber : Kitab Fadhilat Amal ( Fadhilat al Quran ).

No comments:

Post a Comment